NUFFNANG

Thursday, 27 February 2014

BACA, FIKIR, FAHAMI DAN ANALISA...Seminar Pemikiran Kassim Ahmad Full text

Seminar Pemikiran Kassim Ahmad Full text

Seminar Pemikiran Kassim Ahmad - Part 1 - Full text

Lokasi  : Yayasan Kepimpina Perdana, P8, Putrajaya

Acara : Seminar Pemikiran Kassim Ahmad

Tarikh : 16/2/2014


1. Pendahuluan

Hari ini hari istimewa bagi saya. Hari ini saya akan meluahkan isi hati 
saya tanpa sekata, insya Allah. Hari ini saya akan mempertanggungjawabkan 
kehidupan saya di dunia. Saya ada satu dua kerja yang ingin saya lakukan, 
tetapi selepas hari ini, saya reda kalau dipanggil Tuhanku untuk diadili.

Saya tidak mendakwa saya seorang yang baik. Saya melakukan banyak 
kesilapan dalam kehidupan saya. Saya jangka saya bukan berseorangan. 
Tidak ada manusia yang sempurna. Hanya Tuhan yang sempurna. 
Tetapi saya boleh mengatakan saya telah cuba hidup sebagai seorang 
yang patriot bagi bangsa saya dan bagi bangsa manusia. [1]

Ketika saya seorang muda, saya bersumpah untuk berkata-berkata 
dengan bebas. [2] Saya bersumpah saya akan mendedahkan segala 
kepalsuan. [3]

Semua orang tahu saya bermula sebagai seorang remaja berhaluan kiri 
berjuang untuk rakyat marhaen menentang parti kebangsaan Melayu, UMNO, 
yang pada waktu itu saya anggap reaksioner, walaupun akhirnya saya 
pulang ke akar keMelayuan saya dan memasuki UMNO.

Pada 9 September tahun lalu, saya menjengkau 80 tahun tanpa apa-apa 
perayaan. Hanya sahabat-sahabat saya di Kuala Lumpur, antara lain 
Dr. Chandra Muzaffar, Sasterawan Negara Dato’ Baha Zain dan Nik Aziz 
Hassan, telah bermuafakat untuk meraikan harijadi itu dengan satu 
majlis penilaian kritis terhadap karya-karya saya. Majlis ini dijadualkan pada 
15 Februari, 2014. Dalam pada itu, saya telah merancang untuk bercakap 
dalam satu Konferensi Politik Nasional tentang halatuju negara kita untuk 
tiga puluh tahun akan datang. Ucapan ini dijadualkan pada hari berikutnya, 
iaitu 16 Februari, 2014.
Inilah latar belakang majlis harijadi saya yang ke-80.
 2. Keadaan Dunia Sekarang

Negara kita Malaysia sedang melalu satu zaman yang penuh pancaroba. 
System komunisme sudah runtuh pada akhir abad ke-20. System liberalisme 
yang kita anuti sekarang juga sedang runtuh di depan mata kita—di Eropah dan 
Amerika Syarikat.

Keruntuhan system komunisme kerana system ini menafikan hak kebebasan 
individu. Ia melebihkan hak kolektif, yang dipergunakan oleh kepimpinan 
untuk melaksanakan sistem dictator! Sistem liberalisme melebihkan hak 
kebebasan individu dengan menafikan hak kolektif.

Kedua-dua sistem ini melanggar konsep “sempadan Allah”, atau apa yang 
disalah-ertikan sebagai “hukum hudud”. Konsep ini langsung tidak ada 
kena-mengena dengan hukuman. Ia merujuk kepada suatu undang-undang 
universal, iaitu dalam tiap-tiap perbuatan, manusia tidak boleh melampaui 
batasan undang-undang alamiah. [4] Umpamanya, dalam hal makan: mudarat 
kalau tidak makan, tetapi kalau kita makan terlalu banyak pun mudarat 
juga. Demikianlah bagi tiap-tiap perbuatan wujud suatu sempadan yang tidak 
boleh kita lampaui.
3. Masa Depan
Apa akan berlaku dalam masa 30 tahun akan datang? Apakah sistem ganti yang 
harus kita pilih sekarang? Mengikut kitap suci yang terakhir kepada manusia iaitu
Quran, satu-satunya kitab suci yang dijamin oleh Tuhan sendiri [5], dan 
yang mengesahkan dan mengatasi semua kitab suci lain, [6] hanya ada satu jalan 
yang lurus yang Dia restui di antara jalan-jalan yang menyeleweng. Jalan-jalan 
yang menyeleweng itu disebut jalan-jalan mereka yang Dia murkai, dan 
jalan-jalan mereka yang sesat.

Apakah jalan yang Dia murkai? Tuhan pasti murkai kumpulan-kumpulan manusia 
yang memberontak terhadap-Nya. Dalam zaman moden, kumpulan itu kaum 
marxis komunis yang menafikan Dia serta mengamalkan cara hidup yang menafikan 
Dia. Dengan perkataan lain, dalam kehidupan mereka, mereka menafikan 
dimensi-dimensi moral dan spiritual. Oleh kerana ini, cara hidup ini berlawanan 
dengan undang-undang alamiah, dan pasti musnah. Sistem komunisme 
sudah pun musnah.

Satu lagi jalan menyeleweng kita panggil sistem teokrasi, yakni kepimpinan satu 
kasta paderi melantik diri mereka sendiri serta mendakwa mentadbirkan negara 
atas nama Tuhan. Contohnya dari zaman pertengahan Eropah, sistem Paus. Dalam 
dunia moden, Eropah sudah menyingkirkan sistem Paus ini, tetapi dalam dunia 
Islam, negara Iran dan Arab Saudi sedang melaksanakan sistem ini.

Nyatalah sistem ini gagal menyelesaikan masalah-masalah sosio-ekonomi 
menghasilkan pekerjaan dan makanan untuk rakyatnya dan dengan itu 
gagal menyelesaikan masalah-masalah lain dalam masyarakat.

4. Negara Malaysia

Negara kita Malaysia, walaupun dikatakan negara Islam, sebenarnya mengamalkan 
sistem liberalisme. Mengikut kata-kata Kerajaan Pusat, ekonomi Malaysia baik 
dengan pengangguran sifar dan peratusan inflasi pada tahap minima. Namun 
kemudian, Malaysia boleh dikatakan tiap-tiap hari 
menunjukkan ketegangan antara kaum dan agama. Apakah caranya untuk 
menyelesaikan perkara ini secara muktamad?

Jalan yang lurus yang dirujuk dalam surah Al-Fatihah tadi – apakah jalan itu? 
Tadi telah kita nyatakan ada tiga jalan yang menyeleweng : sistem marxis 
komunis, sistem teokrasi dan sistem liberalisme. Seperti yang telah kita 
nyatakan, ketiga-tiga sistem ini telah atau sedang menuju kehancuran. 
Maka semestinyalah masyarakat manusia dalam abad-abad ke-21 dan mendatang 
mencari sistem jalan yang lurus ini. Dengan perkataan ini, inilah sistem hidup 
yang dirujuk dalam Quran dalam surah 3 ayat 19, yang berbunyi, “Sesungguhnya 
agama yang Tuhan reda itu Islam”.

5. Keadaan Orang Islam Sekarang

Orang Islam berjumlah 2.1 bilion di seluruh dunia. Bolehkah kita katakan 
mereka semuanya mengikut cara hidup Islam yang sebenar? Sekiranya benar, umat
Islam hari ini harus berada pada kedudukan nombor 1 dalam dunia, seperti yang 
berlaku dalam sejarah. Sejarah mencatat dalam zaman pertengahan Uthman Ibni 
Affan, khalifah Islam ke-3, setelah 60 tahun Nabi Muhammad wafat, orang Arab 
yang tidak terkenal itu melonjak naik menjadi kuasa nombor satu dalam 
dunia, mengalahkan Empayar Parsi dan sebahagian besar Empayar Baizantium, dua 
kuasa besar dunia pada zaman itu. [7]

Tetapi umat Islam sekarang duduk di bawah daripada 
Britain, Perancis, Amerika Syarikat, Rusia, China dan India, semuanya negara 
bukan Islam.

6. Gerakan Pembaharuan Islam

Gerakan pembaharuan Islam moden, dikira dari Sheikh Muhammad Abduh (m. 1903) 
dan Jamaluddin Al-Afghani (m. 1897) yang diharapkan untuk membersihkan Islam 
dari kepercayaan-kepercayaan khurafat dan membangkitkan semula Islam sudah 
berusia lebih 100 tahun, sedangkan umat Islam masih di tahap di belakang negara-
negara yang kita sebut tadi. Dengan sendirinya, ini bermakna umat Islam hari 
ini di seluruh dunia tidak mengikut sistem hidup Islam seperti yang diajar oleh 
semua nabi dan disempurnakan oleh Nabi Muhammad, penyudah segala nabi.

Seminar Kassim Ahmad - Part 2 - Full Text - wajib baca

Lokasi : Yayasan Kepimpinan Perdana

Acara : Seminar Pemikiran Kassim Ahmad

Tarikh : 16/2/2014
....sambungan dari Bahagian Pertama

7. Kesilapan Umat Islam

Di manakah kesilapan-kesilapan besar mereka? Saya akan senaraikan beberapa 
kesilapan besar itu di sini.

    1. Umat Islam pada hari ini tidak mengikut ajaran-ajaran nabi Muhammad dalam Quran. 
Inilah kesilapan yang besar yang telah mereka lakukan. Mereka ikut satu kasta paderi 
yang dipanggil Ulama, seperti penganut-penganut agama Hindu dan Kristian dulu. Kasta 
paderi ini tidak wuhud dalam zaman Nabi dan empat khalifah rasyidun. Mereka muncul 
kira-kira 300 tahun kemudian dan melantik diri mereka sendiri sebagai pentafsir ugama
 kepada umat Islam.

      2. Khususnya, kesilapan-kesilapan itu boleh saya senaraikan seperti berikut:


a. Mereka mendewa-dewakan pemimpin-pemimpin ugama mereka yang mereka 
anggap maksum dan yang telah memutuskan semua soalan dalam kehidupan mereka - apa 
yang dikatakan ‘penutupan pintu ijtihad’. Dalam puak ahli sunnah wal-jamaah, 
empat pemimpin besar boleh dikenal pasti, iaitu : Imam Shafi’e (767-820), Imam Hanafi 
(699-767), Imam Hanbali (780-855) dan Imanm Maliki (711-795). Dalam mazhab Syiah, mereka 
ada imam-imam mereka pula. Imam-imam ini telah mereka dewa-dewakan berlawanan 
dengan perintah Tuhan melarang pendewaan seseorang pemimpin atau sarjana, dan, 
malah, berlawanan dengan ajaran imam-imam besar itu sendiri.

b. Mereka mendewa-dewakan Nabi Muhammad. Syahadah yang kedua itu satu bukti. 
[8] Juga dikebanyakan rumah orang Islam, perkataan-perkataan ‘Allah’ dan ‘Muhammad’
 ditulis sama besar dan sama paras. Apabila disebut Muhammad, frasa ‘sa’al-Lallahu 
‘alaihi wasallam’ (SAW) disebut sekali, sedangkan apabila disebut nama nabi-nabi lain, 
disebut ‘alihissalam’. Pada hal frasa SAW itu ditujukan juga kepada orang mukmin juga 
dalam Quran. [9] Juga perkataan ‘salla/yusalli’ bermakna ‘restu’, ‘bantu’ dan ‘sokong’, 
bukan selawat, seperti yang dibuat sekarang.

c. Perhatikan satu perubahan baru dalam ‘aurat wanita’. Perkataan ‘aurat’ berasal 
dari bahasa Arab. Ertinya ‘kebogelan’. Tiga puluh tahun dulu, wanita-wanita Islam 
tidak memakai tudung. Mereka memakai selendang, sehelai kain yang mereka letak di 
bahu, atau pun di atas kepala tanpa menutup semua rambut, kerana rambut bukan 
‘aurat wanita’. Menutup rambut dengan bertudung bermakna udara bersih tidak 
dapat memasuki rambut. Dengan itu rambut menjadi busuk. Dengan lain perkataan, ia 
tidak sihat. Anehnya, wanita-wanita yang tidak bertudung menganggap diri mereka lebih 
suci! [10]

Sebab-sebabnya nyata mengapa umat Islam jatuh. Mereka telah mengabaikan 
ajaran-ajaran Tuhan yang sebenar serta mengikut ajaran-ajaran kasta paderi.


Tiap-tiap generasi diperintah oleh Tuhan mengkaji semula ajaran-ajaran pemimpin 
mereka yang terdahulu; yang betul diterima dan diteruskan, yang salah ditolak. 
Inilah yang seharusnya dilakukan oleh generasi-generasi Islam kemudian. 
Malangnya, penilaian semula ini tidak dapat mereka lakukan persis kerana pendewaan 
tadi. Maka itu apabila saya menulis buku Hadis – Satu Penilaian Semula pada tahun 
1986, langit Malaysia runtuh menimpanya! Selama dua bulan, perbincangan berlaku 
dalam televisyen, radio, akhbar dan majalah tentang buku ini. Sesetengah menyokong 
saya dan sesetengah membantah. Selepas dua bulan, buku ini diharamkan oleh 
pihak berkuasa atas hasutan pihak yang berkepentingan.

Siapakah yang mewajibkan hadis sebagai satu sumber undang-undang sama seperti 
Quran dalam masyarakat Islam? Jawabnya, Imam Shafi’e (767-820). Beliaulah 
yang bertanggungjawab membuat doktrin baru menyatakan hadis satu sumber hukum 
seperti Quran. [11] Sebelum beliau, apa yang dikatakan hadis sudah muncul, 
tetapi bilanganya sedikit sekali dan tidak mewajibkan diikut oleh umat Islam. 

Sejarah mencatat khalifah-khalifah Abu Bakr, Omar Ibni Khattab, Uthman Ibni Affan 
dan Ali Abi Talib memiliki buku-buku nota yang mereka tulis perkataan-perkataan 
dan perbuatan-perbuatan Nabi. Catitan-catitan ini tidak banyak dan hanya menjadi 
ikutan, jika sesuai, tetapi tidak diwajibkan.

Setelah doctrin baru oleh Imam Shafi’e ini diterima oleh masyarakat Islam, 
timbulllah pengumpul pengumpul hadis seperti Imam Bukhari (m, 870).  Imam Muslim 
(m.875) dan lain-lain. Imam Bukhari dilaporkan telah mengumpul 600,000 hadis dan 
beliau menapis hadis-hadis ini sehingga akhirnya tinggal 7,275 hadis yang beliau 
isytiharkan sebagai hadis sahih [12].

ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) melalui setiausaha agungnya pada waktu itu, 
Encik (sekarang Dr.) Sidek Baba, telah datang ke rumah saya dan meminta satu 
dialog tentang buku saya.  Saya memberi persetujuan dengan syarat keputusan 
tidak diambil dalam dialong itu.  Saya meletakkan syarat itu kerana pegangan imat 
Islam kepada hadis sangat kuat dan tidak boleh dihapuskan dalam masa sehari.  Pihak 
ABIM bersetuju dengan syarat itu.  Malangnya, apabila dialog itu diadakan di 
Universiti Islam Antarabangsa pada 28 Jun, 1986, saya terlupa untuk menyatakan 
kepada majlis dialog itu tentang syarat yang saya kenakan.  Apabila dialog itu selesai, 
pihak ABIM telah mengeluarkan sehelai kertas dari saku ketua mereka yang 
mencatat bahawa buku saya menyeleweng dari ajaran Islam dan saya juga 
dianggap menyeleweng dari ajaran Islam sebenar!

Akibat dari dialog ini buku saya diharamkan oleh Kerajaan.  Nyatalah pengharaman
 buku ini satu muslihat yang sudah diatur oleh pihak yang berkepentingan.


Kembali kepada soal Islam agama Persekutuan Malaysia atau Islam sebagai agama rasmi, 
ingin saya menyatakan bahawa pernyataan ini dalam Perlembagaan Malaysia 
menyalahi ajaran Quran dan menyalahi Piagam Madinah yang digubal oleh 
Nabi Muhammad sendiri.  Dari segi logika, sesebuah negara-bangsa tidak ada ugama.  

Ugama dianut oleh penduduknya, sama ada Islam, Buddhist, Hindu atau Kristian.  
Ajaran Quran mengisytiharkan dengan jelas tidak ada paksaan dalam agama [13].  
Ini bermakna warganegara Malaysia boleh menganut apa juga agama yang mereka suka
 tanpa halangan undang-undang.

Dalam Piagam Madinah, agama itu urusan penganut-penganutnya secara autonomi. 
[14] Ini bermakna orang Muslim mentadbirkan urusan-urusan  agamanya secara 
autonomi.  Demikian juga orang Buddhist, orang Hindu dan orang Kristian, dan 
lain-lain.  Dengan ini, tidak akan berlaku konflik atau ketegangan antara agama dan 
kaum.  Dengan ini perpaduan dan harmoni antara kaum di Malaysia akan menjadi 
lebih mantap dan stabil.

Kembali kepada soal jalan yang lurus dipilih oleh rakyat Malaysia untuk dijadikan 
sistem hidup mereka, perkara utama tidak lain dan tidak bukan pemerintahan yang adil 
yang ditubuhkan melalui perundingan. [15] Sistem dwi-parti yang kita import dari 
Eropah tidak sesuai, pada dasarnya, dengan ajaran Islam.  Kita diberikan Tuhan dua 
tangan: mengapa kita gunakan satu tangan untuk merosakkan kerja satu tangan lain? 

Tidak bolehkah kedua-dua tangan bekerjasama untuk melakukan kebaikan bagi 
masyarakat kita? Jelaslah teori sekat dan imbang (Ing: check and balance) ini satu 
teori yang tidak ada kebenarannya.

Sebuah pemerintahan mestilah diwujudkan  di Malaysia melalui kaedah muafakat 
dan mentadbirkan negara-bangsa Malaysia dengan adil.  Inilah perintah Tuhan dan 
keperluan yang utama bagi rakyat Malaysia.  Dengan demikian, walaupun Malaysia 
dari segi sejarah, lahir dari Kesultanan Melayu Melaka dalam abad ke-15, hari ini 
sejak kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) pada tahun 1957, ia telah 
menjadi sebuah negara berbilang kaum dan agama dengan semua kaum mempunyai 
hak yang sama.

Tadi telah saya nyataan penyelewengan khusus yang telah dilakukan oleh umat 
Islam itu memecahkan masyarakat kepada sistem agama dan sistem sekular.  Ini 
bersalahan dengan ajaran Nabi Muhammad dalam Quran yang menggabungkan 
kedua-dua sistem ini secara harmonis. [16] Namum demikian, ajaran 
Quran juga menasihatkan umat Islam mengutamakan kediaman akhirat tanpa 
mengabaikan hak-hak mereka yang sah di dunia. [17] Perkara yang akhir ini 
menunjukkan perbezaan antara dunia dan akhirat.  Alam akhirat itu tidak 
lain dari alam dunia ini di peringkat yang lebih tinggi, yakni dari segi moral 
dan spiritual.  Nyatalah satu kasta paderi telah bertindak sebagai diktator 
kepada masyarakat Islam tanpa membenarkan perbezaan fikiran.  Perbuatan ini
melanggar perintah Tuhan yang terang yang berbunyi “Dengar semua pendapat 
dan ikut yang paling baik”. [18]

Harus diingat bahawa Islam yang datang ke dunia Melayu pada abat ke 15 dan 16,  
pasca kejatuhan Baghdad, yakni Islam yang telah kalah.  Walaupun ini fakta sejarah, 
telah dicatat oleh seorang sejarawan Melayu bahawa kota pelabuhan Melaka dalam 
abat ke 15 sebuah kota pelabuhan yang termasyhur di dunia, sama dengan Venice. 
[19] Malah telah dinyatakan oleh penulis Portugis, Tome Peres, bahawa Melaka pada
zaman itu begitu penting dan kaya ia tiada lawannya di dunia. [20] Dinyatakan 
oleh sejarawan Melayu tadi, 84 bahasa dpertuturkan di pelabuhan Melaka dan 
bahasa Melayu menjadi bahasa perantaraan atau lingua franca.  Fakta ini 
menyalahi anggapan kita yang pertama tadi.  Kemungkinan besar ada dua aliran 
Islam yang sampai ke Melaka dalam abad ke 14 dan 15.


Di awal tadi, telah kita petik sebuah ayat suci yang berbunyi, “Rasul akan berkata: 
‘Tuanku, umatku telah membelakangkan Quran ini.  Kami juga telah mewujudkan 
musuh-musuh  bagi rasul-rasul kami dari kalangan mereka yang berdosa.  Tuan kamu 
cukup sebagai pembimbing dan penolong”. [21] Amaran yang dahsyat ini telah wujud 
dalam Quran selama 1400 tahun lebih.  Saya tidak pernah bertemu dengan huraian 
yang panjang lebar atau sederhana panjang lebar tentang makna ayat-ayat 
yang menakutkan ini.

Apabila ayat-ayat Quran dibaca, kerap kali kaum agamawan Islam melagukan mereka 
dengan tajwid-majwidnya yang sungguh enak didengar.  Saya teringat zaman remaja 
saya apabila saya sendiri terpengaruh dengan lagu-lagu Quran dibacakan.  Saya 
telah mensifatkan perbuatan ini sebagai kaedah yang paling bijak untuk 
menyembunyikan Quran kepada umat Islam, yakni lagu mengatasi makna. [22]

Hari ini saya telah menjangkau umur 80 tahun.  Saya berfikir inilah masanya 
saya mahu bercakap secara langsung kepada kepimpinan politik dan intelektual 
rakyat Malaysia dan umat Islam di seluruh dunia tentang penyelewengan-
penyelewengan yang telah mereka lakukan serta membetulkan kesilapan-kesilapan 
kita supaya 30 tahun yang akan datang dan seterusnya kita boleh mencapai jalan yang
lurus yang telah diperintahkan oleh Tuhan kepada kita.



Harus diingat bahawa pertama sekali Quran itu bimbingan untuk orang-orang 
yang bertakwa. [23] Bimbingan ini hanya diberi oleh Tuhan sahaja kepada pencari-
pencari yang jujur.  Jadi, rakyat Malaysia yang beragama Islam dan umat Islam di 
seluruh dunia mestilah bertekad untuk mencari bimbingan ini dengan jujur. 

Kedua,Quran itu bukan untuk dilagukan dengan tajwid-majwidnya berdengung-
dengung.  Quran itu perutusan Tuhan yang terakhir kepada dunia.  Ia bimbingan 
kepada seluruh manusia.  Kita mesti ada satu kaedah yang saintifik untuk 
mentafsirkan ayat-ayat Quran itu supaya ia benar-benar menjadi bimbingan kepada 
umat Islam dan seluruh dunia.  Kaedah saintifik ini pada dasarnya bermakna 
Quran itu menjelaskan dirinya sendiri,  yakni ayat mentafsirkan ayat, bukan seperti 
kaedah tradisional yang mendakwa Hadis mentafsirkan Quran. [24]

Ketiga, kediktatoran kasta paderi [baca: ulama) harus disingkirkan.  Kaedah saintifik 
dan demokratik, yakni perdebatan yang rasional dan bijaksana, mestilah diutamakan.

Keempat, Quran itu mesti ditafsirkan semula oleh generasi yang mendatang, 
mewarisi tafsiran yang betul dan menolak tafsiran yang silap daripada generasi
yang terdahulu.

Kelima, mengikut ajaran Tuhan Sendiri, Quran itu diwariskan kepada mereka yang
Tuhan pilih daripada pelbagai kalangan, bersalahan dengan pegangan tradisional 
bahawa pewaris Quran itu para ulama. [25]

Keenam, nyatalah sistem hidup yang dianjurkan oleh Quran itu bersifat republican 
dan demokratik. Ini nyata daripada asal-usul Nabi Muhammad dan empat 
khalifah ar-rasyidun (Abu Bakr, Omar Ibni Khattab, Uthman Ibni Affan dan Ali 
Abi Talib).  Apabila Muawiyah merampas kerajaan Islam dari tangan kaum republikan 
dan demokratik ini, bermulalah zaman feudalisme dalam sejarah islam awal 
membawa kepada abad ke 20.  Umat Islam perlu kembali kepada zaman republikan 
dan demokratik yang telah kita sebutkan.  Hanya dengan demikian, Islam yang sebenar 
akan kembali semula ke dalam dunia serta memimpin umat Islam dan seluruh dunia 
kepada alam kejayaan dan kebahagiaan, seperti yang dijanjikan oleh Tuhan kepada 
umat Islam. [26]


8.  Langkah-Langkah Yang Perlu Diambil

UMNO, parti nasionalis, yang menjadi tulang belakang pemerintahan di Malaysia 
sekarang berasal sebagai sebuah gerakan massa pada 1946. Namun tiap benda yang 
hidup akan merosot. Demikianlah UMNO telah merosot. Hanya anggota UMNO dan 
rakyat Malaysia seluruhnya melalui Perhimpunan Agung UMNO boleh membaiki 
UMNO, melalui apa yang diperintahkan oleh Tuhan “menyerukan kebaikan dan 
melarang kejahatan”. Perhimpunan Agung UMNO tahunan mestilah menjadi sekat 
dan imbang atau penjaga kepada sistem pemerintahan di Malaysia. Rasuah, 
pembaziran dan kejahatan lain mestilah dikoreksi dari dalam oleh kita yang sedar 
sendiri.

Inilah yang harus dilakukan oleh rakyat Malaysia. Inilah juga yang harus dilakukan 
oleh umat Islam seluruh dunia. Tiada seorang Imam Mahdi atau Nabi Isa turun kali 
kedua boleh tolong mereka. Manusia tiada penolong dan pembantu kecuali diri 
mereka sendiri. Dengan izin Allah !

Saya telah menyatakan pada awal tadi bahawa saya akan meluahkan isi hatinya 
tanpa sekatan. Saya ingin menyatakan dengan rendah hati bahawa saya memohon 
kepada Tuhan Azza-Wajalla memberi taufik dan hidayah kepada saya dan menjauhkan 
saya daripada kesombongan dan kebanggaan. Saya ingin menyatakan terima kasih  
yang tidak terhingga banyaknya kepada sahabat-sahabat saya dalam Jawatankuasa 
Penaja yang dipimpin oleh Sdr Nik Aziz Hassan dan juga dari pelbagai bangsa dan 
agama yang telah mera’ikan hari jadi saya yang ke-80 dengan seminar penilaian 
kritis terhadap karya-karya saya. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada 

Tun Dr Mahathir Mohamad kerana sudi merasmikan upacara ini. Kami mengucapkan 
terima kasih kepada pihak dewan yang membenarkan kami menggunakan dewan 
yang permai ini.

Ucapan ini tidak kena-mengena dengan peringatan harijadi saya yang ke-80. 

Saya fikir sudah sampai masanya kita, rakyat Malaysia dan umat Islam di seluruh 
dunia, berdepan dengan realiti kita secara realistic dan bijaksana untuk menentukan 
masa depan kita semua, bukan sahaja untuk 30 tahun akan datang, tetapi untuk 
selama-lamanya.

Saya bercakap ini langsung kepada elit kepimpinan politik dan intelektual dan kepada 
massa rakyat. Saya harap mereka ambil peduli.

Terima kasih
KASSIM AHMAD
16 Februari, 2014

No comments: