NUFFNANG

Wednesday, 6 August 2008

Permatang Pauh: Demi Agenda Anwar atau Rakyat? - khir toyo

Permatang Pauh: Demi Agenda Anwar atau Rakyat?

Posted by Dr Mohamad Khir Toyo

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers dan rakan-rakan sekalian,

Situasi politik dalam negara pada minggu lalu sungguh bergelora. Dalam masa sehari sahaja kita dihidangkan dengan pelbagai perubahan dan pergolakan politik. Dari mesyuarat pimpinan Pas yang menolak kerjasama dengan UMNO sehinggalah kepada perletakan jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail. Pada hari yang sama kita juga dimaklumkan mengenai siapnya kertas siasatan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saya melihat pengosongan kerusi Permatang Pauh merupakan strategi Anwar untuk mengalih pandangan umum dari isu kes liwat beliau dan juga perbincangan isu-isu agama Islam dan orang Melayu yang sedang hangat di kalangan pemikir dan pemimpin Melayu.

Selepas keputusan Pilihan Raya lalu kita lihat Anwar begitu yakin mengenai kemaraannya dalam politik. Beliau menjadi pencipta isu dan menentukan rentak tarian pemimpin politik lain. Dari isu kesamarataan, penubuhan kerajaan persekutuan, lompat parti, harga petrol sehinggalah kepada isu-isu antara kaum dan agama.

Kembalinya Ezam ke dalam UMNO sedikit mengejutkan beliau tetapi tidak langsung ternampak tanda-tanda tarian politik yang sumbang. Dengan kata lain Anwar pasca pilihan raya ke 12 tampak yakin untuk menjejak kaki ke Seri Perdana, Putrajaya.

Namun sejak Saiful membuat laporan Polis bahawa ia diliwat oleh Anwar, bekas pemimpin nombor dua ini jelas seperti cacing kepanasan. Beliau kelihatan seperti orang kelemasan yang memaut apa sahaja dahan dan ranting yang boleh menyelamatkan dirinya.

Serangan politiknya mula tampak goyah. Cara beliau mempertahankan diri juga tidak meyakinkan mereka yang di atas pagar.

Bermula dari aduan qazaf yang pada hemat saya tidak kena masa dan sitauasinya, sehinggalah kepada pendedahan nota perubatan Saiful oleh Pusrawi yang dimanipulasi terma-terma perubatan bagi mengelirukan orang ramai. Keengganan Anwar bermubahalah dan memberi DNA tambah memberi banyak tanda tanya kepada orang ramai terutamanya orang Melayu.

Apakah tujuan utama pilihan raya kecil Permatang Pauh ciptaan Anwar ini? Ia tidak lain dan tidak bukan untuk memastikan bahawa Anwar akan terus menjadi wira.

Jika ia didakwa atas tuduhan liwat, beliau kemungkinan besar tidak akan dibenarkan ikat jamin. Saya difahamkan tuduhan liwat merupakan salah satu tuduhan yang tidak membenarkan ikat jamin. Anwar hampir pasti menang dalam pilihan raya kecil ini.

Sebaik sahaja beliau menang maka beliau dengan bangga akan mendakwa betapa lemahnya BN hari ini. Dari dalam lokap pun beliau boleh menang.

Jika beliau kalah, maka beliau akan mendakwa BN menjalankan penipuan undi. Beliau akan mendakwa kekalahan itu dan perbicaraan kes liwatnya merupakan konspirasi politik bagi menggagalkan usaha beliau menjadi Perdana Menteri.

Jadi walau apa pun keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh ia tidak akan memberi impak yang positif kepada UMNO dan BN.

Namun BN harus bertanding bagi memberikan pilihan kepada pengundi untuk BN terus berbakti. Saya percaya BN mempunyai rekod perkhidmatan yang boleh ditunjukkan kepada pengundi. Rekod ini cukup untuk membolehkan rakyat memberikan undi kepada BN. Walaupun dari segi emosinya pengundi mungkin bersama Anwar, namun saya percaya mereka mampu berfikir secara rasional dan memberikan undi kepada calon BN nanti.

BN harus meyakinkan rakyat bahawa agenda dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh ini adalah merupakan agenda rakyat. Siapa yang terbukti membela rakyat dan masa depan mereka. Pilihanraya ini bukanlah tempat untuk Anwar membawa agenda peribadinya. Lebih dari itu, pilihanraya ini bukanlah "mahkamah" untuk mengadili kes aduan Saiful terhadap Anwar.

Saya fikir selain menghadapi pilihan raya kecil ini, pimpinan BN perlu meneruskan usaha mengurangkan beban hidup rakyat. Apatah lagi dengan penurunan harga minyak hari ini, kerajaan boleh menurunkan sedikit harga runcit petrol.

Biarlah Anwar terus dengan retorik politiknya. Yang penting bagi BN ialah memahami dan mengatasi masalah rakyat.

Jika ini dapat dilakukan, ditambah lagi dengan butiran pertemuan beberapa pemimpin BN dengan Anwar yang dimiliki Saiful, saya percaya impian Anwar untuk menjadi Perdana Menteri 16 September hanya tinggal impian semata-mata biar pun beliau menang di Permatang Pauh.

Impian Anwar tidak lebih seperti kata pepatah "burung terbang dipipiskan lada."

kzso - kekalahan umno/bn tempoh hari adalah disebabkan kerakusan, penyalahgunaan amanah dan kuasa, ketamakan, lupa diri dan kelalaian kepimpinan umno/bn. kalau tidak ada anwar pun rakyat akan memberi undi protes kepada pembangkang juga. semoga kepimpinan sekarang sedar akan kesalahan dahulu dan bergerak dengan semangat untuk membela rakyat dan tanahair, bukan untuk mengisi perut dan poket masing-masing.

No comments: