NUFFNANG

Wednesday 17 September 2014

Dr Haron Din : PAS Perlu Kaji Semula Tahaluf Siyasi Dengan Pakatan


Dr Haron Din : PAS Perlu Kaji Semula Tahaluf Siyasi Dengan Pakatan

AIDCNews – 17/9/14 – Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din menegaskan keperluan parti itu mengkaji kemungkinan untuk jatuhkan ‘talak’dengan Pakatan Rakyat jika kerjasama berlandaskan tahaluf siyasi dengan DAP dan PKR terus tercalar dan tidak boleh diperbaiki lagi.
Cadangan yang mengejut itu dibuat semasa beliau merasmikan muktamar Dewan Ulama, sekali gus menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai kelangsungan Pakatan Rakyat ekoran perbalahan terbuka di antara PKR-DAP dengan PAS berhubung krisis jawatan Menteri Besar Selangor.
Haron berkata, kajian semula ke atas kerjasama politik dalam Pakatan wajar dilakukan memandangkan syarat tahaluf itu sendiri telah dilanggar.
“Tahaluf berlaku dengan nasihat ulama,.. dibolehkan kerana ada rukun dan syarat dipenuhi.. Selagi syarat dan rukun ini dipenuhi, golongan ulamalah sebagai benteng (yang) mempertahankan tahaluf ini demi kepentingan Islam dan jemaah, bukan untuk kepentingan individu.
“(Namun) kalau tahaluf telah tercalar, syarat dilanggar, rukun dirobohkan, ulama wajar memikirkan balik (sama ada) ia boleh diteruskan,” tegas beliau, dilaporkan Antarapos.
Beliau berkata jika kerjasama berasaskan tahluf siyasi terus mengundang musibah, maka PAS harus mempertimbangkan untuk putus ‘talak’ dengan Pakatan Rakyat.
“(Jika) syarat-syarat tahaluf siyasi dirobohkan, ulama bertanggungjawab memperbetulkan balik, memperbaiki balik, Kalau tak boleh juga,.. ambillah contoh dalam perkahwinan, walaupun tidak dibolehkan talak. Ini semua tidak terlepas daripada pandangan ulama dan saya minta elok diperhalusi semula,” katanya lagi.
Antarapos turut melaporkan kenyataan pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Datuk Ahmad Yakob yang menegaskan PAS rela bersendirian dalam menegakkan Negara Islam sebagaimana yang dierjuangkan parti itu.
Dalam ucapannya itu, Ahmad turut menegaskan sokongan bulat Dewan Ulama terhadap presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau menyifatkan Hadi sebagai pemimpin yang menegakkan Islam dalam setiap keputusannya walaupun menerima tekanan daripada pelbagai pihak.
“Dewan Ulamak PAS memuji dan berdiri teguh dibelakang Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang istiqamah mengambil pertimbangan dasar Islam dalam membuat keputusan sungguhpun berdepan dengan tekanan dan desakan pelbagai pihak,” ujarnya ketika berucap dalam perasmian Muktamar Dewan Ulama PAS, hari ini.
Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan memperingatkan pemimpin parti supaya tidak mengorbankan perjuangan Islam PAS semata-mata untuk mencari kemenangan pada pilihan raya umum.
“Oleh itu Dewan Ulama PAS menyeru semua kepimpinan dan ahli PAS menginsafi segala prinsip-prinsip perjuangan dan terus memantapkan disiplin dan adab berjamaah bagi memastikan kelangsungan perjuangan Islam di Malaysia ini dan seterusnya memperolehi keredhaan Allah,” katanya.
Hubungan kerjasama antara PAS dan PKR serta DAP akhir-akhir ini agak rapuh apabila banyak isu-isu yang menyaksikan ketiga-tiga parti ini bercanggah pendapat.
Isu pencalonan Menteri Besar Selangor yang baharu benar-benar menguji keutuhan hubungan antara tiga parti kompenan Pakatan Rakyat itu.
PKR dan DAP mencemuh PAS kerana enggan mengiktiraf calon tunggal mereka, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebaliknya mencalonkan beberapa nama lain termasuk ADUNnya sendiri.
Isu itu bukan sahaja melonggarkan hubungan PAS dengan PKR dan DAP malah turut menyaksikan perbalahan antara Majlis Syura dengan golongan profesional dalam PAS.
Mengeruhkan keadaan apabila Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menegur Majlis Syura supaya tidak terlalu menunjukkan imej alim, sehingga merisikokan PAS sebagai tidak lagi relevan pada masa akan datang.
Kenyatan itu menyaksikan protes perwakilan Pemuda PAS ketika beliau semasa merasmikan persidangan sayap parti itu.
Perwakilan bertindak keluar dewan sebaik sahaja Mohamad Sabu bangun untuk memberikan ucapan.

source : aidc

No comments: