NUFFNANG

Wednesday, 26 February 2014

Refresh Tun Mahathir GERUN

Refresh Tun Mahathir GERUN


Saya berasa gerun mengambil tindakan yang bertentangan dengan kebijaksanaan konvensional serta bercanggah dengan pendapat pakar, termasuk daripada IMF dan Bank Dunia.

Strategi kita tidak syak lagi bercanggah dengan pendapat umum yang dilabelkan oleh pengkritik ekonomi sebagai “contrarian”. Ia bertentangan dengan amalan konvensional dan kalau ekonomi kita runtuh akibat daripadanya maka tidak ada sesiapa pun yang akan menolong kita. Saya sendiri mungkin terpaksa berundur dalam keaiban – sesuatu yang amat saya takuti.

Bagaimanapun, saya lebih takut kepada kemungkinan kita akan hilang kawalan ke atas negara kita sendiri seperti kerajaan Indonesiayang hilang kuasa kepada IMF. Saya amat tidak suka melihat gambar Camdessus berdiri berpeluk tubuh bersebelahan Presiden Suharto ketika menyaksikan pemimpin Indonesia itu menandatangani perjanjian dengan IMF.

Camdessus kelihatan begitu puas dan sinis menyaksikan Presiden Suharto melepaskan kawalan ke atas ekonomi Indonesia yang berupa asas kedaulatan negara itu – kedaulatan yang diperjuangkan dengan begitu gigih dan berani menentang Belanda pada 1940-an.

Saya tentunya tidak mahu Malaysia menderita nasib yang sama. Kita telah cuba memujuk Indonesia agar tidak menyerah kepada IMF.

Menteri Kewangan Indonesia ketika itu, Marie Muhammad berhubung rapat dengan Anwar yang mengatakan beliau ada meminta Marie supaya menasihatkan Suharto agar tidak menurunkan tandatangan.

Saya diberitahu bahawa menjelang waktu itu. Presiden Suharto sudah tidak boleh tidur. Seramai kira-kira 40 juta rakyat Indonesia telah hilang pekerjaan. Rupiah sudah runtuh. Nilainya merudum daripada 2,000 bagi setiap satu dolar Amerika kepada 16,000.

Rusuhan tercetus di ibu negara, Jakarta. Kedai dibakar dan ramai yang terbunuh. Rakyat peribumi Indonesia menyalahkan krisis itu kepada orang Cina Indonesia. Mereka tidak menganggap Amerika dan penguasaannya ke atas IMF sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap krisis mata wang.

Apabila IMF mengambil alih kawalan ke atas kewangan Indonesia, langkah yang mereka paksakan terhadap Indonesia seperti menghentikan subsidi makanan dan minyak telah memburukkan lagi penderitaan rakyat dan lebih banyak rusuhan berlaku.

Thailand dan Filipina yang turut menyerah kepada IMF juga menerima nasib serupa. Hanya Korea Selatan berjaya melakukan pemulihan ketara selepas menyerah kepada IMF.

Saya tidak sedikit pun yakin terhadap kaedah penyelesaian IMF yang dipaksakan oleh Anwar ke atas negara. Menteri-menteri mula mengadu bahawa mereka tidak ada peruntukan untuk melaksanakan projek pembangunan. Semua faedah dan keistimewaan dikurangkan dan langkah jimat cermat mula memberi kesan negatif.

Anwar mahu melihat lebihan belanjawan di mana pendapatan mengatasi perbelanjaan, tetapi mustahil boleh dicapai memandangkan kemerosotan kuasa membeli mata wang ringgit. Jadi, beliau mengurangkan peruntukan belanjawan sebanyak 25 peratus. Kalau kita terus mengurangkan belanjawan maka akan tiba masanya nanti kita kehabisan wang di dalam Perbendaharaan. Kemelesetan ekonomi akan menjadi lebih teruk dan kita mungkin terpaksa menyerahkan kedaulatan ekonomi kita kepada pihak luar.

Saya berazam untuk meneruskan pelaksanaan strategi penyelesaian yang telah dipersetujui. Kemudian pada saat akhir, Anwar menelefon saya untuk memberitahu yang Gabenor Bank Negara, Tan Sri Ahmad Mohd Don dan Timbalannya, Fong Weng Phak telah menghantar surat peletakan jawatan. Saya terkejut, tetapi tetap bertekad mahu melaksanakan langkah yang telah diputuskan.

Saya meminta pegawai ketiga paling kanan di Bank Negara supaya datang menemui saya. Pada masa itu, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz adalah Penolong Gabenor yang bertanggungjawab bagi hal ehwal ekonomi, operasi luar dan pasaran mata wang serta kawalan tukaran asing .(3)

Saya kenal beliau, tetapi tidaklah rapat. Kita kesuntukan masa untuk mencari Gabenor baru, jadi saya serta-merta melantik beliau menjadi Pemangku Gabenor. Beliau datang ke kediaman saya dan saya jelaskan kepadanya apa yang sedang berlaku serta apa yang harus beliau lakukan.

Mujurlah beliau seorang yang berkebolehan dan memberikan sepenuh kerjasama. Menurutnya, beliau akan menghubungi bank dan menghentikan semua pemindahan besar wang yang terbabit dalam perdagangan mata wang. Dalam pada itu, beliau juga akan memastikan pembayaran untuk transaksi perniagaan biasa diteruskan.

Pada 1 September 1998, Zeti secara rasmi mengumumkan pelaksanaan kawalan mata wang dan ikatan ringgit kepada dolar Amerika. Beliau memberitahu media massa: “Kita perlu bertindak bersendirian memandangkan masyarakat antarabangsa telah gagal mengemukakan sebarang penyelesaian yang bermakna kepada keadaan huru-hara kewangan global. Sebaik-baiknya dunia patut bertindak seiringan dan bukannya memaksa negara bertindak sendirian.”

Zeti yang kemudiannya dilantik menjadi Gabenor telah dijemput untuk menyertai MTEN. Beliau memberi maklum balas yang baik mengenai keadaan semasa pasaran dan pergerakan ringgit. Sejak menjadi Gabenor, Zeti telah memenangi beberapa anugerah antarabangsa kerana kepemimpinannya di Bank Pusat.

Antara perkembangan lain yang diperhatikan adalah kemungkinan munculnya pasaran gelap mata wang ringgit. Kita memantau harga barang bagi memastikan tidak ada pihak cuba membuat keuntungan berlebihan. Kita memastikan bekalan semua barang keperluan utama adalah mencukupi.

Mesyuarat harian MTEN diteruskan. Bank disyaratkan supaya mendepositkan semua tukaran asing yang mereka terima di Bank Negara. Dengan itu, kita tidak pernah kekurangan mata wang asing untuk dijual kepada pengimport tulen. Ikatan ringgit kepada dolar Amerika pada kadar RM3.80 bagi setiap dolar telah dikuatkuasakan dengan begitu tegas sekali dan ini terbukti baik bagi pengimport serta pengeksport.

Kalangan ahli perniagaan gembira menerima ringgit pada kadar RM3.80 setiap kali mereka menukar dolar Amerika atau mata wang lain. Mereka juga selesa dengan jaminan bahawa kita akan mengekalkan kadar tukaran sehinggalah keadaan menjadi stabil semula. Mereka kini boleh merangka belanjawan untuk sepanjang tahun tanpa perlu membabitkan diri dalam kegiatan melindungi nilai ringgit. Ini secara langsung mengurangkan kos menjalankan perniagaan.

Tindakan mensyaratkan pemilik saham mendaftar dengan BSKL dan menghentikan penjualan saham Malaysia yang dipegang oleh syarikat pemegang amanah juga telah membantu menyekat kejatuhan harga di BSKL. Dalam jangka masa singkat, indeks komposit BSKL yang jatuh di bawah 300 mata telah naik semula kepada lebih 800 mata.

Jumlah hutang lapuk turut berkurangan selepas tempoh gagal bayar dinaikkan semula kepada enam bulan dan ekonomi mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

Sewaktu krisis, kita memperkenalkan beberapa langkah bagi mengurangkan masalah yang tercetus. Misalnya, apabila jualan hartanah membeku maka kita menganjurkan kempen pemilikan rumah yang menggabungkan pemaju, pembeli, pembiaya, pegawai kerajaan dan peguam. Pada pameran promosi pertama, kira-kira RM3 bilion hartanah dijual.

Bagi menggerakkan semula industri pembinaan maka kita memutuskan supaya dibina 40,000 unit pangsapuri untuk menempatkan penghuni setinggan. Memandangkan jualan runcit tidak berkembang mengikut keadaan yang sepatutnya maka kita menyediakan tempat pameran untuk peruncit dan di mana perlu, kita membantu mereka merundingkan bekalan pada harga yang lebih murah.

Di samping itu, kita meneliti laporan penggunaan elektrik, pergerakan kargo dan kontena di pelabuhan, ketibaan pelancong, penumpang kapal terbang, pendaftaran kenderaan baru dan banyak lagi. Jadi kita tahu secara terperinci prestasi ekonomi dan sering mencari jalan untuk merangsangnya.

MTEN memberi perhatian utama kepada operasi Pengurusan Danaharta Nasional Bhd, Danamodal Nasional Bhd dan Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat yang semuanya ditubuhkan untuk menangani masalah hutang lapuk serta permodalan semula bank.

Kita tidak membenarkan penjualan serta-merta saham yang diperoleh melalui CLOB kerana ini akan menyebabkan kejatuhan harga semua saham. Pemilik saham juga perlu mendaftar terlebih dahulu dengan BSKL. Kemudian kita menubuhkan pula sebuah syarikat khas untuk membeli saham berkenaan, memantau kepulangannya dan akhir sekali menjualnya secara beransur-ansur supaya tidak mengganggu harga saham di BSKL.

Pada mulanya, pemilik saham CLOB itu tidak begitu gembira. Namun, hasil pemulihan pesat BSKL menyebabkan harga saham naik 200 peratus sewaktu syarikat khas yang kita tubuhkan itu mula membeli saham-saham CLOB.

Jadi, mereka terselamat daripada mengalami kerugian besar kewangan yang amat mereka takuti. Mereka juga menunggu seketika sebelum menjual saham mereka dan memperoleh keuntungan besar. Syarikat khas berkenaan turut membuat keuntungan dan kerajaan mendapat balik modalnya yang diberikan dalam usaha menyelamat yang berani.

Dunia mengutuk kawalan mata wang yang kita lakukan dan ramai ahli ekonomi berkata bahawa ia tidak selari dengan sistem perdagangan terbuka. Pakar-pakar meramalkan kemusnahan Malaysia dan dengan gembira menunggu kepulangan kita ke pasaran dunia sebagai pengemis.

Kita bagaimanapun tidak gentar. Kita percaya yang kita telah menemui jawapan tepat kepada penjarahan negara kecil oleh peniaga mata wang. Cara kita mungkin tidak konvensional, tetapi berkesan.

Biarlah orang lain mempertahankan doktrin ekonomi, tetapi bagi kita, yang lebih utama adalah menyelamatkan negara dan diri kita. Akhirnya, kita pulih dengan lebih cepat daripada semua negara yang menerima pinjaman IMF, sama ada secara sukarela atau kerana tekanan. Negara-negara itu telah menyerah diri kepada langkah penyelesaian yang sama untuk semua.

Peniaga mata wang menghentikan operasi mereka. bahkan IMF pun akhirnya mengakui yang cara kita berkesan walaupun mereka tidak memperakukannya kepada negara lain. Pakar ekonomi dan pemenang Hadia Nobel, Joseph Stiglitz menyokong pandangan kita.(4)

Malah, Soros turut mengakui bahawa Malaysia telah mengambil langkah yang betul dengan tidak menyerah kepada IMF.

Dasar yang kita laksanakan berkesan untuk negara kita, tetapi tidak banyak negara membangun berada dalam keadaan yang serupa dengan kita. Ia berkesan bagi kita kerana selain keazaman politik dan kepakaran merangka dasar yang praktikal, kita juga mempunyai simpanan mata wang asing yang banyak di Bank Negara untuk digunakan bagi melindungi kedaulatan ekonomi kita. Selain itu, kita mempunyai simpanan yang besar hasil pengurusan ekonomi yang bertanggungjawab selama ini.

Kejayaan kita menyekat kemaraan peniaga mata wang dan menolak campur tangan IMF bukanlah semata-mata kerana tindakan tegas kita pada masa itu. Ia sebaliknya berpaksikan kepemimpinan ekonomi yang mantap oleh kerajaan dan ketetapan dasar yang dilaksanakan, khususnya dalam dekad 70-an dan 80-an.

Bagaimanapun, krisis mata wang bukanlah satu-satunya masalah yang terpaksa kita tangani. Sehari selepas Zeti mengumumkan kawalan terhad mata wang, masalah saya dengan Anwar meletus.Memoir Tun Mahathir.

Baca artikel sebelumnya di SINI 

MMI

source : mmi

No comments: