NUFFNANG

Thursday, 18 September 2014

Saya dikecam kerana terima kedatangan PM lawat di IJN - Dr Haron

Saya dikecam kerana terima kedatangan PM lawat di IJN - Dr Haron

Bagai meluahkan perasaan yang lama terpendam Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din menggunakan peluang berucap merasmikan Muktamar Dewan Ulamak PAS pagi Rabu untuk melahirkan rasa sedih dan kecewa dengan fitnah yang berlaku dalam parti Islam itu ketika ini.
Beliau berkata masalah PAS kini sudah diketahui umum akibat pertikaian terbuka khususnya di media maya.
Menurutnya, apa yang lebih mengecewakan apabila Majlis Syura, Presiden PAS turut dihina dan diperlekeh.
"Penjual kacang putih pun tahu masalah PAS, penjual cendol pun tahu.
"Syura ulamak dipertikai dan dihina, keputusan syura walaupun sebulat suara masih mereka kecam sampai hari ini diperlekeh secara terang-terangan.
"Saya sendiri dikecam kenapa terima kedatangan PM melawat saya di IJN. Itu pun tak boleh," katanya.
Bagaimanapun katanya, dalam menangani masalah yang berlaku, pimpinan dan ulamak mengambilnya dengan berlapang dada, bermuhasabah dan tidak membuat serangan balas.
"Mungkin dalam banyak teguran itu tak keluar dari prinsip "Agama itu nasihat", kata beliau lagi.
Dalam masa yang sama beliau menggesa Dewan Ulamak mengkaji semula tahaluf siyasi (kerjasama politik) dengan PKR dan DAP terutama dalam menghadapi situasi politik masa kini.
Beliau berkata langkah itu perlu diambil berikutan situasi politik yang mencabar sehingga timbul fitnah dan menjejaskan keyakinan serta hubungan sesama rakan dalam PR.
Dr Haron menjelaskan tahaluf siyasi perlu dipertahankan demi kepentingan Islam dan parti dan bukan untuk kepentingan individu semata-mata.
"Tahaluf berlaku dengan nasihat ulamak...dibolehkan kerana ada rukun dan syarat dipenuhi. Selagi syarat dan rukun ini dipenuhi, ulamak lah sebagai benteng. Pertahankan tahaluf ini demi kepentingan Islam dan jemaah, bukan untuk kepentingan individu.
"Kalau tahaluf telah tercalar, syarat dilanggar, rukun dirobohkan, ulamak wajar memikirkan balik kalau ia boleh diteruskan, teruskan.
"(Jika) syarat-syarat dirobohkan, ulamak bertanggungjawab memperbetulkan balik, memperbaiki balik...saya minta elok diperhalusi semula," kata beliau.
Selain itu, Haron turut menyeru agar ahli PAS kembali ke perjuangan sebenar parti itu dengan menggariskan enam perkara.
Enam perkara itu adalah ahli PAS perlu bersatu teguh di belakang kepimpinan Ulamak, menyelesaikan masalah yang ada, ahli kembali bertaqwa kepada Allah swt dan tidak memandang duniawi, bermuhasabah dan bertawakal.
Berikut antara petikan ucapan yang disampaikan Datuk Dr Haron Din sempena perasmian Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat di IOI Palm Villa Golf and Country Resort Johor pagi Rabu.
---------
1- Ada golongan penyokong yang tak faham, atau sengaja nak cari jalan menyusahkan perjuangan. Ini menyebabkan pertolongan Allah akan jadi lambat. Maka kena garapkan program tarbiah. Mungkin ada terlepas pandang. Kurang mengenali latar belakang sebenar pimpinan, keihklasan perjuangan mereka.
2- Wala (ketaatan) kepada ketua, perkara paling simple sangat. (Membacakan hadis Nabi-maksud lebih kurang) ...dengarlah ketua itu walaupun diambil dari hamba Habashi, kepala macam zabit, rambut kerinting. Itu pun wajib taat. Kena taat kepada ketua dalam perkara suka atau tidak suka. Dan ini masalah utama yang kita hadapi sekarang ini.
3- Ada kadang-kadang pimpinan boleh buat keputusan seorang diri, tak ada maksiat padanya. Apabila kamu berazam maka berserah kepada Allah.
4- Allah benarkan kita bertahaluf (kerjasama politik) dengan golongan kuffar, pada ketika kita nampak keberuntungan kepada Islam itu jelas. Maka harus dan boleh tahaluf.
Kalau tahaluf dengan kuffar pun boleh, apakah tidak boleh bertahaluf dengan orang islam?
Kalau tahaluf tidak boleh, apakah tidak boleh taaruf (berkenalan)?
Kalau taaruf tidak boleh, apakah tidak boleh taawun (tolong-menolong)?
Begitu banyak lubang-lubang dan ruang untuk kita mencari jalan selesaikan masalah umat lebih-lebih lagi dalam suasana masyarakat negara kita pada hari ini semakin hari semakin lalai.
5-Tahaluf berlaku dengan dipimpin ulamak. Diadakan dengan rukun dan syarat yang mesti dipenuhi.
Selagi syarat dan rukun ini dipenuhi, maka ulamaklah yang menjadi benteng untuk pertahankan tahaluf demi kebaikan Islam dan jamaah bukan demi kebaikan individu.
Kalau syaratnya dilanggar, rukun dirobohkan, ulamak mesti memikirkan balik, memeriksa balik, kalau keadaan perlu diteruskan, teruskan.
Ulamak mesti baiki keadaan. Perbaiki, perbaiki, perbaiki. Kalau tidak boleh juga, seperti contoh perkahwinan, walaupun tidak dibolehkan sangat talak namun ruang ada. Ini semua tidak terlepas dari pandangan ulamak.
6- Saya nak sebutkan, jangan kamu bersengketa, berpecah belah. (Jika tidak) kamu akan gagal mencapai matlamat perjuangan kamu, Kamu akan hilang 'rih' (kekuatan) kamu.
7- Bersatu teguh dibawah kepimpinan ulamak. Berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah yang timbul dengan berpandukan petunjuk Allah. Mengajak ahli yang bermasalah berlapang dada menerima yang hak. Perlu berkorban kepentingan diri dan duniawi demi kekuatan jamaah Islam.

source : agenda daily

No comments: