Saranan itu dibuat Mohd. Asri dalam satu surat terbuka yang ditulis dan dikongsi beliau dalam Facebooknya malam tadi.

YAB Tun, pandanglah reda Allah dalam mencari penganti
YAB Perdana Menteri, saya menulis warkah terbuka ini dengan saya penuh sedar tentang semangat YAB Tun mempertahankan identiti tanahair ini.
Pengalaman saya mengenali Tun sejak dulu, menerusi perbualan dan perbincangan sendirian, menjadikan saya percaya ‘semangat Melayu’ Tun melebihi saya. Walaupun mungkin dalam beberapa isu agama, kita berbeda pandangan, namun saya dapat merasai semangat Islam itu berada dalam urat nadi Tun. Pengetahuan saya tentang hal inilah yang menyebabkan saya menyokong Tun dalam beberapa isu.
YAB Tun, langkah menjatuhkan kerajaan yang lepas atas isu rasuah dan salahguna kedudukan yang berleluasa disebabkan lamanya berada di tampok kuasa mengembirakan ramai rakyat jelata.
Malangnya dalam membentuk kerajaan baharu, pasukan yang bersama Tun dilihat tidak seindah yang diimpikan bagi memenuhi harapan rakyat. Banyak masalah yang tidak sewajarnya muncul satu demi satu.
Ia bukan sahaja faktor kurang pengalaman, tapi faktor kekurangan akal budi, keceluparan, sikap perkauman sehingga melupai identiti negara, ketandusan idea tentang urus tadbir yang baik, dan tidak boleh dinafikan juga keinginan pihak tertentu untuk mendapatkan kuasa selepas ketiadaan Tun.

YAB Tun, justeru saya ingin mengemukakan beberapa perkara untuk diberikan perhatian:
1. Walaupun kita memuji usaha menghapuskan rasuah dan perasuah, namun seperti yang kami rakyat bawahan rasai, keadaan negara semakin membimbangkan. Kebiadapan dan kemelampauan golongan yang ingin menghapuskan identiti negara yang termaktub dalam perlembagaan makin ketara. Sementara kita ketandusan pemimpin yang mempunyai karisma yang tinggi yang dapat diletakkan kepercayaan majoriti rakyat kepadanya. Jika hal ini terus berlaku, negara akan hilang arah kepimpinannya, lantas keadaan yang tidak aman dan tenteram akan berlaku.
2. Saya menulis warkah terbuka ini apabila teringat sebelum YAB Tun menjadi PM semula, ketika saya di rumah YAB Tun minum petang bersama Tun dan Tun Siti. Ketika itu saya ada bertanya tentang kerjasama politik Tun dan siapakah bakal menjadi PM Malaysia jika rancangan politik Tun diteruskan. Seingat saya, jawapan ketika itu tidaklah sama dengan apa yang diwar-warkan sekarang. Namun, itu bukanlah satu isu.
3. Apapun strategi politik yang YAB Tun susun dan apapun tekanan keadaan YAB Tun sekarang, saya sebagai seorang rakyat Malaysia berharap masa depan negara tidak tergadai disebabkan keadaan yang ada. Saya percaya negara bukan satu hadiah peribadi yang boleh dipindah milik kepada sesiapa sahaja tanpa satu penelitian dan renungan terhadap masa depan identiti, keluhuran budi dan nilai keinsanan yang waras.
4. YAB Tun, seperti yang Tun lebih maklum bahawa hukum alam menyatakan bahawa manusia apabila sampai kepada tahap tertentu, mereka tidak mampu lagi melakukan hal-hal yang mereka telah lakukan semasa mereka muda dan sihat. Umur mempunyai peranannya. Allah telah menjadikan YAB Tun dalam satu keadaan yang luar biasa dan istimewa untuk manusia di zaman ini. Kesihatan dan tahap pemikiran yang masih kuat pada usia yang begitu lanjut. Pun begitu, ia pasti menuju kepada tahap pengakhirannya. Demikian itulah ketetapan Tuhan bagi penciptaan manusia dan alam.
5. YAB Tun dalam sejarah, Rajak bin Haiwah merupakan penasihat yang soleh untuk khalifah-khalifah Bani Umayyah. Sulaiman bin ‘Abd al-Malik merupakan khalifah sebelum ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz. Sebelum Sulaiman meninggal, dia telah meminta nasihat daripada Rajak bin Haywah tentang siapakah yang wajar menjadi penggantinya. Rajak bin Haywah menjawab: “Antara yang dapat memelihara khalifah dalam kuburnya adalah apabila dia melantik orang yang baik memerintah kaum muslimin”.
Akhirnya, Sulaiman sendiri membuat cadangan yang menyalahi kebiasaan pentadbiran sebelum itu. Dia mencadangkan seorang yang bukan saudara kandung, juga buka anaknya, tapi sepupunya ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz. Apabila Sulaiman bertanya pendapat Rajak bin Haywah, jawabnya: “Saya berpendapat dia seorang yang baik, muslim yang mulia, sukakan kebaikan dan sukakan orang-orang yang baik. Cuma aku bimbang saudara- saudaramu tidak bersetuju dengannya”. Kata Sulaiman: “Nampaknya begitulah”. Lalu Sulaiman bin ‘Abd al-Malik mengambil langkah politik agar cadangan itu mendapat sokongan kaum keluarganya yang mencengkam pemerintahan Bani Umayyah ketika itu dengan mencadangkan ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz sebagai khalifah, sementara adik Sulaiman iaitu Yazid bin ‘Abd Malik sebagai timbalan (Waliy al-‘Ahd). Dia menulis surat wasiatnya seperti berikut: “Bismillah al-Rahman al-Rahim, ini surat Sulaiman bin ‘Abd al-Malik untuk ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz. Aku telah melantiknya menjadi khalifah selepasku, dan selepasnya Yazid bin ‘Abd al-Malik. Kamu semua dengar dan taatlah kepadanya (‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz). Jangan kamu berselisih pendapat nanti musuh-musuh akan bertindak ke atas kamu” (lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/207, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
6. YAB Tun, walaupun ada perkara-perkara yang dipertikaikan tentang Khalifah Sulaiman bin ‘Abd al-Malik, namun beliau dikenang jasanya dalam sejarah kerena tindakan berani yang mengenepikan kebiasaan dan melantik calon yang agak jauh menjadi khalifah yang telah membawa rahmat kepada Dunia Islam. ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz telah menjadi khlaifah yang sangat adil dan soleh. Dalam tempoh dua tahun memerintah, dia telah mencatatkan sejarah pemerintahnya dengan tinta emas bertatah berlian. Sulaiman bin ‘Abd Malik walaupun tidak setanding ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz, namun sejarah akan mengenangnya kerena dialah yang memberi laluan tersebut kepada khalifah yang adil itu. Ini semua kerana dia menerima nasihat Rajak bin Haywah bahawa melantik pengganti yang soleh merupakan amalan yang dapat memelihara seorang khalifah apabila dia menemui Allah nanti.
Saya berharap banyak jasa Tun pada negara ini tidak dilupai disebabkan melantik pengganti yang salah. Sebaliknya, jasa yang banyak itu bertambah dikenang dengan perlantikan pengganti yang baik di sisi Allah dan rakyat.
7. YAB Tun, dalam sejarah awal Umat Islam, Khalifah Pertama Saidina Abu Bakr al-Siddiq telah mencadangkan agar Saidina ‘Umar bin al-Khattab sebagai pengganti beliau. Di sini saya terjemahkan surat Abu Bakar mengenai cadangan tersebut:
“Bismillah al-Rahman al-Rahim. Inilah apa yang dipesan oleh Abu Bakr bin Abu Quhafah di waktu akhir hayatnya di dunia ini, sedang keluar daripadanya. Ketika permulaan tempohnya di Akhirat, sedang masuk ke dalamnya. Di kala seperti ini, seseorang yang kafir akan beriman, seseorang pendusta akan bercakap benar. Maka aku –dalam keadaan begini- melantik pemerintah kamu selepasku ini ‘Umar bin al-Khattab. Maka dengar dan taatlah kepadanya. Aku tidak akan mengurangkan sedikit kebaikan pun pada (ajaran) Allah, rasulNya, agamaNya, diriku dan kamu. Sekiranya ‘Umar berlaku ‘adil, maka itulah sangkaan dan pengetahuanku mengenainya. Jika dia sebaliknya, maka setiap individu dibalas berdasarkan apa yang dikerjakan. Sedangkan aku inginkan kebaikan dan tidak pula aku tahu perkara yang ghaib. “Nanti orang-orang zalim akan mengetahui di mana kesudahan mereka” Wa al-Salam ‘alaikum wa rahmatulLah”. (al-Sayuti, Tarikh al-Khulafa, 32, Beirut: Dar al-Fikr).
8. Dalam surat di atas, jelas bahawa pencalonan yang dibuat oleh Abu Bakr, bukan atas kepentingan dirinya. Dia mencalonkan seorang calon yang terbaik pada keyakinannya dengan penuh rasa takutkan Allah dan hukuman Allah apabila dia mati kelak. Padahal ‘Umar itu insan terbaik selepas dirinya. Pun begitu Abu Bakr masih bimbang dan memberikan amaran yang keras kepada bakal penggantinya tersebut.
Sebagai seorang rakyat muslim, saya mengharapkan YAB Tun mencalonkan pengganti yang benar-benar membolehkan YAB Tun menjawab di hadapan ALLAH tentang orang yang akan mengambil kuasa politik tertinggi dalam negara ini. Jangan sampai kuasa itu jatuh ke tangan si rakus yang sanggup menggadaikan apa sahaja untuk kehendak dirinya berkuasa.
9. YAB Tun, berdoalah, beristikharahlah agar Tun membuat pilihan yang betul dalam hal ini. Semua akan menutup tirai hayatnya di dunia ini. Amalan kita akan dibawa bertemu Allah. Semoga baki waktu berharga dalam umur Tun ditutupi dengan amalan yang paling soleh iaitu mewariskan kuasa pada pengganti yang baik untuk agama, negara dan rakyat. Saya berdoa agar kuasa itu tidak jatuh ke tangan pihak yang akan merosakkan segala kebaikan dan kerahmatan yang ada. Jika itu berlaku dengan pilihan seseorang pemimpin sebelum dia pergi, ia merupakan pengakhiran yang buruk.
10. YAB Tun, maka nekadlah dalam menentukan masa depan negara. Janganlah dipandang wajah sesiapa, pandanglah keredhaan ALLAH dan murkaNYA pada hari kita bertemu denganNYA, kemudian tentukan calon, atau biarlah rakyat membuat pilihan untuk diri mereka sendiri.
Rakyat Marhaen.
Dr. MAZA,
Kangar, Perlis

source : utusan