Ulama Atau Marina Mahathir Yang Karut?
January 6, 2014 · 21 Comments
Kata bidalan orang Melayu, “di dalam setandan pisang, sudah tentu ada sebiji yang busuk”, dan begitu juga di dalam sesebuah keluarga Tun M di mana salah seorang dari anaknya yang berbeda ideologi, corak pemikiran dan kadang-kadang agak jauh terkeluar dari ruh Islam.
Siapa tidak kenal Marina Mahathir, anak sulung mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad. Dia terlibat dengan himpunan Bersih, menyokong gerakan LGBT, orang kuat “Sister In Islam” yang bersyubhah pandangannya dari Islam di negara kita dan kini dia “buat hal” sekali lagi.
Terbaru, Marina menyanggah pandangan para ulama muktabar di negara kita yang mengatakan cuti hujung minggu pada hari Jumaat memberikan banyak kelebihan kepada umat Islam. Malah Marina dalam kenyataannya di laman Twitter mengatakan bahawa cuti pada hari Jumaat adalah karut!
Marina selain itu sempat mencabar mana-mana pihak agar mengemukakan bukti nas dari Al-Quran yang mengatakan Islam menganjurkan umatnya supaya bercuti pada hari Jumaat. Sombong betul gaya lagak Marina bila tidak bersetuju dengan pandangan ulama, seolah-olah dia Mufti Besar…
Saya ingin mengingatkan Marina bahawa di dalam Al-Quran Al-Kareem itu terdapat sebuah surah yang dinamakan “Al-Jumu’ah” yang membawa “Hari Jumaat”. Mengapa Allah turunkan sebuah surah bersempena hari Jumaat? Kenapa tidak hari Sabtu, Ahad, Isnin atau hari-hari lain?
Maka sudah tentulah hari Jumaat itu punya keistimewaan bagi umat Islam berbanding hari yang lain, bukan?
Memang Allah SWT tidak pernah berfirman menyuruh umat Islam bercuti pada hari Jumaat. Malah istilah “cuti” iaitu berehat dari kerja tidak pernah disebut di dalam Al-Quran.
Namun dengan turunnya sebuah surah khas bernama “Al-Jumu’ah”, maka seluruh ulama sepakat mengatakan hari tersebut adalah hari yang paling mulia berbanding hari-hari lain.
Pandangan atau fatwa tersebut disokong pula dari nas-nas hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Imam Bukhari, Imam Tarmizi, Imam Ibnu Majah, Imam Ahmad, Imam Baihaqi dan ramai lagi Imam-Imam besar perawi hadith Baginda SAW.
Hari hadith-hadith tersebut, disimpulkan bahawa hari Jumaat itu adalah penghulu segala hari di mana terdapat banyak peristiwa dan kemuliaan yang berkait rapat dengan amalan kehidupan umat Islam. Saya yakin, kalaulah ditulis dan dibincangkan tentang kelebihan hari Jumaat di sini, mungkin 6 bulan lagi pun belum tentu selesai…
Jadi, disebabkan segala nas dari Al-Quran Al-Kareem dan Hadith As-Syareef itulah maka para ulama berpandangan bahawa bercuti hujung minggu pada hari Jumaat memberikan banyak kelebihan pada seluruh umat Islam.
Suka saya mengingatkan Marina bahawa sumber segala hukum dan muamalah bagi kehidupan umat Islam tidak terhad hanya pada Al-Quran dan hadith semata-mata. Selain dari dua sumber utama itu, kita juga bersumberkan dari Qias dan Ijma’ Ulama.
Itu pegangan seluruh Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Lainlah kalau Marina mengamalkan ajaran Syiah dan selain ASWJ, kan?
Saya menyokong penuh sekiranya mana-mana kerajaan melaksanakan polisi cuti hujung minggu pada hari Jumaat kerana ia mampu memberikan saya kesempatan sepenuhnya untuk menggunakan hari yang penuh dengan kelebihan itu.
Misalnya, umat Islam (lelaki sahaja) disunatkan untuk mandi sunat solat Jumaat sebelum ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Majikan pula selalunya memberikan masa yang terhad untuk hadir solat Jumaat dan saya yakin ramai di kalangan kita yang tidak sempat mandi sunat tersebut jika bekerja pada hari Jumaat, bukan?
Maka kurang satu peluang untuk kita dapatkan pahala sunat, bukan?
Itu baru satu amalan sunat. Ada banyak lagi kelebihan dan keistimewaan hari Jumaat yang Marina boleh “google” atau belajar dari ulama muktabar di dalam atau di “luar negara”.
Maklumlah, orang kelulusan luar negara kadang-kala ada yang “tak pandang” pandangan ulama di dalam negara kita. Marina dipersilakan bertanya pada ulama-ulama muktabar di “oversea”…
Saya akui Allah SWT menyuruh umat Islam berusaha mencari rezeki bagi menampung kehidupan di dunia. Namun Marina jangan lupa tentang ayat seterusnya yang juga menegaskan supaya kita tidak lupa pada kehidupan sebenar di akhirat kelak.
Dalam usaha kita mencari rezeki di dunia, sudah cukupkah amalan kita di akhirat kelak?
Sekiranya hari Jumaat ditetapkan sebagai hari cuti hujung minggu, saya yakin kita dapat memberikan fokus pada kelebihan beribadah dan beramal kerana pahalanya insyaAllah berlipat kali ganda.
Sebab itulah ulama mengatakan bahawa cuti pada hari Jumaat berikan kelebihan pada umat Islam…
Jadi siapa yang mengarut? Ulama atau Marina yang mengarut?
source : mykmu.net
No comments:
Post a Comment