Anwar & JAWI
Contributed by
TI,
Pejuang Reformasi Tulen
Selangor.
Tindakan Dato’ Seri Anwar Ibrahim membuat laporan terhadap Mohd. Saiful Bukhari Azlan (pemuda yang mendakwa diliwat oleh beliau) di pejabat JAWI (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan), membuat saya rasa terpanggil untuk menulis artikel ini. Menurut Seksyen 41 Qazaf (tuduhan palsu) di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997, Saiful Bukhari jika sabit kesalahan boleh di denda RM5,000 atau dipenjara maksimum 3 tahun atau kedua-duanya sekali. Dakwaan keatas beliau yang dibuat oleh saudara Anwar ialah disebabkan kegagalannya mengemukakan 4 orang saksi lelaki ketika laporan polis dibuat.
Yang menghairankan saya, kenapa saudara Anwar yang terkenal dengan laungan ‘demokrasi’, ‘progressif’ dan ‘hak asasi manusianya’ sanggup memanjat tangga JAWI untuk mencari keadilan?
Kita semua tahu rakan-rakan sekular Anwar yang tanpa henti memperjuangkan hak asasi manusia seringkali menganggap institusi seperti JAWI sebagai kolot, jumud dan tidak berlandaskan hak asasi manusia. Sebagai seorang yang sentiasa mengikuti perkembangan politik negara, saya sebenarnya sudah muak dengan permainan politik mereka yang dahagakan kuasa.
Saya tidak mahu menghukum sesiapa sebelum pihak polis selesai membuat siasatan kerana saya percaya keadilan pasti berada dipihak yang benar. Apa yang ingin saya fokuskan di sini ialah tentang laporan yang dibuat oleh Anwar terhadap Saiful.
Menurut fahaman saya, keperluan mengemukakan 4 orang saksi lelaki di dalam Islam adalah bertujuan untuk melindungi wanita-wanita suci daripada menjadi mangsa fitnah terutama sekali fitnah berzina. Ianya termaktub di dalam Surah an-Nur ayat 4 yang bermaksud : “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.” Namun begitu, tidak dinafikan terdapat pelbagai interpretasi terhadap Surah ini dan saya yakin pihak JAWI lebih arif mengenainya.
Walaubagaimanapun saya ingin menegaskan, sekiranya saudara Anwar berjaya di dalam pendakwaannya, beberapa implikasi besar boleh berlaku. Antara implikasinya ialah, dimasa hadapan, wanita-wanita atau lelaki-lelaki yang menjadi mangsa rogol atau liwat tidak akan berani membuat laporan polis sekiranya mereka tidak mempunyai ‘4 orang saksi lelaki’. Jika ada laporan dibuat, pihak yang dituduh boleh mengikut jejak langkah Anwar - pergi ke JAWI bagi menuntut mangsa mengemukakan 4 orang saksi lelaki. Jika prinsip ini diguna pakai sewenang-wenangnya, tidak akan ada seorang pun perogol atau peliwat yang dikenakan hukuman, sebaliknya si pengadu (mangsa) yang terpaksa menghadapi tindakan undang-undang.
Saya percaya rakan-rakan ‘human rights’ saudara Anwar diluar sana sedar akan hal ini kerana situasi di atas sedang bermaharajalela di beberapa negara di dunia. Di Pakistan misalnya, ramai mangsa rogol telah disumbat ke dalam penjara kerana tidak dapat mengemukakan 4 orang saksi yang melihat kejadian rogol tersebut. Menurut kajian yang dilakukan samada diperingkat lokal mahupun antarabangsa, boleh dikatakan semua jenayah rogol atau liwat berlaku di dalam keadaan ‘private’ atau di tempat sunyi. Oleh itu, di dalam menyiasat kes rogol atau liwat, ‘4 orang saksi lelaki’ bukanlah satu-satunya kriteria untuk mendakwa atau menghukum pesalah. ‘Circumstantial evidence’ dan lain-lain keterangan hendaklah di ambil kira oleh pihak berkuasa. Untuk memberi keadilan kepada semua, saya berharap pihak JAWI tidak mengabaikan bukti-bukti yang ada ditangan pihak polis atau forensik.
Siasatan hendaklah dijalankan secara adil dan telus tanpa mengira darjat seseorang.
Pihak berkuasa harus memikul tanggungjawab mencari bukti atau saksi dan bukannya membebankan mangsa. Oleh kerana di dalam kes ini Saiful membuat laporan polis yang ia diliwat, maka beliaulah yang layak bergelar mangsa dan bukannya Anwar.
Di pihak Anwar pula, jika beliau tidak bersalah, beliau tidak perlu takut atau panik kerana Allah berada di pihak yang benar. Samada tindakan Syaiful satu konspirasi politik ataupun tidak, itu bukanlah persoalannya.
Persoalan utama ialah, ‘samada Saiful benar-benar diliwat Anwar’ ataupun tidak? Jika benar Anwar tidak melakukannya, saya sarankan beliau menyahut sahaja seruan mufti Perlis untuk bersumpah menggunakan Quran atau atas nama Allah sebagaimana yang telah dipersetujui Saiful.
Bagi mereka yang sudah lupa atau tidak tahu, saya ingin mengimbas semula sebahagian daripada teks ucapan penghakiman yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Persekutuan dengan majoriti 2:1 pada 2 September 2004 semasa membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat.
Keputusan majoriti bersetuju yang mereka mempunyai bukti bahawa Anwar terlibat di dalam aktiviti homoseksual -
“The testimonies of one Dr. Mohd Fadzil and one Tun Haniff and the conduct of the first Appellant (ie Anwar) confirmed the appellants’ involvement in homosexual activities. However such evidence did not corroborate Azizan’s story that the appellants sodomised him on the date, time and place specified in the charge.”
Berdasarkan kenyatan di atas, cukup jelas yang Anwar telah dibebaskan hanyalah atas sebab-sebab teknikal. Saya rasa kita semua boleh menilai kata-kata di atas secara logik dan dengan fikiran yang terbuka.
Yang paling saya kesalkan, kenapa kita harus melibatkan kuasa asing seperti Amerika Syarikat yang sudah terang-terang menghina dan menindas orang Islam di dalam kes ini?
Kita semua tahu, kuasa besar itu hanya ingin memgambil kesempatan ke atas negara-negara Islam yang lemah.
Adalah kita ingin menjadi seperti Iraq, Pakistan atau Afghanistan?
Pemimpin di negara tersebut hanyalah boneka yang senang diperkotak-katikkan.
Nasihat saya kepada saudara Anwar dan pemimpin kita yang lain : “janganlah kita menang sorak tapi kampung tergadai”.
Walau apapun agenda kita, maruah bangsa, agama dan negara jangan sekali-kali diperjudikan.
kzso - insyaALLAH........ negara kita ini dijagai dan dilindungi ALLAH SWT
No comments:
Post a Comment