NUFFNANG

Sunday, 2 February 2014

ADUHAI PAS....PAS TERUS JADI MANGSA DIPERBODOHKAN PKR

PAS TERUS JADI MANGSA DIPERBODOHKAN PKR


KEPIMPINAN Pas di semua peringkat ketika ini menunjukkan keberanian luar biasa 
apabila mengkritik hebat wayang politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor 
ekoran peletakan jawatan Lim Chin Cheh sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri 
(ADUN) Kajang.

Apa yang tidak boleh diterima oleh Pas ialah tindakan itu dilakukan tanpa berbincang 
dengan parti tersebut dan dibuat atas tujuan politik semata-mata demi memberi laluan
kepada PKR menggantikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ahli Jawatankuasa Pas pusat, Nasrudin Hassan menyifatkan tindakan wakil rakyat 
PKR itu haram dan telah mengkhianati amanah serta memudaratkan rakyat.

Dewan Pemuda Pas pula memberi amaran akan memboikot pilihan raya kecil tersebut 
jika Chin Cheh gagal memberi penjelasan munasabah. Ketua Penerangan Pas 
Terengganu, Mohd.Nor Hamzah turut menganggap PKR melakukan pengkhianatan 
terhadap rakan pakatan.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Norazli Musa pula mengaitkan tindakan PKR 
tidak berbincang dengan Pas terlebih dahulu seperti pengkhianatan Yahudi terhadap 
perjanjian bersama Nabi Muhammad SAW yang berlaku di belakang tabir.

Beliau mengimbas kembali bagaimana peperangan Bani Nadhir, perang Ahzab, perang 
Bani Quzaizah dan perang Khaibar tercetus kerana pengkhianatan oleh Yahudi.

Apa yang menjadi persoalan sejauh manakah Pas akan bertegas kali ini supaya 
maruah mereka sebagai sebuah parti Islam tidak terus diperkotak-katikkan dan dipandang 
remeh oleh PKR.

Ia memandangkan, sebelum ini Pas berbesar hati menyerahkan kerusi Menteri 
Besar Selangor kepada PKR biarpun dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, rakyat 
Selangor dengan begitu jelas telah memberi sokongan padu kepada Pas apabila 
berbanding 2008 parti itu hanya memperolehi lapan kerusi Dewan Undangan Negeri 
(DUN) tetapi meningkat sehingga 15 kerusi kali ini. Sementara PKR pula berkurangan 
satu kerusi berbanding 2008 kerana memperolehi 14 kerusi pada pilihan raya tahun ini.

Bagaimanapun PKR seperti biasa tidak pernah menghormati Pas yang bersedia
 menerima pelbagai kecaman kerana mengadakan tahaluf siyasi dengan parti tersebut 
dan DAP.

Justeru, apakah penentangan yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin Pas itu bersifat 
sementara atau hanya dilakukan oleh golongan tertentu sahaja dalam parti tersebut.

Ia memandangkan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu sudah menggesa anggota
 parti itu supaya patuh kepada keputusan meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 
calon di DUN Kajang. Semua orang amat memahami betapa kuatnya pengaruh Anwar dalam
kalangan sesetengah pemimpin Pas dan mereka ini pula memegang jawatan strategik 
dalam parti tersebut.

Bagaimanapun ini tidak bermakna pemimpin dan ahli Pas harus tunduk dengan misi 
memenuhi impian Anwar yang mahu menjadikan Kajang sebagai 'menara tinjau' 
jalan ke Putrajaya, setelah gagal berbuat demikian sepanjang menjadi Ahli Parlimen 
Permatang Pauh.

Mereka perlu faham maruah Pas kini dicabar sekali lagi, mereka sepatutnya tidak 
membiarkan PKR terus dominan dalam pakatan pembangkang bersama DAP sedangkan 
kedua-dua parti itu amat bergantung kepada Pas untuk meraih sokongan orang Melayu.

Oleh itu, dalam kes di Selangor, Pas perlu menuntut kembali haknya menduduki kerusi 
menteri besar memandangkan PKR telah mungkir janji apabila mahu menyingkirkan 
Abdul Khalid. Sebelum ini, Pas menyatakan persetujuan kerusi itu dikekalkan kepada 
PKR kerana mahukan Abdul Khalid tetapi sekarang situasi sudah berubah.

Lagipun sejak awal lagi, penganalisis politik berpendapat Pas sepatutnya tidak beralah 
di Selangor kerana jika dibiarkan jawatan dimiliki oleh calon PKR, maka pentadbiran 
kerajaan negeri menjadi tidak stabil gara-gara perbalahan politik antara Abdul Khalid 
dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Pas juga diingatkan agar menjadi king maker di Selangor untuk mengelakkan 
perbalahan antara Abdul Khalid dan Azmin melarat sehingga mungkin boleh melemahkan
perjalanan pentadbiran negeri itu.

Sekarang apa yang diramalkan sudah menjadi kenyataan. Pentadbiran kerajaan 
negeri menjadi 'mangsa' wayang dan perbalahan politik PKR. Apa yang lebih malang, 
ia akan turut menyeret Pas untuk bersekongkol bagi menyokong keputusan PKR 
mengadakan satu pilihan raya kecil.

Apa yang dibimbangkan, gegaran bantahan pemimpin Pas sama ada di Pusat mahupun 
di Selangor hanya sementara. Ia kerana semua pihak amat memahami politik 'pak turut' 
Pas dalam pakatan pembangkang.

Beberapa isu yang tercetus sebelum ini sudah menjadi bukti bagaimana Pas tidaklah 
setegas mana apabila berhadapan dengan PKR dan DAP, apatah lagi melibatkan 
Anwar yang menjadi harapan pembangkang untuk membawa mereka mencapai impian 
menguasai Putrajaya.

Kemelut politik PKR di Selangor sepatutnya menjadi medan terbaik untuk Pas 
memperbetulkan keadaan jika mereka berjuang atas nama kebenaran dan menolak 
perbuatan haram yang dilakukan oleh PKR.

Sudah cukup selama ini, imej Pas tercalar gara-gara mainan politik tidak berkesudahan 
PKR dan DAP. Di Selangor, Pas bukannya berada dalam kedudukan seperti di 
Parlimen iaitu mempunyai kerusi yang kurang berbanding PKR dan DAP, sebaliknya 
kerusi Pas lebih banyak daripada PKR dan sama banyak dengan DAP.

Oleh itu sudah tentulah Pas mempunyai kuasa dan tidak boleh diketepikan begitu 
sahaja dalam membuat penentuan siapa paling layak menjadi Menteri Besar Selangor. 
Pas tidak boleh bertolak ansur lagi.

Diharapkan Pas bertegas dengan menolak politik tidak bermaruah PKR bersesuaian 
dengan kenyataan Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mohd Khairuddin 
Aman Razalia-Takiri bahawa:

''Melibatkan diri dalam Pilihan Raya Kecil DUN Kajang semata-mata untuk memenangkan 
agenda Anwar menjadi Menteri Besar menggantikan Khalid Ibrahim adalah satu 
pengkhianatan terhadap Pas. Tidak sewajarnya ahli Pas membiarkan ia berlaku.''

source : jiwa paradox

No comments: