SHAH ALAM - Dua pemimpin Pas yang bertindak menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor, boleh dianggap sebagai pengikut setia Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata, atas alasan itu mereka sanggup membelakangi keputusan parti dengan menyatakan sokongan kepada Dr Wan Azizah.

“Saya tidak terkejut jika dua tokoh ini menyokong Anwar kerana mereka dari awal lagi pengikut setia Anwar.

“Bila kita tahu sejarah, kita dapat simpulkan mengapa dua tokoh ini memberi sokongan kepada PKR,” katanya.

Beliau mengulas berhubung tindakan Adun Hulu Klang, Saari Sungib dan Adun Morib, Hasnul Baharuddin yang membelakangi keputusan Pas dalam krisis penggantian Menteri Besar Selangor.

Menurutnya, ideologi dua Adun berkenaan semakin menyerlah setelah usaha Anwar menaikkan isterinya, Dr Wan Azizah menemui jalan buntu.

“Kita tengok dua tokoh ini adalah bekas anak buah Anwar dan mereka muncul ketika parti berada dalam keadaan tersepit,” katanya.

Tambahnya, kenyataan dua Adun itu kononnya parti mereka lambat membuat keputusan berhubung pengganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hanya alasan semata-mata.

source : sinar harian