NUFFNANG

Friday, 10 July 2009

Alahai 'YB' Zaid Ibrahim...

Alahai 'YB' Zaid Ibrahim...

Oleh UNTA BELANG

Dengar khabarnya akan ada satu lagi pilihanraya kecil di Selangor! Menurut sumber, ahli parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne akan meletak jawatan tak lama lagi. Sememangnya Gwo-Burne ini tidak sesuai sama sekali untuk diangkat menjadi pemimpin rakyat. Apa jasanya pada negara selama ini? Apakah dengan kes rakaman video Linggam membolehkan seseorang itu menjadi pemimpin? Rasanya, dia lebih sesuai menjadi “tukang karut” kumpulan boria di Pulau Pinang!

Jika benarlah Gwo-Burne akan meletak jawatan, maka satu lagi PRK akan berlangsung di Malaysia. Maka akan bersedialah pihak BN dan PR akan berentap lagi. Ada sumber-sumber yang boleh dipercayai mendakwa bahawa individu yang bakal diberi mandat untuk menjadi calon di Kelana Jaya ialah Zaid Ibrahim! Rasanya tidak perlu dikenalkan lagi siapa Zaid Ibrahim ini. Zaid Ibrahim lebih dikenali sebagai “pengkhianat bangsa yang bijak memutar alam”!

Siapa Zaid Ibrahim? Zaid Ibrahim dilahirkan di Kelantan. Dia menjadi ahli UMNO pada tahun 2000 dan menjadi ketua bahagian Kota Baru pada tahun berikutnya. Dalam masa setahun dia berjaya menjadi ketua bahagian UMNO? Hairan! Sungguh hebat Zaid Ibrahim ini. Cepat sungguh diangkat oleh ahli-ahli UMNO Kota Baru untuk menjadi ketua mereka. Apa jasanya pada rakyat Kota Baru sepanjang dia menjadi ketua bahagian?

Menurut sumber dari Kelantan, jarang-jarang sekali Zaid pulang ke bahagian yang diketuainya. Tidak pula diambil peduli tentang anak-anak buahnya. Dengan alasan “sebok”, Zaid melupakan tanggungjawabnya sebagai ketua bahagian Kota Baru. Urusan firma guamannya lebih penting dari bertanya khabar tentang perjuangan nasib anak bangsa Kota Baru!

Atas rasa percaya dan jasa UMNO kepada Zaid, dia telah dilantik menjadi calon Kota Baru pada pilihanraya umum 2004. Berkat sokongan ahli UMNO Kota Baru dan usaha kuat jentera BN, Zaid dinobatkan sebagai ahli parlimen Kota Baru, walaupun beliau hanyalah layak digelar calon “bidan terjun”! Zaid hanya di”beri muka” oleh UMNO Kota Baru dan UMNO Pusat untuk menjadi calon. Sebetulnya, ramai lagi calon yang lebih layak selain Zaid Ibrahim. Jika tidak di”pujuk rayu” dan “bodek” oleh Zaid Ibrahim kepada individu tertentu ketika itu, jangan haraplah dia terpilih menjadi calon ketika itu! Itulah Zaid Ibrahim yang “naik tocang” hasil ehsan UMNO suatu ketika dahulu.

Setelah menjadi ahli Parlimen Kota Baru, Zaid mula menunjukkan dirinya yang sebenar. Kerusi parlimen yang dimilikinya jarang-jarang sekali dikunjungi. Agaknya, jalan ke parlimen pun dia lupa! Zaid banyak menghabiskan masanya melobi firma guamannya mendambakan projek-projek perundangan dari Kerajaan.

Dia berjaya membolot sebahagian besar kontrak-kontrak perundangan dan guaman dari kerajaan, GLC dan sebagainya. Ketika itulah nama firmanya tersohor di ibunegara. Siapa tidak kenal dengan firma Zaid Ibrahim & Co., sebuah firma guaman terbesar di ibunegara dengan 140 peguam dibawahnya? Begitu gah sekali firma guamannya! Namun, bagaimana pula dengan nasib rakyat di parlimen Kota Baru? Tersohorkah rakyat-rakyat yang menjadi tanggungjawab Zaid untuk diperjuangkan? Hakikatnya, nasib penduduk Kota Baru masih lagi ditakuk lama.

Pasar Siti Khadijah masih lagi kotor dengan sampah sarap dan berbau busuk, sebusuk “agenda cilik” Zaid Ibrahim memperbodohkan mereka!

Kerana buruknya prestasi Zaid di Kota Baru sebagai ahli parlimen, dia tidak dipilih sebagai calon pilihanraya 2008. Walaupun BN mengalami “tsunami” politik ketika itu, BN tetap bertahan menubuhkan kerajaan dengan majoriti mudah. Berikutan sistem perundangan di Malaysia terancam dan dipersoalkan, Zaid yang terkenal mempunyai latar belakang undang-undang itu telah dilantik khas untuk menjadi menteri penuh, bertugas sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, bertanggungjawab tentang hal ehwal perundangan dan sistem kehakiman negara. “Menteri Undang-Undang” kata orang. Dengan harapan agar Zaid dapat memperbetulkan tanggapan buruk rakyat terhadap institusi kehakiman dan perundangan negara.

Lain yang diharap, lain pula yang Zaid buat! Zaid memulakan tugasnya dengan menubuhkan Suruhanjaya Di Raja untuk menyiasat rakaman “tukang karut” Loh Gwo Burne. Hasilnya, institusi kehakiman dan perundangan telah dipersoalkan dan tercemar sekali lagi. Hasil siasatannya tidak memberikan impak besar, melainkan konstroversi pada badan kehakiman dan kaedah lantikan hakim-hakim mahkamah. Zaid ternyata telah memburukkan keadaan institusi kehakiman dan perundangan dibawah seliaannya. Kononnya dia “memperbetulkan apa yang tidak betul”.

Padahal tiada apa pun yang tidak betul, melainkan dia yang tidak betul belaka. “Bagai tikus yang memperbaiki labu” itulah Zaid yang berlagak “pandai”!

Seterusnya, Zaid sekali lagi “membuat kecoh”! Diungkitnya kembali kisah krisis pemecatan Tun Salleh Abas sebagai Ketua Hakim Negara pada 1988. Begitu juga diungkit kembali kisah lima lagi hakim-hakim mahkamah Persekutuan yang bertindak sebagai tribunal khas kes pertuduhan salah laku Tun Salleh Abas. Zaid memepertahankan dakwaannya bahawa Tun Salleh Abas dan dua lagi hakim iaitu Wan Sulaiman dan Goerge Seah sebagai tidak bersalah. Padahal dakwaannya itu tidak berasas dan meragukan banyak pihak. Namun, kerajaan dengan “ehsan” dan rasa tanggungjawab telah bersetuju memberikan “ganjaran saguhati” atau “ex-gratia” kepada beberapa bekas hakim tersebut. Sekali lagi Zaid memberikan imej buruk kepada kerajaan Malaysia. Padahal dia sendiri berada dalam “kem” kerajaan! Kononnya telus!

Akibat “ketelusan”nya itu, Zaid beberapa kali didesak untuk mengumumkan jumlah bayaran “ex-gratia” kepada beberapa hakim tersebut. Dengan alasan kukuh bahawa pemeberian “ex-gratia” tersebut behubungkait dengan wang rakyat, YB Fuad Zarkashi dan beberapa ahli parlimen lain telah mendesak agar Zaid memberitahu tentang jumlah pemberian “ex-gratia” tersebut. Zaid dengan angkuhnya enggan memberitahu umum tentang jumlah wang negara yang dibayar dan tanpa rasa bersalah sanggup bertikam lidah dengan rakan ahli parlimen yang lain. Bagi Zaid, bekas-bekas hakim tersebut lebih penting dari berjuta rakyat Malaysia yang turut sama membayar cukai! “Bekas hakim diutamakan, rakyat dibelakangkan”, mungkin itulah “motto” hidupnya ketika itu.

Akhirnya, Zaid meletak jawatan. Baguslah begitu. Dia sedar sendiri bahawa dirinya umpama “api di dalam sekam”. Eloklah dia berambus dari kabinet kerajaan! Rakyat sudah “jelek” dengan ragam Zaid. Tidak habis disitu, Zaid tanpa segan silu, duduk “sebaris” dengan kepimpinan pembangkang. Kononnya, dia ingin menunjukkan “protes” melalui tindakannya yang boleh duduk semeja dengan pembangkang.Zaid menyertai PKR! Siapa pun tidak terkejut. Sudah dijangka bahawa Zaid hanyalah “opportunis” yang bersifat “sesumpah”! Eloklah “sampah bangsa” ini masuk ke “tong sampah busuk” yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri!

Zaid kini bakal menjadi calon Kelana Jaya.

Jika begitulah sejarah seorang Zaid Ibrahim yang bermula dari Kota Baru, Kelantan yang terabai. Dari Parlimen Kota Baru yang tidak terbela. Dari Kabinet yang mencetus huru-hara dan beragenda sebagai “api dalam sekam”. Maka layaklah Zaid Ibrahim dinobatkan sebagai “pengkhianat bangsa” sebaris bersama Anwar Ibrahim. Eloklah Zaid menjadi calon di Kelana Jaya. Jika Zaid menang, “makan hati berulam jantung”lah penduduk Kelana Jaya. Jika Zaid kalah, lapanglah dada rakyat Kelana Jaya. Terserahlah kepada rakyat Kelana Jaya sama ada mahu menerima Zaid Ibrahim. Jika individu “seteruk” Loh Gwo-Burne boleh diterima, apatah lagi si Zaid “lidah bercabang”?


Malaysia-instinct.com

source : www.mykmu.net

kzso - ramai pengundi di kawasan parlimen kelana jaya menunggu-nunggu prk di sana....

No comments: