NUFFNANG

Wednesday 29 January 2014

Pelantikan Menteri Besar Selangor Di Bawah Kuasa Sultan

Pelantikan Menteri Besar Selangor Di Bawah Kuasa Sultan


Disebalik spekulasi berhubung kedudukan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dikatakan akan meletak jawatan ekoran tekanan dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR), namun hakikatnya pelantikan jawatan itu adalah di bawah bidang kuasa Sultan Selangor.

Menurut pakar undang-undang di Selangor Datuk Salehuddin Saidin, pelantikan seorang Menteri Besar di Selangor terletak di bawah kuasa Sultan sebagaimana termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.

Katanya menurut Perkara 53 (2) (a) undang-undang itu, baginda boleh melantik seorang anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pandangan baginda yang mendapat keyakinan majoriti anggota DUN, selaku Menteri Besar. Di bawah Perkara 55 (2) (a) pula, dinyatakan baginda boleh menggunakan budi bicara dalam pelantikan seorang Menteri Besar, katanya.

Pada masa sama, seseorang Menteri Besar juga haruslah berbangsa Melayu dan beragama Islam sepertimana yang telah termaktub dalam undang-undang berkenaan, katanya.

Salehuddin berkata pemilihan seseorang individu untuk menjadi Menteri Besar adalah dibuat oleh sesebuah parti yang mendapat sokongan majoriti daripada rakyat dalam pilihan raya.

"Parti yang memenangi pilihan raya itu boleh mengemukakan calon-calon Menteri Besar untuk pertimbangan Sultan Selangor. Sultan Selangor akan memilih seorang Menteri Besar yang difikirkan layak oleh baginda," katanya.

Semalam Abdul Khalid dilaporkan menafikan spekulasi bahawa beliau akan meletakkan jawatannya dan memberikan laluan kepada Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dinamakan untuk bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang, sekiranya ada pertandingan, untuk mengambil alih tempatnya.

Penyandang DUN Kajang, Lee Chin Cheh meletak jawatan sebagai wakil rakyat kerusi itu semalam. Abdul Khalid dilaporkan berkata beliau akan berundur daripada jawatannya sebagai Menteri Besar dengan syarat ia mendapat persetujuan daripada semua komponen parti dalam pakatan pembangkang selain mendapat perkenan daripada Sultan Selangor.

No comments: