Apabila kena orang dia...mereka bising
Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Datuk Seri Ahmad Said Hamdan Khamis jawab balik para pemimpin parti pembangkang bising pasal penahanan dua orang Exco Kerajaan Negeri Perak dari Parti Keadilan Rakyat kerana disyaki terlibat rasuah.
Beliau dengan nada kesal mempersoalkan sikap mereka yang hanya bising bila ahli parti mereka yang kena tetapi tidak bila orang lain kena.
Antaranya mereka mendakwa seolah BPR berkonspirasi dengan kerajaan rancang untuk jatuhkan imej pembangkang menjelang pilihanraya kecil Permatang Pauh.
‘Apabila tangkap orang dia, mereka bising. Mereka janji nak hapus rasuah, sepatutnya bantulah kita, bukan tuduh perkara yang negatif.
“Banyak tangkapan sebelum ini tapi tidak ada yang komen, apabila tangkap Exco Perak, mereka tuduh macam-macam,” katanya.
Beliau menjelaskan BPR tidak boleh tangguh untuk bertindak semata-mata kerana adanya satu pilihanraya kecil akan berlangsung.
“Takkan wang dah diterima, kita minta tunggu dulu kerana pilihan raya kecil, aduan sudah diterima, BPR perlu bertindak,” katanya menjawab soalan para wartawan dalam sidang akhbar selepas menghadiri satu forum di Kuala Lumpur.
Ketua Pengarah BPR itu juga menjelaskan mereka mempunyai bukti kukuh dalam kes itu.
Menurutnya malah suspek ditangkap ketika satu urusan penyerahan sejumlah wang sedang dijalankan.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan seorang anggota Exco kerajaan negeri Perak dan empat yang lain yang ditahan reman oleh BPR Rabu dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada pukul 5.20 petang Khamis ,sehari lebih awal daripada tempoh reman tiga hari yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ipoh Rabu.
Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Ridwan Ibrahim selepas mendengar permohonan oleh lapan peguam yang mewakili lima suspek itu untuk penyemakan semula perintah tahanan reman yang dikeluarkan Mahkamah Majistret itu.
Ridwan dalam keputusannya berkata mahkamah berpendapat tempoh dua hari sudah mencukupi bagi BPR menjalankan siasatan.
Beliau juga berkata tidak ada kesilapan dalam keputusan Majistret Noor Aini Yusof mengeluarkan perintah tahanan reman selama tiga hari itu dan ia dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.
"Majistret dibekalkan dengan laporan yang berkaitan dan setiap laporan mempunyai maklumat mengenai pembabitan setiap suspek.
Tetapi, tugas penyiasatan oleh BPR mestilah diseimbang dengan hak kebebasan individu...dengan melihat kepada dasar-dasar berkenaan, tidak wajar tahanan reman selama tiga hari. Apa-apa tindakan mesti dibereskan sebelum tiga hari," katanya.
Ridwan berkata Majistret juga telah dibekalkan dengan diari penyiasatan dan ada menyebut tentang penglibatan suspek-suspek dalam kes itu sebelum dibenarkan direman.
Keputusan berkenaan disambut dengan gembira oleh kira-kira 100 penyokong parti Pakatan Rakyat dari DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memenuhi mahkamah. Turut hadir ialah anggota keluarga suspek dan beberapa anggota Exco kerajaan negeri Perak.
Perintah tersebut bagaimanapun tidak melibatkan seorang lagi anggota Exco yang ditahan BPR semalam.
Anggota Exco berkenaan dikenakan tahanan reman dua hari oleh Mahkamah Majistret Ipoh pagi Khamis.
kzso - harap bpr berlaku adil kepada semua. cepat-cepatkanlah siasatan dan jika terbukti ada bukti kukuh, hadapkanlah ke mahkamah. kalau tidak, rakyat tidak akan menghormati lagi kewibawaan bpr
No comments:
Post a Comment