Pakatan Rakyat mungkin berpecah?
Menjelang konvensyen Pakatan Rakyat (PR) kelima Mac ini, seorang pemimpin PAS melahirkan kebimbangan sekiranya “Rencana Kajang” menyebabkan gabungan politik pembangkang itu berpecah.
Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) melahirkan kebimbangan berikutan aksi-aksi negatif para pemimpin dan penyokong PR sejak kebelakangan ini.
“Saya bimbang jika Rencana Kajang ini tidak ditangani dengan baik, ia akan menjadi punca berpecahnya Pakatan Rakyat selepas ini,” kata Dr Dzulkefly kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di rumahnya.
PR akan mengadakan konvensyennya yang kelima di Selangor 8 Mac ini. Perkara ini diumumkan oleh pengarah konvensyen, Iskandar Samad yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor dalam satu sidang media semalam.
Konvensyen yang bertema “Pakatan Membela Rakyat” itu antara lain menggariskan tiga objektif termasuk “Menunjukkan kesatuan dan menaikkan semangat kebersamaan parti-parti Pakatan Rakyat.”
Ia diadakan ketika rasa tidak senang antara parti-parti dalam PR timbul di mana-mana khasnya selepas “Rencana Kajang”.
Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan di Kajang ekoran perletakan jawatan mengejut bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR Lee Chin Cheh.
Ekoran itu, Ketua Umum PKR yang juga pemimpin utama PR Datuk Seri Anwar Ibrahim diumumkan sebagai calon PKR bagi PRK itu.
Kemenangan Anwar dalam PRK itu nanti dikatakan bakal membuka jalan kepada bekas timbalan perdana menteri itu untuk menjadi menteri besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Ia disifatkan oleh sesetengah pemimpin PAS sebagai bukan urusan dalaman PKR lagi kerana ia melibatkan jawatan menteri besar Selangor yang dilantik secara bersama.
Ekoran itu, kekesalan kepada PKR memuncak di kalangan PAS dan DAP kerana tindakan ini disifatkan sebagai tindakan unilateral yang mewarisi sikap Umno dalam Barisan Nasional (BN).
Pemerhati politik yang juga Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan turut menyifatkan ini adalah cara Umno.
“Jika anda benar-benar ingin melihat perubahan di Malaysia, anda tidak boleh membenarkan satu lagi Umno baru muncul,” kata Wan Saiful seperti dilaporkan media.
Kekesalan yang dirasai PAS dan DAP terhadap PKR ini juga dirasai oleh PKR, cuma isunya berbeza.
Bagi PKR, sikap PAS yang enggan menyokong Anwar sebagai menteri besar Selangor hanya mengulangi keenganan PAS mengiktiraf Anwar sebagai calon perdana menteri menjelang pilihan raya umum ke-13 lalu.
“Dulu Anwar nak jadi calon PM pun PAS tidak sokong, sekarang Anwar nak jadi MB Selangor pun PAS bantah. Persahabatan apa ini?” kata seorang pemimpin PKR yang enggan namanya disebut.
Berdasarkan latar belakang ini, Dzulkefly sangat bimbang dengan masa depan PR kerana seolah-olah kesemua pihak bersetuju untuk berpisah dan “Rencana Kajang” menjadi sebab langsungnya.
“Kalau begitu kesannya, saya beranggapan ‘Rencana Kajang’ ini adalah haram sifatnya,” kata beliau walaupun sebelum ini beliau menulis menyokong “Rencana Kajang”.
Sebelum ini, pemimpin ulama muda dalam PAS sering mengulangi analogi bahawa “haram hukumnya jika kita beriktikad (berkeyakinan) bahawa perjuangan Islam hanya akan berjaya melalui tahaluf siasi (kerjasama politik),” seolah-olah tahaluf siasi ini tidak berapa penting bagi mereka.
Ia dinyatakan ketika membela resolusi Multaqa Ulama SeMalaysia yang dianjurkan oleh Dewan Ulama PAS di Alor Setar menjelang pilihan raya umum lalu.
Multaqa itu meluluskan resolusi agar PAS mengkaji balik tahaluf siasi padahal sudah tiga kali berturut-turut Muktamar PAS mempertegaskan agar kerjasama dengan PR diperkukuhkan.
source : pilihanrayakini
No comments:
Post a Comment