source : agendadaily.com
Sejak awal lagi Barisan Nasional (BN) melangkah ke gelanggang Manek Urai telah diberikan gambaran akan menerima tamparan hebat daripada PAS. Pelbagai tuduhan dan serangan dibuat oleh pimpinan pembangkang terhadap UMNO dan BN termasuk Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang tergamak mengeluarkan kenyataan ‘syahadah orang PAS tak sama dengan syahadah orang UMNO’.
Selain itu pelbagai slogan seperti kepimpinan Tok Guru Bawa Berkat, akhirnya diterjemah oleh pengundi dengan mengurangkan majoriti yang diperolehi oleh PAS kepada 65 undi sahaja.
Walaupun menang, di tempat pengumuman rasmi, suasana tidak seperti sepatutnya. Tiada laungan takbir mahupun sorakan para penyokong pembangkang yang berada di situ.
Lebih memeritkan, kemenangan PAS itu disifatkan sebagai isyarat yang jelas sudah ada tanda-tanda rakyat mula menyerlahkan warna serta sikap sebenar mereka. Mereka sudah berani menyatakan ‘tidak’ kepada kepimpinan Tok Guru yang dijadikan simbol kempen.
Nik Aziz dijadikan ‘pembesar suara’ PAS sepanjang tempoh kempen. Sebutlah apa yang tidak dikatakan oleh Nik Aziz dalam membangkitkan kemarahan rakyat kepada BN dan UMNO. Namun pada akhirnya, rakyat memberikan kata putus mereka.
Paling menarik empat peti undi di Manek Urai Baru dan Manek Urai Lama yang dijanjikan pembinaan jambatan baru jika memilih BN, telah menyahut tawaran BN dengan memberikan kekalahan kepada PAS di semua peti undi di kedua-dua kawasan tersebut.
Sedangkan semua tahu Manek Urai Baru dan Manek Urai Lama adalah kubu kuat PAS selama ini. Malah kediaman bekas wakil rakyat sebelum ini Allahyarham Ismail Yaakob berada di Manek Urai Lama.
Isyarat jelas rakyat juga boleh ditafsir jika dilihat perbandingan jumlah undi yang diperolehi kedua-dua parti pada pilihan raya kecil kali ini berbanding dengan pilihan raya umum Mac 2008.
Bagi UMNO, parti itu memperolehi sokongan tambahan 919 undi. Ini berdasarkan undi yang diperolehi parti itu pada Mac 2008 ialah sebanyak 4,364 undi sedangkan pada pilihan raya kecil ini BN memperolehi 5,283 undi.
Berbanding dengan PAS, parti itu mengalami kemerosotan perolehan undi sebanyak 398. Pada pilihan raya umum 2008 PAS memperolehi 5,746 undi tetapi pada pilihan raya kecil ini, undi yang diperolehi hanya 5,348.
Namun dalam pada isyarat tersebut amat jelas sekali, orang kuat Nik Aziz yang juga Exco Kerajaan Negeri, Husam Musa masih lagi ‘angkuh’ dengan kemenangan 65 undi tersebut kerana bersandarkan alasan, ia tetap satu kemenangan.
Malah bagi menutup ‘malu’ atas kemerosotan prestasi PAS itu, Husam sebaliknya seperti mana biasa terus menuduh UMNO mencapai prestasi yang baik itu kerana menggunakan wang untuk mempengaruhi pengundi. Satu alasan atau tuduhan yang sudah lali didengar.
Sedangkan Husam tidak boleh menutup hakikat kenyataan Nik Aziz yang jelas boleh memesongkan akidah umat Islam dengan menjanjikan syurga kepada mereka yang menyokong PAS. Sedangkan urusan syurga neraka adalah urusan Allah.
Namun hakikatnya, tidak dapat dinafikan suasana di pusat pengumuman keputusan, kemenangan PAS itu tidak dirasai seperti apa yang ‘dibanggakan’ oleh Husam. Muram, sepi dan longlai sahaja suasananya. Kira-kira hanya 1,000 orang sahaja berkumpul di luar dewan itu pun para penyokong dari luar yang telah siap sedia untuk balik ke tempat masing-masing.
Mungkinkah kemerosotan prestasi PAS di Manek Urai merupakan lanjutan kepada penolakan kepada kepimpinan Nik Aziz sejak Muktamar parti itu di Shah Alam yang menolak semua calon dari Kelantan untuk memegang jawatan dalam parti itu kecuali Datuk Kamruddin Jaafar yang lebih dilihat sebagai orang KL. – 14/7/2009
No comments:
Post a Comment