NUFFNANG

Friday, 15 August 2008

Hadi Jadi Perdana Menteri!

Hadi Jadi Perdana Menteri!

Contributed by belantan

Bukankah Anwar yang hendak menjadi Perdana Menteri Pakatan Rakyat? Atau Haji Hadi juga menyimpan cita-cita hendak menjadi Perdana Menteri dalam diam-diam? Bagai orang yang mengantuk disorongkan bantal. Gara-gara apabila bekas mantan Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohammad mengumumkan untuk berundur keluar dari UMNO tidak lama dahulu, seolah-olah ianya memberi satu rahmat kepada Pakatan Rakyat terutamanya Pas.

Pada masa itu mereka mula memasang angan-angan untuk menubuhkan kerajaan baru jika Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi oleh UMNO tumbang. Mereka berharap UMNO akan terus bergolak dengan masalah dalaman mereka. Ditambah lagi dengan pengunduran Tun Dr.Mahathir, mereka melihat UMNO retak menunggu rebah.

Haji Hadi nampaknya telah mengubah haluan dan menerima kontrak sosial yang dipersetujui bersama oleh pemimpin-pemimpin Perikatan dahulu. Suatu masa dulu, Haji Hadi dengan begitu keras sekali memfatwakan bahawa adalah kafir bekerjasama dengan kaum-kaum lain yang bukan Islam.

Apakah Haji Hadi juga akan keluar PAS dan mengepalai gerakan beramai-ramai orang-orang PAS yang kecewa di Perak, Penang dan Selangor untuk masuk dalam BN? Apakah PKR dan DAP akan redha dengan kenyataan kontrak sosial Haji Hadi ini? Ini kerana PAS hanya ada 28 orang sahaja dalam Parlimen.

Sedangkan PKR dan DAP adalah parti yang berbilang bangsa, 34 orang ahli Parlimen DAP dan PKR adalah bukan beragama Islam. Jadi apakah boleh terpakai hukum mengkafirkan UMNO di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981?

Pada waktu itu, Haji Hadi mengatakan "Pas menentang Umno bukan kerana namanya Umno, tetapi kerana Umno mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan peraturan kafir dan mengekalkan peraturan jahiliah. Disebabkan itu, perjuangan menentang Umno adalah jihad dan jika mereka mati dalam perjuangan itu, mati mereka adalah mati syahid."

Kesan fatwa ini amat besar, terutamanya dalam isu Memali di Baling pada 19 November 1985. Apakah DAP akan bersetuju dengan pandangan Haji Hadi ini? Nampaknya Lim Kit Siang seakan menjadi bakal menjadi Timbalan Perdana Menteri pilihan kerajaan Anwar, berbanding Haji Hadi. Ini kerana DAP sudah menguasai tiga buah negeri iaitu Penang, Perak dan Selangor berbanding PAS yang hanya dapat dua negeri iaitu Kelantan dan Kedah.

Dari segi hasil dan kekayaan, DAP melebihi PAS. Tentunya Kit Siang akan menjadi pilihan Anwar. Atas faktor perpaduan, kekayaan dan pengaruh berbilang bangsa, Anwar pastinya akan mengenepikan Haji Hadi. Lihatlah bagaimana Anwar membela Karpal dalam isu Pengarah Jabatan Agama Islam Perak.

Anwar nampaknya lebih favour DAP berbanding PAS. Bagaimana pula dengan Karpal Singh? Apakah dia akan duduk diam sahaja melihat Haji Hadi merangka kerajaan menurut sistemnya sendiri. Pastinya Karpal Singh mempunyai pendapatnya sendiri. Apa yang pasti, Karpal memang tidak bersetuju untuk mendirikan sebuah negara Islam.

Di mana pula kedudukan Nik Aziz? Apakah Nik Aziz akan berdiam diri lagi melihat Anwar, Kit Siang dan Karpal menyusun kabinet baru dengan mengenepikan orang orang dari PAS? Nik Aziz bersetuju agar orang Cina pun boleh jadi Menteri Besar asalkan dia adalah kelulusan dari Universiti Al-Azhar (Utusan Malaysia, muka surat 2, Rabu, 21 Mei). Apakah orang Cina yang sudah masuk Islam yang dimaksudkan Nik Aziz? Bagaimana pula kalau orang Cina yang beragama lain teringin hendak jadi MB?
Bolehkah? Lihatlah bagaimana Hadi Awang sudah pun mengiktiraf Perlembagaan Reid yang dulunya disebutnya sebagai perlembagaan kafir.

Betapa mereka begitu berkecamuk sekali fikiran. Keadaan ini terjadi bila mereka sudah pun berangan-angan membayangkan bahawa mereka adalah bakal pemerintah kerajaan di Malaysia. Sedar atau tidak, semua yang dikatakan oleh Hadi Awang ini sudah pun dilaksanakan oleh kerajaan BN sejak dari Tunku Abdul Rahman sampailah sekarang ini.

Sekarang ini menteri kabinet Islam ada 23 orang (termasuk PM dan TPM) berbanding 9 orang bukan Islam. Entah apa akan jadi kalau Pakatan Rakyat memerintah. Apakah akan jadi sama banyak seperti Selangor, atau kurangnya kedudukan Exco orang Melayu seperti di Perak?. Jika perlembagaan Malaysia ialah peraturan jahiliah seperti kata Haji Hadi di Banggol Peradong, maka apakah pula jenis kerajaan di Kedah dan Kelantan sekarang ini masuk dalam kategori jahiliah juga?

kzso - the sign is clear........

No comments: