MKPN Gagal Berfungsi, Wajar Dibubarkan – Dr Hasan Ali
Sebagai Presiden JATI, saya ingin merakamkan kekesalan kami terhadap Majlis Konsultansi Perpaduan Negara(MKPN) yang telah mengecam tindakan JAIS menyerbu Persatuan Bible Malaysia dan berikutan dengan itu merampas lebih 300 ratus Bible berbahasa Melayu dan Iban.
Seperti yang diketahui penubuhan MKPN adalah untuk mencari solusi untuk menyelesaikan masalah-masalah yang berkaitan dengan perpaduan antara kaum di negara ini. Dalam mesyuarat sulungnya, majlis tersebut melalui Pengerusinya telah merakamkan rasa kesal dan berharap kejadian seperti itu tidak berlaku lagi. Beliau juga menempelak tindakan JAIS sebagai tidak menghormati penyelesaian 10 perkara yang dibuat oleh pihak Kerajaan.
JATI berpandangan bahawa tindakan yang dilakukan oleh JAIS adalah wajar dan selaras dengan peruntukan Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 dan bertepatan dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan. Yang menjadi punca masalah ialah pihak gereja yang didalangi oleh PaderiLawrence Andrew yang dilaporkan secara terang-terangan menyanggah keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa Kalimah Allah tidak boleh diguna pakai oleh penganut-penganut agama selain daripada Islam.
Paderi Lawrence terus membelakangi keputusan Mahkamah Rayuan dan dengan bongkak terus meminta gereja-gereja Katolik di seluruh negeri Selangor terus menggunakan Kalimah Allah sepertimana yang dilaporkan melalui portal Malaysian Insider. Acara mingguan agama di gereja pada hari Ahad yang lalu pun dilaporkan dengan sengaja menggunakan Kalimah Allah. Tindakan sedemikian jelas menunjukkan bahawa pihak gereja cuba “memerangi” dikri yang dibuat oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bahawa Kalimah Allah sama sekali tidak boleh digunapakai oleh penganut bukan Islam di negeri itu.
Bagi JATI juga, penyelesaian 10 perkara yang sering diperkatakan itu adalah tidak relevan dalam konteks NegeriSelangor. Bagi Negeri Selangor, yang relevan adalah Enakmen Agama Bukan Islam 1988. Mana mungkin 10 penyelesaian itu dapat mengenepikan sebuah Enakmen yang telah mendapat perkenan Tuanku Sultan dan telah pun diwartakan oleh Kerajaan Negeri.
Sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan di pihak pimpinan MKPN sepatutnya terlebih dahulu meneliti fakta yang digariskan di atas di samping mendapatkan penjelasan mereka yang faham peruntukan undang-undang yang berkait langsung dengan tindakan yang dilakukan oleh JAIS. JATI difahamkan bahawa MKPN tidak mendapatkan maklumat secara langsung daripada JAIS dan tindakan mencela Jabatan yang cuba menjalankan tanggugjawabnya amat tidak kena pada pada tempatnya. Dari segi logiknya yang patut menerima celaan bukan JAIS badan yang diamanahkan untuk menjaga martabat dan keagungan Islam tetapi celaan sepatutnya ditujukan kepada pihak gereja dan paderi Lawrence Andrew yang menjadi dalang kepada isu yang sedang hangat diperkatakan yang secara terang-terangan telah menghasut ketegangan agama dan menghina keputusan Mahkamah Rayuan.
Pada anggapan JATI, sebagai badan induk perpaduan negara, badan tersebut seharusnya beroperasi dan bertindak atas prinsip kebijaksanaan, keadilan dan berhemah tinggi. Kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan Majlis itu jelas membayangkan bahawa Majils tersebut di awal-awal lagi tidak dapat menghayati hakikat bahawa mereka perlu menunjukkan sifat matang, adil dan tidak menyebelahi mana-mana pihak untuk memungkinkan Majis tersebut diterima oleh 28 juta rakyat Malaysia yang majoritinya adalah masyarakat Melayu Islam.
Sekiranya tindakan sulung ini tidak dapat menyemai keyakinan rakyat terhadap kebolehan dan kemampuan Majlis Konsultansi itu, maka kewujudan majlis tersebut dengan sendirinya sudah diwarnai dengan bibit-bibit hitam yang menggugat kewibawaan mereka.
Sekiranya inilah tatacara mereka mengendalikan majlis konsultansi tersebut, JATI berpendapat adalah lebih baik Majlis Konsultansi seperti ini dibubarkan sahaja setidak-tidaknya dapat menyelematkan wang negara dalamana rakyat sedang dibebani dengan kenaikan kos hidup yang melampau.
DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
TTDI, Kuala Lumpur
7 JANUARI 2014
Presiden JATI Malaysia
TTDI, Kuala Lumpur
7 JANUARI 2014
source : aidc
No comments:
Post a Comment