Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Norazli Musa berkata, keutamaan mesti diberi terhadap arahan pemimpin parti walaupun ia akan mengakibatkan tahaluf siyasi antara Pas dan DAP serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) terpaksa dibatalkan.

Beliau tidak menolak kemungkinan itu boleh berlaku memandangkan Multaqa Ulama Se-Malaysia di Alor Setar, Kedah pada 14 September tahun lalu turut mencadangkan resolusi agar tahaluf siyasi Pas dalam pakatan pembangkang disemak semula.

“Kita mesti akur dengan pendirian pimpinan Pas lebih-lebih lagi setelah Timbalan Mursyidul Am parti, Datuk Dr. Haron Din menegaskan bahawa DAP yang ‘merobek’ tahaluf siyasi apabila berterusan mempertikaikan hudud.

“Akar umbi menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk menentukan masa depan tahaluf siyasi, apa sahaja keputusan kita mesti ikut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Haron menegaskan, hudud merupakan nyawa kepada Pas yang tidak akan digadaikan walau atas apa alasan sekalipun dan jika DAP mahupun Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng tidak selesa dengan perjuangan Pas itu, Guan Eng boleh mencari ‘ke­selesaan’ lain dengan jalannya tersendiri.

Guan Eng dalam siri ‘serangan’ terbaharunya ke atas Pas kelmarin menyifatkan, komitmen sekutu DAP itu untuk tetap melaksanakan hudud di Kelantan adalah penghinaan kepada pakatan, selain mendakwa langkah ber­kenaan bertentangan dengan konsensus pakatan.

Sementara itu, bekas Setiausaha Pas Selangor, Norman Toha memberitahu, sokongan rakyat Kelantan yang tidak berganjak terhadap Pas sejak 1992 membuktikan mereka bersetuju hudud dilaksanakan di negeri itu.

Malah, jelas beliau, kesediaan kerajaan Pusat menubuhkan jawatankuasa teknikal khas peringkat kebangsaan berhubung pelaksanaan hudud bersama kerajaan Pas Kelantan wajar dilihat sebagai perkembangan yang menggalakkan.

“Walau bagaimanapun, selagi Pas masih bersama DAP dan PKR, selagi itulah isu pelaksanaan hudud akan terus berkecamuk,” ujarnya.

Norman menambah, hanya ketegasan pucuk pimpinan Pas yang dapat menentukan hudud dapat dilaksanakan di Kelantan memandangkan DAP konsisten menentang undang-undang tersebut sejak dahulu hingga sekarang.