NUFFNANG

Thursday, 25 December 2014

DENGAN SOMBONG ... DAP, PKR TAK MINAT PADA TAKLIMAT HUDUD PAS

DENGAN SOMBONG ... DAP, PKR TAK MINAT PADA TAKLIMAT HUDUD PAS

DAP dan PKR tidak diundang dan tidak akan hadir pada pembentangan awal butiran pindaan Rang Undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993, yang dirancang PAS pada 28 Disember ini.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, pembentangan itu adalah hal PAS dan tiada kena-mengena dengan Pakatan Rakyat.

"Saya tak tahu apa-apa. Itu hal PAS bukan hal Pakatan.

"Mereka nak buat keputusan tanpa diskusi dengan Pakatan," kata setiausaha publisiti DAP itu kepada Malaysiakini.

Beliau ditanya sama ada DAP tahu dan akan hadir pada pembentangan itu nanti.

Mengulas lanjut, Pua berkata PAS tidak menghormati muafakat ketiga-tiga parti dalam Pakatan kerana langkah Kelantan itu tidak pernah dibawa berbincang di peringkat tertinggi gabungan itu.

"Mereka tidak menghormati Pakatan. Mereka ingat, apa yang mereka suka buat mereka buat sahaja.

"Kalau kata mereka langsung tak hormati dan mementingkan pemuafakatan ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat, mungkin lebih baik PAS bertindak sendiri sahajalah, tak perlu Pakatan," kata Pua.

PKR: Bukan agenda kami

Sementara itu, Naib Presiden PKR Tian Chua berkata, parti itu juga tidak berminat untuk hadir ke taklimat itu.

"Kami tidak berminat, ia bukan agenda kami. Kenapa kami perlu menyertainya," katanya.

Menurut Tian (kiri), hudud adalah agenda kerajaan negeri Kelantan, dan bukan Pakatan.

"Kerajaan Kelantan perlu menyelesaikannya, kerana mereka telah meluluskan enakmen ini sejak 1992.

"Jadi apa pun yang terjadi, mereka perlu memutuskan perkara itu sendiri, tiada kena mengena dengan Pakatan," kata Tian.

Kerajaan Kelantan akan mengadakan sidang DUN khas bagi membentangkan pindaan Rang Undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993, pada 29 Disember ini.

Bagaimanapun, butiran awal pindaan itu akan dibentangkan dahulu kepada semua anggota jawatankuasa PAS, pada 28 Disember ini.
Source : pilihan anda

No comments: