NUFFNANG

Friday, 14 February 2014

ANWAR HARAP KAMI GADUH, RUPANYA TIDAK, SEBAB ITU RAFIZI GILA DIARAH SERANG TAIB LAGI

ANWAR HARAP KAMI GADUH, RUPANYA TIDAK, SEBAB ITU RAFIZI GILA DIARAH SERANG TAIB LAGI

Mesyuarat tertutup Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hujung mingggu lepas 
yang menjadi titik tolak kepada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud 
untuk memilih Tan Sri Adenan Satem sebagai pengganti beliau, tidak terlepas daripada 
saat-saat dramatik.


Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Openg hari ini berkata Abdul Taib 
terperanjat apabila beliau bersama Adenan dan naib presiden kanan Datuk Amar Awang 
Tengah Ali Hasan tidak bersetuju dengan Abdul Taib yang mahukan Majlis Tertinggi parti 
dan kaukus memilih penggantinya.


"Sebenarnya beliau (Abdul Taib) agak terkejut. Beliau menyangka kami akan bergaduh 
(sesama sendiri). Saya cuma mahu berterus-terang di sini. Kami bertiga bersetuju untuk 
memberikan mandat kepada beliau untuk membuat keputusan, katanya dalam satu 
sidang media di sini hari ini.


Abang Johari, Awang Tengah bersama Adenan tersenarai sebagai calon berpotensi untuk 
mengisi kekosongan jawatan Ketua Menteri sebelum Abdul Taib mengumumkan semalam 
bahawa Adenan bakal menggantikan tempatnya apabila beliau berundur pada 28 Feb ini.


"Kemudian, kami (Abang Johari, Adenan dan Awang Tengah) mahu menghentikan 
mesyuarat Majlis Tertinggi dan kaukus dan Adenan mencadangkan kepada mesyuarat 
itu untuk memberikan mandat kepada Ketua Menteri (Abdul Taib) menamakan penggantinya 
dan saya menyokongnya. Itulah semangat berpasukan yang kami ada di PBB," katanya.


Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Pelancongan negeri berkata Adenan patut 
diberi cukup ruang dan masa untuk membuktikan kebolehannya menjadi Ketua Menteri 
Sarawak yang baharu.
"Dalam tempoh peralihan ini, kita perlu memberikan cukup ruang dan masa untuk Ketua 
Menteri yang baharu memahami selok belok pentadbiran dan kemudian untuk beliau bergerak 
ke hadapan meneruskan dasar-dasar (yang telah diletakkan oleh Abdul Taib)," katanya.

Beliau berkata ia bukan hanya menjadi hasrat beliau tetapi kesemua pemimpin-pemimpin 
Barisan Nasional di Sarawak untuk melihat peralihan kepimpinan negeri di antara Abdul Taib 
dan Adenan berjalan lancar, tidak seperti apa yang berlaku apabila Abdul Taib mengambil
 alih tampuk kepimpinan daripada Ketua Menteri sebelum beliau, Tun Abdul Rahman Yaakub 
pada 1981.

"Semasa peralihan (antara) Tun Abdul Rahman kepada Taib terdapat masalah. Sekarang
kita tidak mahu masalah itu berlaku antara Abdul Taib dengan Ketua Menteri yang baharu. 
Apabila Abdul Taib memberitahu saya, Adenan akan menjadi Ketua Menteri yang baharu, 
saya memberi sokongan yang penuh kerana beliau (Adenan) memerlukan sokongan kami 
semua," katanya.

Beliau juga menepis spekulasi bahawa Adenan akan menjadi 'Ketua Menteri Interim' 
sementara menanti Perhimpunan Agung PBB yang akan datang.


"Seorang Ketua Menteri adalah seorang Ketua Menteri. Beliau (Adenan) adalah Ketua 
Menteri. Kita beri keutamaan kepada kepentingan parti," kata Abang Johari.


Bagaimanapun, beliau tidak menolak perubahan-perubahan tertentu akan berlaku 
berikutan peralihan kepimpinan negeri tetapi perubahan sedemikian akan berlaku 
menerusi persefahaman di antara pihak yang terlibat.


"Apabila ada peralihan, memang ada penyesuaian. Dalam kes kami sudah pasti ada 
penyesuaian. Jika tidak ia akan statik. Perkara-perkara tertentu perlu diubah," katanya.

Abang Johari juga menolak kemungkinan campur tangan Abdul Taib dalam pentadbiran 
negeri apabila Adenan mengambil alih tugas Ketua Menteri.


"Apabila seseorang pemimpin meninggalkan legasi, beliau perlu memahaminya. Tetapi 
dalam kes ini beliau (Abdul Taib) memahaminya dan berharap penggantinya adalah lebih 
baik daripadanya," kata Abang Johari.

source : mymassa

No comments: