NUFFNANG

Saturday 21 July 2018

Luahan hati seorang guru berbangsa Melayu.

https://www.facebook.com/normujaidah.osman

Luahan hati seorang guru berbangsa Melayu.


Izinkan saya berkongsi rasa.

Kadang- kadang saya rasa sangat sedih dan takut membaca perkongsian rakan- rakan mahupun netizen di WA dan FB.

Ya Allah, api kebencian dan ketakutan seolahnya cuba disebarkan atas tiket kedaulatan bangsa  dan agama.

Maaf. Ini yang saya rasa.
Saya hormati pandangan sahabat yang berbeza. Mohon sahabat hormati juga perasaan saya.

Pernah ketika membaca komen dan terpancar betapa bencinya netizen dengan keputusan Dr Maszlee memberikan tawaran melanjutkan pengajian kepada anak- anak pintar keturunan Tionghua dalam golongan B40( tanpa mengambil hak bumiputera ), saya tak dapat menahan air mata dari tumpah.

Kerana ia mengingatkan saya saat saya menangis sungguh- sungguh sebelum itu mengenangkan nasib seorang anak murid keturunan tionghua yang gagal mendapatkan tempat di mana- mana pusat pengajian tinggi sedangkan beliau adalah pelajar terbaik sekolah.

Saya menangis kerana pelajar ini datang jumpa saya dan tanya:

"Teacher, saya ingat pesan teacher suruh belajar sungguh- sungguh. Teacher tahu saya belajar sungguh- sungguh, kan? Saya dah tunaikan janji saya pada teacher. Pada sekolah dan ibu bapa saya. Saya nak jadi doktor,  teacher. Tapi kenapa kawan saya yang dapat lebih rendah daripada saya dah dapat tawaran matrik dan UPU.
Sebab saya orang cina ke? Saya tak minta lahir jadi orang cina , teacher. Tuhan letak saya dalam perut ( maksud beliau rahim) orang cina. Salah saya ke?"

Makin saya peluk anak ini, makin laju air mata saya.

Ini anak saya. Anak yang dianaktirikan oleh sistem yang kita cipta.

Lebih memilukan hati saya, anak manis ini hanyalah anak miskin yang hampir mustahil akan dapat peluang ke universiti swasta juga kerana ayahnya tak punya harta.

Anak inilah pengubat jiwa saya kerana dia akan hantar latihan yang dibuat sendiri untuk saya semak sedangkan anak- anak melayu Islam saya masih bermalas- malasan mahu siapkan kerja rumah yang saya bagi. Apatah lagi mahu buat latihan sendiri.

Saya rasa ramai yang tidak faham jiwa guru yang ada dalam diri saya dan diri Dr. Mazslee.

Ini anak- anak kami.
No one can be left behind.

Mereka yang orang panggil kafir tu, adalah anak- anak saya. Yang saya kasih sebagaimana saya kasihkan anak bangsa saya sendiri.

Kemudian, Allah uji saya lagi.

Semua pelajar dalam satu kelas  yang saya ajar, dapat tawaran ke Pusat Matrikulasi, universiti ataupun politeknik kecuali seorang.

Anak manis ini lebih cemerlang berbanding rakannya dan lebih rajin.

Setelah saya semak, baru saya perasan, anak ini muslim tapi mereka masuk islam sekeluarga sewaktu dia masih kecil dan mereka keturunan cina. Golongan B40 juga.

Kalau anak yang pertama tadi kafir, anak ini muslim, teman- teman. Muslim.

Allah, moga Allah ampunkan dosa saya kerana saya tak mampu bantu anak- anak saya yang merasa mereka teraniaya.

Mohon izin untuk berbeza pandangan dengan Tuan dan Cik Puan.

Mohon izinkan saya untuk membantu membina negara ini tanpa rasa assabiyyah bangsa, racist dan seumpamanya.

Saya mahu sayang semua anak saya . Tak kira mereka putih, hitam, sawo matang atau kuning langsat.

Mereka buat saya senyum bahagia bila dalam kelas Bahasa Inggeris saya mereka kata :

"Teacher,  ceritalah lagi pasal kisah nabi. Kami suka."

Ya itu kata mereka. Anak Muslim dan anak Not-Yet - Muslim saya.

Terima kasih, teman- teman kerana sudi membaca.

Cerita ini saya tulis bersama linangan air mata.

Moga anak- anak saya akan terus mendapat hak mereka.

Tuan dan Cik Puan  yang sudah ditampuk kuasa, mohon bantu anak- anak saya.

Ya. Anak- anak saya.

Anak-anak muslim dan anak - anak saya yang mereka panggil kafir juga. Mereka ada tanggungjawab  dan mereka juga ada hak.
Begitu juga kita. Kita jalankan tanggungjawab kita dan tunaikan hak mereka.

Salam kasih sayang buat semua.

Normujahidah Osman.
Islam itu rahmat untuk seluruh alam.

Thursday 19 July 2018

Jahil Perlembagaan punca sokong UEC,Prof Tan Sri Dr.Khoo Kay Kim


By Ainul Asniera Ahsan - 
18 Julai 2018

KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin kerajaan yang berusaha untuk mengiktiraf
Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) disifatkan sebagai jahil tentang Perlembagaan Malaysia.

Tokoh sejarah, Professor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berkata, jika mereka memahami tentang Perlembagaan Malaysia sudah tentu usaha untuk mengiktiraf UEC tidak dilakukan.

Katanya, mana-mana pihak tidak perlu menggunakan alasan pengiktrafan UEC oleh negara-negara luar untuk ‘membawa’ ia dalam sistem Malaysia kerana ia amat bertentangan dengan Perlembagaan.

Apabila disebut bertentangan dengan Perlembagaan membawa maksud mana-mana undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan adalah tidak sah.

“Kenalah menghormati Perlembagaan negara. Itu wajib. Kalau pemimpin tidak menghormati Perlembagaan mereka telah memberi isyarat yang salah kepada generasi muda. Jangan kita mengajar generasi muda, generasi masa depan tidak menghormati undang-undang negara.

“Fahami Perlembagaan, hayati Rukun Negara. Rukun Negara bukan sekadar jadi sebutan tetapi perlu disematkan di hati, di jiwa. Bila kita menghayati semua ini, jati diri, semangat cintakan Malaysia kuat dan tanggungjawab terhadap negara bangsa teguh.

“Bila semuanya kuat, tidak akan melakukan sesuatu yang merepek, yang boleh meruntuhkan apa yang dipertahankan selama ini. Kalau pemimpin tidak tahu menghormati undang-undang negara, memang susahlah,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Khoo berkata, kerajaan jangan melihat penentangan pengiktirafan UEC sebagai satu bentuk prejudis kepada mana-mana kaum tetapi lihat ia sebagai satu penghormatan dalam mempertahankan sistem sebuah negara.

Sambil menyifatkan situasi yang berlaku ini sebagai ‘hasil’ terlalu mengutamakan subjek-subjek yang berkemahiran tinggi seperti sains dan matematik, Khoo mengakui beliau sedih apabila wujud segelintir pemimpin dan generasi muda yang tidak tahu tentang sejarah Malaysia.

Jelasnya, Malaysia yang dahulu dikenali sebagai Tanah Melayu adalah sebuah negara hebat.

Dalam negara-negara di bawah empayar Birtish, Tanah Melayu adalah tanah jajahannya yang paling kaya, mengatasi India dan Australia, lantaran itu negara ini sering menjadi perhatian dunia.

Malah, dalam sejarah juga tercatat Tanah Melayu pernah menjadi juara badminton dunia dalam tahun 1949.

Tanah Melayu juga pernah mengambil bahagian dalam sukan olimpik sebelum negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

“Tahun 2018 Croatia memasuki Piala Dunia, tapi di mana Malaysia sekarang? Tatkala negara lain berlumba-lumba mengejar kehebatan, kita masih berjuang tentang UEC, tentang bahasa, masih ada pula yang tidak memahami Perlembagaan,” katanya.

Jelas beliau, Singapura yang maju dalam aspek ekonomi, rakyatnya berjaya menguasai bahasa Inggeris dengan baik pun, kalau ditanya apa bahasa kebangsaan mereka, jawapan mereka tetap sama iaitu bahasa Melayu.

Itu jelas menunjukkan kemodenan dan status negara tidak boleh dijadikan alasan mengubah jati diri rakyat dan sistem sesebuah negara.

Ditanya apakah harapannya dalam isu UEC, Khoo berkata: “Pemimpin yang berada dalam kerajaan perlu sedar, mereka bukan individu yang dipilih untuk memberi arahan tetapi berkhidmat kepada rakyat dan negara.

“Zaman dahulu, gabenor-gabenor negara dalam surat rasmi mereka akan menggunakan perkataan “I am obedient servant’. Itulah sebenar kedudukan pemimpin dan penjawat awam.

“Anda berkhidmat kepada rakyat, jadi berkhidmatlah sebaik-baiknya dan bukan memberi arahan,” tegasnya.