• Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIBFoto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
 1 / 1 
SHAH ALAM - Tindakan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali yang terus mempertahankan dan tidak berani memecat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada memegang jawatan Penasihat Ekonomi Negeri Selangor dilihat seperti menjatuhkan kredibiliti beliau sendiri.

Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Ismail Sualman berkata, Mohamed Azmin sepatutnya memecat Anwar dan melantik penasihat ekonomi yang baharu.

Menurutnya, jika Anwar terus memegang jawatan tersebut, dikhuatiri akan menjejaskan hubungan Mohamed Azmin dengan pihak istana. 

“Sudah jelas Sultan Selangor tidak berkenan dengan perlakuan Anwar selama ini, sehingga darjah kebesaran beliau yang dikurniakan baginda ditarik balik, jadi mengapa mesti Azmin terus pertahankan Anwar?

“Sehingga kini, Azmin enggan beritahu status sebenar Anwar dan beliau seolah-olah takut memecat beliau dari memegang jawatan penasihat ekonomi negeri. Kenapa mesti terus berdolak-dalik? Tindakan Azmin buat orang hilang hormat kepada beliau sebagai menteri besar,” katanya.

Khamis lalu, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Selangor menarik balik darjah kebesaran Anwar yang membawa gelaran Datuk Seri berkuat kuasa 3 November.

source : sh