NUFFNANG

Monday 18 August 2008

Bapa pertahan sumpah Saiful

Bapa pertahan sumpah Saiful

Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY

KUALA LUMPUR 17 Ogos – Azlan Mohd. Lazim, bapa Mohd. Saiful Bukhari, mempertahankan tindakan anaknya mengangkat sumpah di masjid bagi membuktikan dakwaannya diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, upacara sumpah laknat pada Jumaat lalu itu adalah mengikut syariat Islam kerana ia dibuat selepas Mohd. Saiful mendapat nasihat daripada ulama.

Azlan menegaskan, tiada sebab untuk anaknya mengangkat sumpah sekali lagi walaupun ada pihak cuba mempertikaikan cara yang digunakannya sehingga ada pemimpin Pas sanggup menyamakan sumpah yang dibuat di dalam masjid itu dengan amalan Kristian.

Sehubungan itu, beliau mencabar pihak yang masih mempertikaikan sumpah laknat atau mubahalah yang dilakukan oleh Mohd. Saiful supaya tampil mengemukakan contoh atau ‘cara Islam yang betul’ seperti dakwaan mereka.

“Saya yakin Mohd. Saiful telah menjalani proses mengangkat sumpah secara tertib mengikut apa yang disyariatkan dalam Islam.

“Ini termasuklah diadakan di dalam masjid pada hari Jumaat, dalam keadaan suci berwuduk, berkiblatkan Kaabah serta mengucapkan lafaz Wallahi, Wabillahi dan Watallahi.

“Kerana itu, saya mencabar mereka yang mengkritik Mohd. Saiful untuk tampil menunjukkan ‘cara yang betul’ bagi membuktikan kaedah yang digunakan oleh anak saya adalah salah,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia sebagai mengulas perbuatan beberapa pihak, terutama para pemimpin Pas, yang tidak bersetuju dengan cara Mohd. Saiful mengangkat sumpah bagi membuktikan kebenaran dirinya diliwat oleh Anwar.

Mohd. Saiful, 23, melafazkan sumpah laknat (mubahalah) di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta di sini pada pukul 6.25 petang Jumaat lalu dengan disaksikan oleh Azlan, ahli-ahli keluarganya, imam Ramlang Porigi dan para pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Dalam sumpah itu, pemuda itu menegaskan bahawa Anwar telah meliwatnya pada 26 Jun lalu.

Azlan tidak menolak isu kaedah sumpah tersebut timbul kerana pihak-pihak yang terlibat mempunyai agenda politik masing-masing selain terlalu taksub dengan Anwar yang kini berkempen dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Beliau hairan dengan tindakan golongan itu yang mempertikaikan cara anaknya bermubahalah sedangkan upacara sumpah itu pertama kali dilakukan di negara ini.

“Saya minta mereka berhenti mempersoalkan perkara remeh sedemikian kerana anak saya telah mengangkat sumpah dengan cara yang betul di sisi Islam, bukan dengan pegangan agama lain.

“Yang penting keikhlasan dan keberanian beliau untuk menjalani proses itu tanpa keraguan... jadi hentikanlah mengkritik,’’ ujarnya.

Dalam hal ini, Azlan enggan mengambil peduli cakap-cakap orang. “Saya hanya berserah pada ketentuan Tuhan untuk membuktikan keadilan,” katanya.

Cadangan supaya Mohd. Saiful bermubahalah dicetuskan oleh Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin pada bulan Julai lalu.

Dalam reaksinya terhadap lafaz sumpah Mohd. Saiful yang antara lain mengatakan “jika saya berdusta saya sanggup menerima azab, dilaknat dan kutukan daripada Allah sehingga kiamat”, Dr. Mohd. Asri menggesa Anwar juga melakukan mubahalah.

“Jika Anwar juga bersumpah laknat seperti itu (Mohd. Saiful), maka jadilah mubahalah dan kita akan lihat hukuman Tuhan nanti,” katanya.

kzso - adakah anwar sanggup bermubahalah? kita tungguuuu

No comments: