NUFFNANG

Friday 19 December 2014

Isu hudud ; PAS-DAP pura-pura bersengeketa, sekadar lakonan

Isu hudud ; PAS-DAP pura-pura bersengeketa, sekadar lakonan – Syed Ali


PAS sengaja memperalatkan isu pelaksanaan hukum hudud bagi meraih sokongan pengundi Melayu dan dalam masa yang sama berpura-pura ‘bersengketa’ dengan DAP, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Beliau berkata, polemik cadangan pelaksanaan hukum hudud PAS-DAP bukan perkara baru malah sudah beberapa kali dibangkitkan dan berakhir tanpa sebarang keputusan konkrit.

Malah katanya, bekas pemimpin DAP Karpal Singh pernah menegaskan ‘langkah mayat beliau dulu sebelum Malaysia dijadikan negara Islam’ oleh PAS membuktikan penentangan DAP terhadap hukum hudud bukan perkara baru.

Katanya, pemimpin PAS sudah sedia maklum bahawa DAP menentang hudud dan hukum tersebut tidak dapat dilaksanakan sehingga sekarang khususnya di Kelantan.

Tambah beliau, sudah bertahun-tahun isu hudud membabitkan ‘sengekta’ PAS-DAP diperbesarkan tetapi pada hakikatnya sekadar sebuah lakonan.

Justeru itu beliau mencabar PAS supaya segera keluar daripada pakatan pembangkang jika parti itu benar-bernar berjuang untuk agama Islam.

"Kadangkala pemimpin PAS cakap sahaja lebih tetapi masih tetap menjadi kuli politik kepada DAP walaupun agama Islam dipersendakan," tegasnya yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO/BN Wilayah Persekutuan.

Beliau seterusnya mempersoalkan kenapa pemimpin PAS masih lagi sanggup bersubahat dengan DAP dan pakatan pembangkang walaupun cadangan hudud  ditolak.

“Mereka dakwa PAS parti Islam, tetapi sehingga sekarang menjadi pemimpin Melayu yang tidak ada harga diri membiarkan kepala dipijak oleh DAP,” tegasnya.

Menurut beliau lagi, slogan jihad laungan PAS juga hanya satu pembohongan kerana sehingga sekarang mereka tidak berani menentang DAP secara terbuka bersabit hukum hudud.

Berdasarkan itu katanya, cerita hudud  hanya retorik bermusim dan sandiwara politik antara PAS-DAP dalam usaha menagih simpati pengundi Melayu.

“Ini bermakna cerita hudud dan penentangan DAP sudah dalam pengetahuan PAS, tetapi sengaja dibangkitkan semula untuk agenda politik,” jelasnya.

Beliau mendakwa, pemimpin PAS Kelantan, Datuk Amar Abdullah pernah memberitahu akhbar Utusan Malaysia pada 2 September 2010, bahawa PAS tidak mungkin melaksanakan hukum hudud jika pembangkang memenangi PRU ke-13.

Amar ketika itu Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Kelantan dipetik sebagai berkata, PAS dan parti-parti pembangkang telah bersetuju untuk tidak membincangkan soal pelaksanaan hukum hudud.

Oleh sebab itu kata Syed Ali, beliau beranggapan polemik hukum hudud antara PAS-DAP sebagai perkara yang telah dirancang untuk kepentingan politik pembangkang.

Menurutnya, isu cadangan  pelaksanaan hukum hudud juga sengaja dicetuskan oleh pembangkang bagi mengalih perhatian rakyat.

“Mereka (PAS) berlakon kononnya bergaduh dengan DAP, berlaku kata-mengata dan cabar-mencabar, tetapi kesudahannya berakhir tanpa sebarang keputusan yang dicapai,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, PAS tidak berani bertindak lebih jauh untuk meninggalkan pakatan pembangkang kerana parti itu masih memerlukan sokongan DAP dan PKR.

“Kalau PAS ada maruah, sudah lama parti itu meninggalkan DAP dan PKR, malangnya mereka tidak berani, tidak sepertimana pemimpin PAS terdahulu,” tegasnya.

Sehubungan itu kata beliau, pemimpin UMNO tidak perlu untuk terjebak dalam polemik tersebut kerana ianya sekadar lakonan dan provokasi PAS-DAP.

“Ini semua putar belit PAS, tipu muslihat yang paling keji dengan memperlalatkan agama untuk kepentingan politik,” tegasnya.


No comments: