Apabila reformis mula melondehkan rahsia tuannya
''SELAMA 10 tahun saya berjuang untuk manusia bernama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sepanjang tempoh itu juga saya keluar masuk lokap demi mempertahankan perjuangan beliau.
''Namun setelah beliau dibebaskan, tidak sekalipun beliau menghubungi saya dan bertanya sama ada saya makan atau tidak, bagaimana keadaan keluarga saya dan bagaimana nasib saya akibat bisness yang telah lingkup," demikian luahan kecewa Abdul Ghani Haroon, bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Abdul Ghani yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mendedahkan perkara berkenaan dalam satu ceramah yang diadakan di Kepala Batas, semalam.
Beliau yang pernah ditangkap bagi membantu siasatan berhubung rusuhan di Masjid Negara pada 19 September 1999 dan aktivis reformasi bukan calang-calang orang kerana pada pilihan raya umum 1999, Abdul Ghani bertanding atas tiket PKR menentang Datuk Yahaya Abdul Hamid dari Barisan Nasional (BN) namun Abdul Ghani tewas.
Bagi Abdul Ghani, jika beliau yang telah berjuang selama 10 tahun tidak dihiraukan oleh Anwar, bagaimana Penasihat PKR itu boleh membela nasib orang Melayu terutama golongan seperti petani, nelayan dan mereka yang berpendapatan rendah.
Itu adalah mesej yang ingin disampaikan oleh Abdul Ghani kepada penduduk di Parlimen Permatang Pauh supaya mereka membuat keputusan yang betul dalam pilihan raya kecil ini.
Walaupun pilihan terletak di tangan penduduk berkenaan dan mereka mempunyai hak untuk menentukan calon mereka sendiri namun adakah berbaloi bagi mereka untuk terus terkebelakang dalam arus pembangunan di negeri ini.
Cuba lihat jiran-jiran lain terutama Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor yang terletak tidak jauh dari Permatang Pauh, bagaimana bentuk pembangunan di sana.
Keadaan begitu berbeza di Permatang Pauh hinggakan ada kampung yang masih belum memiliki bekalan air bersih.
Namun kepulangan Anwar untuk bertanding di kawasan berkenaan ibarat sirih pulang ke gagang malah ia merupakan kubu kuat dan kawasan paling selamat untuk beliau.
Tetapi tindakannya memilih Parlimen Permatang Pauh umpama mengkhianati penduduk di kawasan itu kerana tidak sampai lima bulan pilihan raya umum berlalu, kini mereka terpaksa pula melalui sekali lagi pilihan raya kecil.
Sepatutnya tempoh ini digunakan oleh bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr. Wan Azizah untuk membangunkan kawasan itu supaya setanding dengan pembangunan di kawasan lain milik BN.
Biarpun ramai yang menjangkakan Anwar akan berjaya, namun jika BN menggunakan strategi yang betul termasuk menggunakan bekas ahli PKR untuk mendedahkan rahsia-rahsia Anwar, tidak mustahil Permatang Pauh mampu ditawan kembali.
Ini berdasarkan kepada dua ceramah oleh Abdul Ghani dan Mohd. Ezam di negeri ini semalam yang berjaya membuatkan orang ramai menunggu sehingga habis majlis untuk mendengar sendiri siapa Anwar sebenarnya.
Mereka tidak berganjak dan mendengar dengan tekun selain memberikan reaksi apabila beberapa topik disentuh oleh penceramah tersebut.
Orang ramai ingin mengetahui mengenai kes liwat, mengenai pengalaman mereka sepanjang berkhidmat dengan Anwar, bagaimana Anwar mengatur strategi untuk menguasai negara selain maklumat lain berkaitan dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Walaupun mungkin ada maklumat yang sama disampaikan oleh penceramah dari UMNO namun mereka hanya akan mempercayainya jika ia keluar sendiri dari mulut bekas ahli PKR sendiri kerana hanya mereka yang berada di dalam mengetahui segala-galanya.
Namun bagi Pengerusi BN negeri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, tindakan Anwar memilih Parlimen Permatang Pauh bukan sesuatu yang mengejutkan kerana analisis dalaman telah meramalkan perkara itu sejak sebulan lalu.
''Parlimen Permatang Pauh ialah kampung halamannya malah isterinya memenangi kerusi tersebut pada 2004 walaupun ketika itu BN mencapai kejayaan cemerlang dalam pilihan raya umum di seluruh negara.
''Kerusi Parlimen lain yang disebut-sebut oleh Anwar sebelum ini iaitu Kulim-Bandar Baharu dan Bandar Tun Razak masih kabur," katanya.
Justeru, bagi Tsu Koon, BN perlu berjuang dalam pilihan raya kecil ini dengan penuh kejujuran, bermaruah, sifat merendahkan diri dan melakukan yang terbaik.
Hanya dengan itu, katanya, BN dapat menarik sokongan dan rasa hormat daripada penduduk di Parlimen Permatang Pauh yang kebanyakannya taksub kepada Anwar.
Mereka tidak percaya kepada tuduhan liwat itu malah mereka mengangkat Anwar sebagai wira yang diyakini akan menurunkan harga minyak, menjadi Perdana Menteri pada 16 September ini dan membela nasib mereka.
Berdasarkan kepada fahaman taksub itu, BN khususnya UMNO tidak seharusnya memandang remeh perkara itu dan jangan terlalu yakin akan mencapai kemenangan kerana bukan mudah untuk meruntuhkan keyakinan penduduk Permatang Pauh terhadap Anwar.
Gunakan pendekatan merendah diri ketika berkempen kerana penduduk di situ adalah penduduk kampung yang kebanyakannya adalah golongan sederhana dan berpendapatan rendah.
Mereka tidak mahu melihat pemimpin UMNO datang dengan kereta yang menjalar untuk berkempen, kemudiannya hilang sedangkan hakikatnya ada antara penduduk yang baru merasai kemudahan bekalan air bersih sejak enam bulan lalu.
Pendekatan terbaik dalam berkempen perlu digunakan BN kerana Anwar dan PKR akan bersama-sama rakan sekutunya iaitu Pas dan DAP untuk menggunakan apa cara bagi memenangi pilihan raya kecil itu.
kzso - can we have the ceramahs by umno, gerakan, mca, mic, ipf, ppp, pkr, pas, dap be downloaded/uploaded in the you tube/internet/www/blogs?
No comments:
Post a Comment