NUFFNANG

Monday 17 February 2014

Apa strategi ‘Sahak’ pertahan kerusi MB? – Zulkiflee Bakar

Apa strategi ‘Sahak’ pertahan kerusi MB? – Zulkiflee Bakar

FEBRUARY 17, 2014
'Perebutan' jawatan Menteri Besar Selangor semakin panas apabila penyandangnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilaporkan menolak menandatangani surat peletakan jawatan yang disediakan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Surat itu dilihat 'cukup penting' bagi merealisasikan impian Datuk Seri Anwar Ibrahim menduduki kerusi tersebut, bersandarkan 'ramalan pak nujum politik pembangkang', Penasihat PKR itu dijangka menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini.
Malah agak melucukan kalau benar surat peletakan jawatan bertarikh 23 Mac tersebut iaitu pada hari yang sama PRK DUN Kajang dijalankan, seolah-olah pada hari itu ketika Anwar meraikan kemenangan, Abdul Khalid pula harus melangkah keluar dari Pejabat Menteri Besar.
Bagaimanapun, hakikatnya bukanlah satu kejutan jika Abdul Khalid 'memberontak' atau membantah sebarang usaha menyingkirkan beliau daripada kerusi Menteri Besar, kerana beliau amat memahami apa yang berlaku termasuk bahawa DUN Kajang hanyalah bermotif politik dan bukannya kegagalan menunaikan amanah menerajui Selangor.
Abdul Khalid terjerumus dalam pertarungan mempertahankan kedudukannya berikutan perbalahan politik beliau dengan ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali, disebabkan itulah PRK DUN Kajang diadakan.
PKR mengambil jalan pintas dengan mengheret rakyat Kajang bagi menyelesaikan masalah dalaman mereka.
Melalui percaturan politik dangkal itu, Anwar dikatakan akan 'ditabalkan' sebagai Menteri Besar menggantikan Abdul Khalid dan sekali gus diharapkan akan menamatkan perbalahan politik Abdul Khalid dan Azmin.
Ada pula sumber dalaman pembangkang Selangor memberitahu penulis, wujudnya spekulasi bahawa Anwar hanya mahu memastikan Abdul Khalid meletakkan jawatan sahaja, dan apabila itu berlaku, ia memudahkan perancangan untuk melantik Azmin menduduki jawatan itu, biarpun Anwar memenangi kerusi DUN Kajang.
''Masih ada keraguan bahawa DUN Kajang bukanlah 'batu loncatan' untuk Anwar hendak menjadi Menteri Besar Selangor tetapi sekadar membuka jalan kepada Azmin selepas Abdul Khalid bersetuju meletakkan jawatan.
''Mungkin Abdul Khalid menyedari 'permainan ini', disebabkan itulah beliau tidak mahu menandatangani surat peletakan jawatan dan meneruskan tugasnya seperti biasa," kata sumber tersebut.
Sememangnya Abdul Khalid tidak mahu menyerah kalah dengan begitu mudah, apatah lagi jika benar PKR mahu menamatkan perbalahan politik antara beliau dengan Azmin, mesti adanya penyelesaian berdasarkan situasi 'menang-menang', ertinya jika Abdul Khalid 'dikorbankan', Azmin juga perlu dikenakan syarat ketat untuk memastikan beliau tidak menjadi Menteri Besar.
Bagaimanapun caranya PKR pasti boleh melakukannya, kerana dalam PKR 'tiada apa yang mustahil' atau 'aneh'.
Persoalannya, apakah strategi Abdul Khalid atau 'Sahak' (nama timbangan di kampung) yang akan dilaksanakan bagi memastikan beliau tidak tersingkir dari kerusi Menteri Besar?
Ini kerana jika benar beliau menolak menandatangani surat peletakan jawatan yang dibuat kepimpinan PKR, ia secara langsung bermaksud beliau menentang kehendak Anwar yang dilihat sudah tidak sabar lagi menduduki kerusi Menteri Besar Selangor.
Setakat ini, jika sejarah politik PKR dikaji, tiada siapa pun yang berani menentang Anwar selagi mereka berada dalam parti tersebut.
Apa sahaja kehendak beliau akan diikuti. Dan Abdul Khalid juga dilihat tidak terlepas daripada peraturan tersebut.
Bagaimanapun sebagai Menteri Besar, Abdul Khalid memahami sejauh mana kekuatan atau kelebihan yang ada pada beliau untuk mempertahankan kedudukannya, ini termasuklah melakukan langkah drastik dengan meminta perkenan Sultan Selangor bagi membubarkan DUN bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.
Satu lagi kelebihan yang ada pada Abdul Khalid ialah beliau dikatakan disokong oleh ADUN PAS memandangkan rekod cemerlangnya sepanjang menjadi Menteri Besar.
PAS sememangnya sudah membayangkan mereka tidak bersetuju jika Abdul Khalid digantikan.
Kenyataan demi kenyataan yang dibuat oleh pemimpin PAS membuktikan mereka tidak merestui PKR bertindak mahu menyingkirkan Abdul Khalid, apatah lagi perancangan politik ke arah itu tidak dibincangkan dengan PKR biar pun PAS dan DAP mempunyai lebih banyak kerusi di DUN.
Ketika mengulas isu ini dalam blognya kelmarin, seorang penyokong tegar PAS dan pernah menjadi orang kanan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengimbas kembali kenyataan Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 berhubung pelantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.
Ketika itu Saifudin menyatakan, PAS dan DAP, menerusi presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng masing-masing telah bersetuju supaya Abdul Khalid yang juga ADUN Pelabuhan Klang diangkat sebagai Menteri Besar Selangor dan meneruskan khidmat cemerlang beliau menerajui pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.
Itulah kenyataan Saifuddin yang sekaligus menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan pemimpin PAS, mengapakah tidak sampai setahun memegang jawatan itu untuk penggal kedua Abdul Khalid mahu disingkirkan.
Penyokong PAS itu juga menghamburkan pujian dengan menegaskan, ''Di bawah beliau, Selangor terus bangkit gagah, maju dan perkasa menjadi sesuatu yang dikagumi rakyat dan malah musuh politik sekali."
Berdasarkan pujian seumpama itu, sudah tentulah PAS tidak boleh menerima hakikat Abdul Khalid perlu digantikan hanya semata-mata kerana masalah dalaman PKR.
Penulis diberitahu oleh seorang pemimpin muda PAS bahawa parti itu akan tetap mempertahankan Abdul Khalid dan usaha itu akan diperkukuhkan apabila selesai PRK DUN Kajang.
''Saya tidak pasti sama ada surat peletakan jawatan tersebut benar atau tidak, tetapi apa yang boleh saya katakan, pendirian PAS sebelum ini tidak berubah iaitu isu kedudukan Menteri Besar Selangor tidak berbangkit sama sekali," katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur.
Pemimpin muda Pas itu juga yakin, pendirian tegas parti tersebut memberikan semangat kepada 'Sahak' untuk mempertahankan kedudukan beliau dan tidak terus hanyut dengan agenda politik PKR yang sejak dulu, kini dan selamanya, hanya bercakap soal kuasa dan kedudukan sehingga sanggup mempermainkan mandat rakyat. – 17 Februari, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
source : mi

1 comment:

Anonymous said...

Lantak la sapa nak jadi MB , politik banyak andiaan ada yg betul ada yg x betul... asalkan mentadbir dgn ikhlas jujur dan nembantu rakyat menikmati kesenangan.. jgn macam BN yg terlalu angkuh , boros , rasuah dan macam macam lagi...