NUFFNANG

Thursday, 30 January 2014

Jangan Heret Saya, Ini Masalah Dalaman Kamu – Kata Najib Kepada PKR

Jangan Heret Saya, Ini Masalah Dalaman Kamu – Kata Najib Kepada PKR

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tegas menjawab cabaran Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali untuk bertanding merebut jawatan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang dikosongkan secara suka hati oleh PKR.
Kekosongan itu untuk membolehkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahimbertanding untuk menang dan kemudian memasang impian diperkenan Sultan Selangor untuk menjadi Menteri Besar Selangor.
“Jangan heret saya.. Ini masalah dalaman kamu,” kata Perdana Menteri.
Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan demikian dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pertubuhan NGO Islam dan Melayu di pejabatnya di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata, pilihan raya kecil ini diadakan hanya kerana mahu menyelesaikan kemelut yang agak serius dalam PKR.
“Itu bukan masalah saya, saya tiada apa masalah. PKR yang menyebabkan perkara ini, (pilihan raya kecil), kenapa hendak dikaitkan dengan saya.
“Bagi saya, mereka (PKR) yang bebankan rakyat, bebankan pengundi di Kajang yang rata-rata tak senang hati dan terpaksa mengadakan pilihan raya,” katanya.
Najib menegaskan, berdasarkan pelbagai reaksi sekarang, kebanyakannya negatif daripada positif.
Sebelum ini, Adun PKR Kajang Lee Chin Cheh melepaskan jawatan dan PKR sudah mengumumkan Anwar akan bertanding di kerusi berkenaan dipercayai bagi membolehkan beliau dilantik sebagai Menteri Besar Selangor.
Mengulas cadangan supaya Barisan Nasional (BN) tidak terbabit dalam PRK itu, Najib menjelaskan, Dewan Tertinggi BN akan buat keputusan mengenainya.
“Saya belum tetapkan tarikh. Saya nak tahu tarikh penamaan calon dahulu,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, keputusan sama ada kerusi itu akan ditandingi wakil MCA atau UMNO juga akan diteliti dan keputusannya dijangka selepas Tahun Baharu Cina.
Sementara itu, katanya dalam pertemuan tersebut, NGO Melayu dan Islam menyatakan sokongan kepada kerajaan dan akan bersama mencari jalan kebaikan untuk negara ini.
“Matlamatnya ialah untuk mencari satu bentuk kefahaman yang semakin lebih jelas lagi dan menentukan hala tuju dan masa depan negara kita.
Apapun kita tidak boleh membenarkan isu ini memecahbelahkan kita. Kita mungkin ada perbezaan pendapat tetapi kita tak seharusnya melebarkan lagi jurang perpecahan sesama kita,” katanya.
Najib juga menjelaskan mengenai isu kenaikkan naik barang dan langkah-langkah kerajaan menanganinya.  – IBNU K/Mynewshub.my
source : mynewshub.my

No comments: