PKR Selangor Sokong Mohd Shamsul Saman Presiden PAS
SHAH ALAM: Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie menyifatkan kes saman bekas calon parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang merupakan pengajaran kepada semua pihak agar tidak sewenang-wenangnya membuat tuduhan tanpa fakta yang jelas.
Malah, beliau turut menyokong tindakan Mohd Shamsul itu yang dilihat sebagai langkah mempertahankan dirinya.
“Ini adalah satu pengajaran kepada semua pihak supaya tidak menuduh seseorang dengan tuduhan yang tidak mempunyai fakta yang jelas.
“Pada saya tindakan yang diambil individu yang terlibat yakni yang menyaman Presiden PAS itu adalah satu tindakan mempertahankan diri. Jadi, kita tidak boleh sembarangan menuduh orang tanpa bukti yang sahih dan yang nyata, yang jelas serta boleh diterima,” katanya kepada Antarapos.
Shuhaimi berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengarahkan Abdul Hadi membayar saman berjumlah RM2 juta dalam penghakiman ingkar yang diperolehi Mohd Shamsul.
Abdul Hadi juga diarahkan membayar 5 peratus faedah dari writ yang difailkan sehingga penyelesaian penuh dan kos tindakan sebanyak RM1,500.
Mahkamah membuat keputusan itu selepas Abdul Hadi gagal untuk memfailkan writ bagi menangkis dakwaan Mohd Shamsul.
Justeru, Shuhaimi berkata Presiden PAS itu perlu bertanggungjawab atas tindakannya itu.
“Jadi, kalau kita sanggup untuk menuduh seseorang tanpa bukti maka kita perlu bertanggungjawab ke atas tuduhan yang kita buat,”tegasnya.
Shuhaimi juga bersetuju bahawa semua pihak harus mengambil tindakan yang sama meskipun tuduhan itu datang daripada dalam kalangan keluarga Pakatan Rakyat (Pakatan).
“Ya, sememangnya begitu kerana tuduhan yang dibuat seseorang yang mempunyai status setinggi Presiden adalah satu tuduhan yang berat kalau tidak disertakan dengan bukti. Mungkin ia hanyalah masalah teknikal tetapi individu yang dituduh itu berasa beliau dihina,” jelasnya lagi.
Namun Hadi semalam memfailkan permohonan bagi mengenepikan perintah penghakiman ingkar berhubung kes saman fitnah tersebut dan mahkamah menetapkan pendengaran permohonan itu pada 30 Mac depan.
Dalam pada itu mengulas dakwaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang, Datuk Mohd Zaid Ibrahim bahawa insiden terbabit bukti jelas berlakunya perselisihan dalam Pakatan ini jawab beliau:
“Dalam BN juga wujud perselisihan faham yang jelas bukan dalam PR sahaja. Sebagai sebuah parti politik kita tak dapat lari daripada perbezaan pendapat dan pastinya perbezaan tindakan serta pastinya ada juga laluan yang berbeza. Visi kita satu menumbangkan Umno-BN, itu jelas,” ujarnya.
“Jadi, apa yang disebut oleh Zaid itu pada saya adalah tidak lebih dari satu propaganda untuk terus memecahkan PR yang mana pada pengamatan beliau mungkin sedang berlaku krisis yang teruk,” tambahnya lagi. Antarapos
source : aidc
No comments:
Post a Comment