Lapor Letak Jawatan MB : Khalid Mahu Akhbar Sin Chew Daily Beri Penjelasan
KLANG – Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mahu akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily, memberi penjelasan mengenai laporan berita akhbar itu baru-baru ini, kononnya beliau meletak jawatan.
Akhbar itu mendakwa kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah membuat keputusan melantik Timbalan Presiden Azmin Ali, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, untuk menggantikan beliau sebagai Menteri Besar.
Abdul Khalid berkata akhbar itu diminta memberi penjelasan berkenaan berita itu sebelum sambutan Tahun BaharuCina minggu depan.
“Spekulasi itu sangat tidak baik dan kita minta penjelasan daripada Sin Chew bagaimana cerita itu boleh timbul kerana ia akan menyusahkan dan mengelirukan rakyat,” katanya.
“Jika cerita itu benar tak apa, tapi kalau tak benar tidak elok,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Jom Shopping Kerajaan Negeri di pasaraya Giant Bukit Tinggi, dekat Klang, Sabtu.
Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid berkata Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Mohammed Khusrin Munawi diberi tempoh dua minggu untuk membuat siasatan terhadap Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Datuk Othman Omar dan Setiausaha Eksekutif perbadanan itu, Norita Mohd Sidek.
Kedua-dua pegawai kanan PKNS itu telah ditukarkan ke pejabat SUK sejak Isnin lepas untuk disiasat berhubung kes penamatan perkhidmatan Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS. – BERNAMA
source : aidc
No comments:
Post a Comment