JIKA ANWAR NAK, DIA BOLEH ELAK HJ. HADI DISAMAN, TAPI ITULAH ANWAR SUKA TIKAM BELAKANG
Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Datuk Zaid Ibrahim berkata
isu saman yang dikemukakan calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan
Negeri (DUN) Bukit Besi, Terengganu, Mohd. Shamsul Mat Amin ke atas
Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh dielakkan dan dapat diselesaikan
di luar mahkamah jika Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim
bersungguh-sungguh mahu menyelesaikannya.
Zaid dilaporkan Utusan melahirkan kehairanan mengapa Anwar yang
diangkat sebagai Ketua Pembangkang bertindak mendiamkan diri
dan tidak mengarahkan Mohd. Shamsul menarik balik saman terbabit
sehingga maruah Presiden PAS tercalar apabila diperintah mahkamah
membayar saman berjumlah RM2 juta kepada calon PKR itu.
Menurutnya, fenomena ini menunjukkan kecelaruan dan perpecahan
dalam kerjasama politikantara komponen pakatan pembangkang
khususnya membabitkan PKR dengan Pas.
“Isu ini tidak harus dilihat secara sempit. Ini lebih besar iaitu
menunjukkan seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena, yang boleh
memberi persepsi wujudnya permusuhan yang serius di antara PKR dengan
PAS. Dari segi moral tindakan wakil PKR di Terengganu menyaman Presiden
PAS hanya menunjukkan kecelaruan dalam pakatan.
“Mengapa Anwar hanya berdiam diri dalam isu ini yang sudah berlaku
sejak pilihan raya umum lalu? Mengapa Anwar membiarkan ahli
partinya mengemukakan saman terhadap rakan karibnya sendiri? Tidakkah
ini mengelirukan rakyat dan penyokong pakatan,” katanya dalam satu
kenyataan semalam.
Mahkmah Tinggi Kuala Terengganu dalam penghakiman ingkar pada 23
Februari telah mengarahkan Abdul Hadi membayar saman RM2 juta
selain turut diarahkan membayar lima peratus faedah dari writ saman
difailkan sehingga penyelesaian penuh berserta kos tindakan sebanyak
RM1,500 kerana gagal memfailkan pembelaan.
Tindakan saman itu dibuat Mohd. Shamsul selepas Abdul Hadi
mengeluarkan kenyataan bahawa ada calon PKR yang menjual pil kuda
menjelang pilihan raya umum lalu sebagai alasan untuk Pas meletakkan
calonnya bertanding di DUN Bukit Besi sehingga menyaksikan
berlaku pertandingan tiga penjuru.
Dalam pada itu, Zaid yang berhasrat bertanding dalam Pilihan Raya
Kecil DUN Kajang menambah, walaupun tindakan mengemukakan saman
adalah hak mana-mana individu, tetapi sebagai Ketua Pembangkang,
Anwar perlu bersifat budiman dengan memilih penyelesaian luar mahkamah
dan bukannya mengamalkan politik angkuh.
“Oleh itu, saya menggesa Anwar supaya mengarahkan ahlinya menarik
balik saman terhadap Abdul Hadi. Jika kes ini diteruskan dan Anwar
tetap mengambil pendekatan berdiam diri hanya menunjukkan keangkuhan
PKR,” katanya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan yang
turut dilaporkan Utusan percaya tindakan saman terhadap Abdul Hadi itu
ada kaitan dengan usaha pihak tertentu untuk menjatuhkan maruah
dan merosakkan imej Presiden PAS.
“Saya percaya keperibadian beliau kental dan tidak tergugat dengan
tekanan seperti ini.
“Namun saya menyarankan agar semua anggota parti mengadakan
solat dan munajat memohon dimudahkan urusan dan Pas serta
Presidennya terhindar daripada perancangan tidak bertanggungjawab
pihak tertentu dan sikap jahat mereka,” katanya dalam kenyataan
menerusi laman sosial Facebooknya.
source : mymassa
No comments:
Post a Comment