NUFFNANG

Thursday 11 September 2014

Surat Terbuka Kepada Saifudin Abdullah


Surat Terbuka Kepada Saifudin Abdullah

Assalamualaikum Warahmatullahih Wabarakatuh.
BERKENAAN komentar YB Datuk A. Rahman Dahlan ke atas Datuk Saifuddin Abdulah, saya melihat ianya berpunca daripada awal lagi apabila Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) yang diberi amanah menerima cadangan-cadangan berkenaan penggantian Akta Hasutan 1948 kepada Akta Keharmonian Nasional telah tersalah urus dalam tindakan mereka.
MKPN dikhabarkan menerima cadangan malah bantuan daripada Majlis Peguam semasa menyiapkan Draf Undang-Undang Akta Keharmonian Nasional untuk diserahkan kepada pihak Kerajaan sebagai Majikan utama.
Persoalannya kenapa ada pihak mengaku ianya sebagai Draf muktamad? Kenapa ada pihak mengaku ianya sahaja yang diterima untuk dipersembahkan kepada pihak Kerajaan? Menteri yang menjaga Undang-Undang dan Kehakiman pun tidak jelas percakapannya? Perbuatan itu sangat-sangat mengelirukan rakyat. Kita lebih jelas dengan penjelasan Tun A. Hamid Mohamad, mantan Ketua Hakim Negara tempohari.
Persoalan lainnya, adakah MPKN hanya menerima cadangan daripada Majlis Peguam sahaja? Bagaimana dengan badan-badan peguam yang lain seperti Majlis Peguam Muslim Malaysia, NGO-NGO berlatarbelakangkan undang-undang dan pakar-pakar sejarah negara? Adakah pensyarah-pensyarah di Jabatan Sejarah Universiti Malaya dan Majlis Profesor Negara diberi peluang memberikan pandangan mereka?
Kepada Datuk Saifudin Abdullah, adakah Datuk sengaja tidak tahu bahawa negara ini ada backround sejarah yang tersendiri dan mempunyai nilai kenegaraan yang unik? Adakah Datuk pura-pura tidak mengetahui bahawa Islam dan Melayu adalah entiti utama dalam kenegaraan Malaysia ini? Adakah Datuk pura-pura buta sejarah bahawa teras negara Malaysia ini adalah Islam dan Melayu?
Saya tidak faham seseorang yang cuba menunjukkan sikap liberalistiknya rupa-rupanya seorang yang benar-benar kelihatan buta sejarah perihal asas, teras, latarbelakang malah tidak mempunyai pandangan jelas akan masa hadapan negara ini ke mana hendak dibawa?
Saya tidak melihat Datuk A. Rahman Dahlan cuba untuk menutup suara Datuk daripada berbicara, isunya ialah bicara Datuk songsang dan tidak cocok dengan masa hadapan negara ini. Saya sendiri melihat, jika Kerajaan mengambil kira pandangan Datuk, saya yakin negara kita akan menghadapi masalah besar untuk mempertahankan status-quo keamanan dan kedamaian hidup bernegara di Malaysia.
Beritahu kepada saya dan rakyat Malaysia, apa metodologi Datuk untuk memansuhkan Akta Hasutan? Adakah Datuk ada membuat kajian berapa jumlah kes-kes hasutan yang berlaku sejak ISA dimansuhkan?
Saya menemui beberapa orang Cina yang terpelajar dan mereka memberitahu kepada saya, kita silap kerana menghapuskan ISA. Baginya, langkah-langkah pencegahan lebih penting daripada langkah-langkah pembaharuan. Jika pembaharuan itu membawa lebih banyak keburukan lebih baik kekal dengan cara lama.
Datuk berada di luar sistem kerajaan, Datuk bukan lagi Ahli Parlimen, bukan juga Senator dan Timbalan Menteri. Berbeza dengan Datuk A. Rahman Dahlan seorang Menteri Penuh yang boleh direct bertemu YAB Perdana Menteri untuk membincangkan kemashlahatan rakyat dan negara. Daripada segi itu, Datuk sebenarnya sudah tidak relevan untuk bercakap bagi pihak Kerajaan walaupun Datuk diberi saguhati untuk berada dalam yayasan yang ada kaitannya.
Seseorang Menteri yang bertanggungjawab seperti Datuk A. Rahman Dahlan, berhak untuk bercakap mempertahankan Kabinet dan Kerajaan yang dia menjadi ahli utama, terutama apabila mengetahui kesilapan telah dilakukan oleh orang luar seperti Datuk.
Kesimpulannya, saya berharap Datuk lebih jelas bahawa MPKN bukan tugas utamanya membuat Rang Undang-Undang, melainkan menerima cadangan-cadangan daripada semua pihak (every single person kata YAB Perdana Menteri). MPKN apatah lagi Majlis Peguam tidak boleh membuat kata putus atau menutup ruang kepada orang lain untuk memberi pula cadangan mereka.
Soalnya, selain cadangan daripada Majlis Peguam, boleh Datuk bentangkan berapa jumlah cadangan yang diterima oleh MPKN daripada mana-mana agensi dan orang awam? Sila senaraikan kerana rakyat mahu tahu, Datuk sering bercakap soal transparance maka dedahkanlah, baharulah rakyat melihat cadangan itu datangnya daripada pelbagai pihak, bukannya daripada satu sumber sahaja.
Bagi saya, kalaulah Datuk tidak boleh memainkan peranan yang jitu di dalam MPKN, adalah lebih baik Datuk berundur sahaja dan berikan tempat itu kepada orang lain yang lebih berani, vokal dan berintegriti.
Sebagai mantan Ahli Parlimen, Datuk patut tahu membezakan di antara kepentingan negara berbanding kepentingan politik.
MPKN dalam watikah pelantikan (25/11/2013) dinyatakan supaya tidak cenderung kepada mana-mana aliran pemikiran pihak tertentu. Nampaknya perkara ini telah diabaikan.
Salam hormat,
Al-Azharri Siddiq,
Presiden Penaja,
Gagasan Masa Hadapan Negara,
Kuala Lumpur.

source : aidc

No comments: