Menurut catatan Profesor Wang Gungwu, Pengarah Institut Asia Timur Universiti Nasional Singapura dalam biografi The Reluctant Politician: Tun Dr. Ismail and His Time (2006) oleh Ooi Kee Beng, Ismail seharusnya menjadi Perdana Menteri ketiga selepas Tun Razak tetapi sayang kesihatannya tidak begitu mengizinkan dan terpaksa bersara dalam usia muda.
Namun begitu, beliau dipanggil kembali menyertai kabinet dan Majlis Gerakan Negara (Mageran) selepas tragedi 13 Mei 1969.
Turut menyatakan sanju­ngan terhadap Ismail ialah Profesor Barbara Watson Andaya dari Pusat Pengajian Asia Tenggara Universiti Hawai’i yang melihat beliau sebagai potret seorang ma­nusia biasa yang kuat ber­tekad untuk membina Malaysia dan sedia menerima pelbagai kaum, tentunya amat menarik hati mereka yang hidup sepanjang tempoh pembentukan Malaysia ini, malah generasi seterusnya yang masa depan mereka turut diukir oleh Ismail.
Tun Dr. Mohd. Salleh Abas, bekas Ketua Hakim Negara, Mah­kamah Persekutuan Malaysia, menyatakan beliau beruntung kerana apabila undang-undang dan politik bercanggah, Ismail akan meminta pendapatnya. Beliau menganggap Ismail seba­gai seorang ahli politik yang pragmatik kerana sanggup memperjuangkan penyelesaian yang dipan­dang­nya terbaik.
ISTIMEWA
“Saya beruntung dapat bertemu beliau ketika mula bekerja di Kamar Peguam Negara di Kuala Lumpur pada 1963. Agaknya secara beransur-ansur saya memenangi keyakinan beliau kerana selalu sahaja pendapat saya dimintanya apabila undang-undang dan politik bercanggah.
“Apa jua masalah yang harus diuruskan, beliau (Dr. Ismail) mahu tahu apa kata undang-undang tentang per­kara itu. Peguam Negara waktu itu Allahyarham Tan Sri Abdul Kadir Yusof, juga seorang ahli politik dan ahli kabinet. Orangnya sibuk sekali, jadi tugas menasihati Allahyarham Tun beralih ke atas bahu saya sebagai Peguam­cara Negara.
“Hasil interaksi yang kerap dengan beliau dan Tan Sri Kadir, saya meraih keyakinan dua tokoh istimewa ini,” jelas Mohd. Salleh dalam kata pengantar biografi tersebut.
Menurut Mohd. Salleh lagi, susulan rusuhan 13 Mei 1969 Tun Abdul Razak memanggil beliau dan rakannya Allahyarham Tan Sri Hashim Yeop Sani ke Pejabat Perdana Menteri di Jalan Datuk Onn.
RUSUHAN
Sebaik Mohd. Salleh tiba di kediaman Perdana Menteri beliau melihat ada beberapa orang menteri kanan yang ikut hadir sama untuk membincangkan bagaimana cara mengendalikan rusuhan kaum itu yang sedang marak di Kuala Lumpur.
“Dari hujung Jalan Datuk Onn, kedengaran beberapa das tembakan dan kelihatan asap berkepul-kepul dari beberapa tempat di bandar raya dan daerah sekeli­ling.
“Sebentar kemudian, Allahyarham Tun Dr. Ismail yang sudah bersara daripada kabinet dua tahun sebelumnya, tiba dengan wajah penuh khuatir. Tanpa membuang masa dia pun ikut berbincang. Saya masih ingat kata-kata peringatannya kepada mereka yang hadir supaya jangan menggantung Perlembagaan buat selama-lamanya.
Katanya: “Kalau kamu ga­gal, kelak sama sahaja se­perti banyak kudeta yang lain, kamu semua nanti ditembak satu demi satu!.
“Berkat amarannya yang tegas, perbincangan berubah ha­luan lalu tertumpu pada perisytiharan keadaan darurat dan penubuhan Majlis Gerakan Negara untuk mentadbir negara sehingga suasana pulih seperti sedia kala dan Parlimen dapat bersidang semula”. kata Mohd. Salleh.
Ooi Kee Beng (2006) dalam buku biografi yang sama me­nyatakan, keadaan mulai tegang apabila parti pembangkang me­nyambut kemena­ngan dengan mengadakan tunjuk perasaan yang galak di Kuala Lumpur telah mendorong Tun Razak meminta Ismail kembali memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Ketika itu angin kekacauan sudah mula bertiup kencang dan Ismail mula sedar kerajaan sedang berhadapan dengan bunga-bunga krisis dan kerana itulah dia sanggup menerima permintaan Tun Razak kembali ke dalam kabinet asalkan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman bersetuju.
ESOK: “Demokrasi sudah mati” - Tun Dr. Ismail
BERSAMBUNG ESOK..

source : utusan