KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan prosiding kes liwat Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus diteruskan walaupun tanpa kehadiran peguam utama, Sulaiman Abdullah.
Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan perkara itu atas dasar salah seorang daripada lapan peguam Anwar boleh menggantikan Sulaiman bagi mengetuai pihak pembela.
Katanya, kesemua peguam Anwar telah mengikuti prosiding itu sejak hari pertama.
Ketika ini, peguam Edmund Bon sedang membacakan hujah bagi permohonan dokumen.
BERITA TERDAHULU
Prosiding kes liwat Anwar ditangguh hingga 2 petang
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini yang dijadual mendengar dua prosiding berkaitan dengan kes liwat Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim menangguhkan prosiding itu sehingga 2 petang ini.
Mahkamah sepatutnya mendengar permohonan mendapatkan dokumen dan sebutan kes menentukan tarikh perbicaraan.
Ia dijadual didengar pagi ini di hadapan hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Pihak pembela memohon kepada hakim pagi tadi untuk menunda kes hari ini bagi mereka merancang semula strategi dan menentukan siapa yang akan mengetuai pembelaan.
Bagaimanapun hakim mahu prosiding diteruskan hari ini.
Hakim hanya memberi masa sehingga pukul 2 petang.
Ia diputuskan dalam kamar hakim.
Prosiding yang sepatutnya diadakan pada 8 Julai lalu terpaksa ditangguhkan ke hari ini berdasarkan permohonan pihak pembelaan ekoran peguam utama Anwar, Sulaiman Abdullah menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana mengalami masalah kesihatan.
Mahkamah dimaklumkan bahawa pihak pembelaan menerima surat daripada pihak hospital bertarikh 6 Julai yang menyatakan Sulaiman perlu menjalani pemeriksaan lanjut selama seminggu kerana menghadapi masalah pening kepala.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau dimaklumkan Sulaiman menghadapi masalah kesihatan yang agak teruk.
"Saya dimakkumkan mengenai masalah kesihatan Haji Sulaiman yang kini agak teruk lewat petang semalam.
"Beliau tidak boleh teruskan kes saya ini dan juga mana-mana kes lain, beliau terpaksa menarik diri dari kes ini...ia adalah berita yang menyedihkan bagi barisan pembelaan.
"Oleh itu saya perlu berbincang semula dengan barisan peguam yang lain untuk menentukan penggantinya," katanya semasa ditemui di dalam mahkamah.
Sementara itu, wakil peguam Anwar, Sankara Nair ketika ditemui berkata, pihaknya cuba untuk meminta hakim menangguhkan prosiding hari ini bagi memberi peluang kepada anak guam mereka menentukan pengganti Sulaiman.
Bagaimanapun katanya hakim menolak dengan alasan Anwar boleh diwakili oleh mana-mana peguam yang terlibat dalam kumpulan pembelaan ini.
"Jadi kita terpaksa untuk berbincang dahulu mengenai kedudukan kes ini.
"Buat masa ini kita belum kenal pasti siapa yang akan menggantikan Sulaiman," katanya.
Ditanya sama ada salah seorang peguam Anwar akan mengetuai kes Anwar, Sankara berkata tidak ada seorang dari mereka yang layak untuk memikul tanggungjawab tersebut.
"Pengganti Sulaiman mestilah setaraf dengannya dari segi senioriti, kami masih junior malah saya sendiri masih belum capai tahap beliau terutamanya kecekapannya dalam berbahas," katanya.
Sankara juga berkata jika sehingga pukul 2 petang ini pihaknya masih belum menemui pengganti yang sesuai, mereka berkemungkinan akan menemui semula hakim bagi memohon supaya mempertimbangkan supaya kes ini ditangguhkan.
"Untuk mencari pengganti bukannya mudah, kami memerlukan masa sekurang-kurangnya satu atau dua minggu.
"Malah Datuk Seri Anwar mempunyai hak untuk menentukan siapakah peguam yang akan mewakilinya di bawah Seksyen 5 Perlembagaan Persekutuan...kami hanyalah peguam pembantu," katanya.
Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari, 23, di Unit 1151, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun lepas.
Sementara itu di luar Kompleks Mahkamah Tinggi Jalan Duta, pihak polis mula membuat kawalan keselamatan seawal pukul 6.45 pagi.
Kawalan tersebut adalah bagi mengawal sebarang kemungkinan terutamanya dikalangan penyokong Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR).
source : mstar
No comments:
Post a Comment