NUFFNANG

Thursday, 25 December 2014

Hudud : Bukti PAS Sudah Tidak Percaya Anwar Ibrahim ?


Hudud : Bukti PAS Sudah Tidak Percaya Anwar Ibrahim ?

Lokman Ramlee – Sekarang Anwar Ibrahim kena buat pilihan. Mahu terus tegakkan Pakatan Rakyat bersama PAS atau DAP. Bagi kedua-dua parti itu, soal mahu duduk semeja memeta masa depan perikatan pembangkang sudah hampir mustahil.
PAS sudah berulang kali menegaskan ia boleh bergerak sendirian dan memang sudah lazim berpolitik secara solo. DAP pun demikian. Ia juga mendakwa sudah biasa berada di luar lingkungan politik tanah air, tanpa rakan politik.
Yang menjadi cabaran sekarang ialah bagaimana Anwar hendak merapatkan kembali kemesraan di antara PAS dan DAP lantas mengingatkan mereka betapa besar fadhilat bekerjasama dalam politik.
Kejayaan Pilihanraya Umum (PRU) 2008 menafikan Barisan Nasional majoriti dua pertiga di parlimen dan kemudian peningkatan pencapaian Pakatan Rakyat pada PRU 2013, seharusnya menjadikan hubungan DAP dan PAS semakin intim.
Malangnya, ia tidak jadi demikian. PAS mahu menzahirkan ideologi politiknya melaksanakan tuntutan Allah memerintah secara Islam. Salah satunya menegakkan hukum hudud.
DAP pula fobia terhadap hudud. Atas nama pragmatisme politik, DAP tidak mahu mengelirukan pangkalan penyokongnya yang sinis dan tidak yakin dengan Islam. Kebanyakan mereka bukan muslim.
DAP yakin jika PAS diizinkan melaksanakan undang-undang Islam, ia akan merugikan pengundi bukan Islam. Akibatnya, ikut perhitungan DAP, ramai pengundi bukan muslim akan menarik sokongan untuk calon-calon PAS dan PKR, mengakibatkan Pakatan Rakyat gagal menumbangkan Umno-BN.
Di bawah dagu politik Anwar, DAP dan PAS saling bercakaran. PAS kata hudud adalah perintah Allah dan ia baik untuk semua. DAP mendakwa hudud tidak baik untuk rakyat Malaysia dan menentangnya sepenuh raga.
PAS mula curiga dengan Anwar
PAS kelihatan mulai mencurigai Anwar. Ke mana perginya semangat Angkatan Belia Islam dan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Anwar yang mengimpikan Malaysia menjadi sebuah negara Islam hakiki?
PAS juga makin sangsi melihat Anwar seolah-olah kurang yakin terhadap kesyumulan perintah Allah bahawa syariatNya adalah yang terbaik untuk manusia, termasuk rakyat Malaysia.
Mengapa Anwar seolah-olah keberatan menyokong PAS dan lengah pula meninggalkan DAP yang nyata tidak Islami? Adakah pendirian Anwar ini mutlak bersandarkan perhitungan politik sahaja?
Namun, hudud ialah soal akidah. PAS tidak mahu dan tidak mungkin membelakangi tuntutan akidah bahawasanya hukum dan syariat Allah itu sempurna untuk manusia pada bila-bila masa, tempat dan suasana.
DAP sebaliknya semakin yakin bahawa Anwar faham dan menyokong pragmatisme politiknya.
Dalilnya, Anwar masih mengulang kenyataan bahawa soal negara Islam dan undang-undang Islam di Malaysia tidak pernah dipersetujui dan rangka kerjasama tiga parti itu. Oleh itu tidak mungkin ia akan diperjuangkan.
Tambahan pula, DAP sudah membuktikan secara prinsipnya ia sanggup “hidup dan mati” bersama PKR seperti yang telah dipamerkannya dalam krisis menteri besar Selangor beberapa bulan lalu.
DAP juga makin galak apabila Anwar menyokong pendiriannya berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan muslim. Anwar konsisten dengan pendirian bahawa bukan muslim bebas menggunakan kalimah Allah untuk ganti makna tuhan.
Bagaimanapun PAS mulai melihat isu ini kurang sesuai diulang-ulang sebagai satu agenda politik. PAS agak lelah melihat isu ini masih ghairah digunakan DAP untuk menyakat pemikiran dan perasaan agama umat Islam.
Ini membuat ada kalangan pemimpin PAS mulai memandang serong halatuju politik PKR pula. Bagi PAS memahami psikologi, sentimen dan amalan agama khalayak adalah amat penting.
Orang Melayu Islam bersandarkan didikan sifat dua puluh mengimani bahawa Allah tiada tandingannya apatah lagi mempunyai anak dan pembantu yang dipanggil ruhul kudus. Demikian tarbiyah akidah mereka.
Meskipun di segi teknikal bahasa kebesaran dan kemutlakan kuasa Allah tidak akan terjejas dengan berkongsi istilah dengan tuhan-tuhan yang dicipta manusia, orang Melayu Islam tidak mahu bersubahat dengan sentimen yang dilihat “liberal” begini.
Lambat laun, ia akan mengetuk dan menerjang pintu kesabaran umat Islam. Jika Anwar lambat menarik diri daripada “mengapi-api” situasi ini, sebilangan pengikut PAS nyata risau ia akan mengancam keharmonian hubungan antara agama.
Tambahan pula Mahkamah Rayuan sudahpun memutuskan bahawa mengikut faktanya, kalimah Allah tidak pernah menjadi inti akidah orang-orang Kristian khususnya. Mengapa hendak disakat-sakat keresahan umat Islam Malaysia?
Anwar mahu tarik undi bukan Islam?
Mungkin Anwar berfikiran bahawa dengan menghangatkan terus isu kalimah Allah ini, ia akan sekaligus menghangatkan juga harapan pengundi bukan Islam terhadap diri dan partinya yang dilihat “adil” kerana memahami sentimen agama mereka.
Namun bagaimana pula sentimen masyarakat Islam Malaysia yang umumnya agak konservatif dan kuat berpegang kepada runtunan tauhid yang menganggap Allah itu mutlak dan tiada tandingan di segi kewujudan mahupun kebesaranNya.
Meneliti kecenderungan politik Anwar mutakhir ini, beliau nampaknya lebih selesa “menjaga hati” DAP. Ini mungkin mendorong ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Latheefa Koya menyindir PAS sudah mula bersekongkol dengan Umno.
PAS disindir sengaja mahu membentangkan Pindaan Enakmen Syariah Kelantan untuk merintis jalan melaksanakan hudud di Kelantan akhir bulan ini demi mengalih pandangan rakyat pada isu 1MDB yang sedang menghimpit Umno.
Kenyataan ini seolah-olah “direstui” oleh pimpinan PKR yang setakat ini tiada seorangpun pemimpinnya yang menegur Latheefa supaya jangan “menyakiti lagi hati PAS” dan penyokongnya.
Jika demikian halatujunya, seperti mana PKR mahu nama Anwar dinobatkan sebagai bakal Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat menang PRU 14 kira-kira tiga tahun lagi, PAS juga mahu Anwar mengisytiharkan akan mengangkat syariat Islam, khususnya hudud untuk dilaksanakan di Malaysia.
Jika Anwar mahu selamatkan perpaduan Pakatan Rakyat, beliau harus berani menyahut cabaran ini. Jika tidak baik PAS mahupun DAP akan terus memandang serong terhadap tujuan dan gelagat politiknya.
Bagi PAS tidak timbul soal Anwar tersepit seperti perumpamaan “ditelan mati emak diluah mati bapa” kerana ini adalah soal akidah yang tiada tawar menawar lagi.
Undang-Undang Hudud Tiada Dalam Agenda Bersama PR – Anwaraidc
Source :  

No comments: