NUFFNANG

Sunday, 31 August 2008

Mufti bimbang orang ramai tidak percaya sumpah nama Allah

Mufti bimbang orang ramai tidak percaya sumpah nama Allah
Sikap sesetengah pihak yang sewenang-wenangnya menghukum sumpah Mohd Saiful Bhukari Azlan salah dan lebih mempercayai akuan sumpah di hadapan pesuruhjaya sumpah berbanding sumpah menyebut nama Allah membimbangkan Mufti Wilayah Persekutuan.

Kebimbangan Datuk Wan Zahidi Wan Teh itu ada asasnya kerana dalam situasi sekarang, beliau berpendapat sumpah seolah-olah boleh dilakukan dengan sesuka hati tanpa memikirkan kesannya.

"Masyarakat sudah keliru kerana soal bersumpah dengan menyebut nama Allah kini dipolitikkan untuk kepentingan peribadi pihak tertentu," katanya sambil mengakui menerima banyak pertanyaan orang ramai mengenai kesahihan sumpah Mohd Saiful.

“Agama tidak boleh digunakan untuk tujuan selain mencari kebenaran. Sebagai orang Islam, kita kena yakin dan percaya kerana (sumpah laknat) itu sebahagian hukum yang ada dalam al Quran,” katanya.

Beliau sekali lagi menjelaskan, sumpah laknat Mohd Saiful pada 15 Ogod lalu adalah sah mengikut hukum Islam walaupun ada pihak mengatakannya salah, tidak sah serta mempertikai cara bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bersumpah..

Terbaru yang dijadikan modal PKR apabila imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi mengatakan sumpah itu tidak sah, tidak mengikut syarak serta beliau diarah menjadi saksi Mohd Saiful bersumpah.

Mengulas perkara ini, Wan Zahidi sangsi serta mempersoal kredibiliti Ramlang yang tampil di pentas PKR di Permatang Pauh, semalam membuat pengakuan bahawa sumpah yang dibuat oleh Mohd Saiful adalah tidak sah.

Menurut beliau, mana-mana individu yang ingin mengeluarkan sebarang fatwa atau hukum dalam Islam perlu mendalami ilmu yang terkandung dalam kitab-kitab Feqah bagi memperkukuhkan hujah mengenai sesuatu perkara.

"Saya sangsi sama ada beliau boleh baca kitab (Feqah) atau tidak. Apabila kita mengeluarkan fatwa yang berkaitan dengan soal hukum, kita seolah-olah bercakap bagi pihak Allah.

"Jadi kita perlu bercakap dengan ilmu dan sesiapa yang mengeluarkan fatwa tanpa merujuk sebarang kitab yang berkaitan maka akan menerima siksaan dari Allah di neraka," katanya dalam sidang media di Pusat Islam, Isnin.

Ramlang dilantik oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) sebagai Pegawai Rendah Agama atau Pembantu Hal Ehwal Islam dengan gred perkhidmatan S17.

Beliau ditempatkan di Masjid Wilayah Persekutuan sebagai imam, jurunikah dan ketua amil.

Ramlang turut mengaku beliau 'dipaksa' untuk menjadi saksi dalam upacara tersebut.

Ditanya mengenai kenyataan Ramlang itu, Wan Zahifi berkata perkara itu adalah sesuatu yang normal.

"Kebetulan dia bertugas pada hari itu jadi tidak mustahil pegawai atasan masjid mengarahkan beliau untuk turut sama dalam upacara tersebut bagi membuat laporan mengenai apa yang berlaku. Itu perkara biasa." katanya.

Menurut mufti itu lagi, sumpah Mohd Saiful tiada kaitan dengan mahkamah kerana sumpah yang dilakukanitu atas pilihan beliau sendri tanpa arahan mana-mana pihak.

Tambah beliau, sumpah terbahagi kepada dua iaitu sumpah dalam perbicaraan di mahkamah dan yang kedua ialah di luar perbicaraan mahkamah.

"Sumpah sah dilakukan oleh mana-mana individu dengan pilihannya sendiri manakala perkara yang digunakan untuk bersumpah ialah hanya dengan menyebut nama Allah," katanya.

Namun jelas beliau, berdasarkan kitab Hasyiah I'anah al-Talibin juga ada menyebut mengenai pemberatan atau perkara tambahan yang boleh dilakukan semasa bersumpah iaiatu dari segi masa dan tempat.

"Berdasarkan kitab ini, ada menyebut kita boleh bersumpah selepas Solat Asar pada hari Jumaat, di dalam masjid disisi mimbar atau meriba al-Quran dan meletakkan tangan diatasnya," katanya.

Bagaimanapun jelas beliau sumpah yang dilakukan oleh Mohd Saiful bukan sumpah mubahalah kerana sumpah itu memerlukan persetujuan kedua-dua pihak.

Pada sidang media itu, Wan Zahidi turut menyatakan kebimbangan mengenai tindakan pihak tertentu yang cuba mendapatkan kuasa dengan membuat fitnah, menghasut serta memburukkan pemerintah.

“Amalan politik ini sebenarnya diasaskan seorang Yahudi bernama Abdullah bin Saba yang berpura-pura menganut agama Islam dan tinggal di Madinah pada zaman Khalifah Uthman,” katanya.

Menurutnya,pemimpin Yahudi ini berpura-pura membuat baik untuk menarik hati dan kepercayaan umat Islam serta menentang perbuatan buruk.

Bagaimanapun, gerakan politik Abdullah ini katanya hanya bertujuan membangkitkan kebencian orang ramai dan membawa kepada tragedi pembunuhan Saidina Uthman.

kzso - semoga dan mohon kebenaran dari ALLAH SWT akan perkara ini. "Ya ALLAH ya tuhan kami, mohon ditunjukkan kebenaran dan kekuasaan mu atas perkara ini ya ALLAH, kami memohon kepadamu demi Islam, kitab-kitabMu, hamba-hambaMu dan umat Islam semua. Aameeeeeen"

No comments: