NUFFNANG

Friday 13 September 2013

ANAK MUDA DAN WARGA MALAYSIA MESTI BACA ARTIKEL INI! KEMERDEKAAN UNTUK GENERASI MUDA Kemerdekaan mesti dipertahan

KEMERDEKAAN UNTUK GENERASI MUDAKemerdekaan mesti dipertahan

Oleh: Mona Ahmad (mona@bh.com.my) dan Azrul Affandi Sobri (azr@bh.com.my)Berita Harian, Ahad 1 September 2013, Kolom Rencana, Muka Surat 31

Generasi muda perlu diperjelas sejarah negara berlandas fakta

Umpama pelancong di negara sendiri, itulah yang boleh disimpulkan bagi rakyat negara ini yang tidak peduli atau buta mengenai sejarah negara terutama rentetan peristiwa yang membawa kepada kemerdekaan negara. Seperti pelancong yang hanya mahukan keseronokan dan tidak memikirkan, selain percutian yang indah, begitu jugalah rakyat yang buta sejarah negara.

Golongan ini tidak menghiraukan jerih-perih orang lama berjuang membebaskan negara daripada penjajahan dan keperitan mendapatkan kemerdekaan yang membawa kepada keamanan serta kemakmuran negara sehingga kini. Sejarah memainkan peranan penting dalam setiap negara. Baaimanapun, masalah sering timbul apabila banyak pihak tidak memahami sejarah. Di Malaysia, misalnya, ramai sering lupa bahawa agama Islamlah yang menyuburkan perjuangan nasionalisme orang Melayu di negara ini.

Tokoh politik veteran, Tan Sri Sanusi Junid, berkata ini dibuktikan dengan rentetan sejarah kebangkitan nasionalisme di negara ini. Waktu itu, katanya, bangsa Melayu terbahagi kepada lima kelompok iaitu kumpulan yang belajar di Asia Barat (Mesir) yang menyaksikan kebangkitan umat Islam selepas kejatuhan kerajaan Uthmaniah, kumpulan yang belajar di pondok-pondok yang bertaburan dalam kawasan sawah yang penanam padinya menyumbangkan zakatnya kepada pondok-pondok, kumpulan yang belajar di Sultan Idris Training College (SITC), bekas pelajar Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang terdiri dari anak-anak bangsawan dan kerabat di raja dan cerdik pandai Melayu yang berselerak di sana-sini di seluruh negara.

“British memberi keistimewaan kepada golongan bangsawan, anak-anak raja dan kerabat-kerabat di raja untuk belajar di MCKK dengan tujuan mengambil hati mereka dan mahu memberi peranan kepada mereka berkhidmat sebagai pekerja di dalam pemerintahaan British, tetapi apabila British mahu menurunkan taraf Raja-Raja Melayu setaraf dengan tok penghulu, perasaan marah membuak-buak dalam kalangan bekas pelajar MCKK ini,” katanya.

Orang Melayu marah kepada British tetapi ada yang mentafsirkan penentangan kerana kemarahan itu adalah kepada penjajahan ke atas tanahair mereka. Tetapi ada juga yang menentang penjajahan kerana ianya kapitalis. Kumpulan yang anti kapitalima inilah yang akhirnya beralih kepada puak berhaluan kiri dan kemudiannya ada yang menjadi komunis.

Bukti Penjajah Boleh Dikalahkan
“Ketika itu, ramai beranggapan bahawa penjajah tidak boleh dikalahkan. Dua kejadian di dunia ini yang menjadikan orang yang dijajah merasakan mereka boleh mengalahkan penjajah iaitu kali pertama ialah apabila kerajaan Uthmaniah kalah dalam Perang Lepanto (The Battle of Lepanto) pada tahun 1571 sehingga peristiwa itu masih diingati sehingga kini apabila lonceng di gereja besar dunia dibunyikan pada setiap 7 Oktober.

Walaupun selepas kekalahan itu pihak Uthmaniah terus memerintah Negara Kristian yang mereka duduki tetapi pandangan rakyat Kristian bahawa tentera Islam tidak dapat dikalahkan telah terhapus sama sekali setelah sekali kalah dalam Perang Lepanto.

“Bagi negara Asia yang dijajah kuasa Barat pula, kedatangan Jepun membangkitkan semangat dan rasa yakin yang mereka boleh megalahkan penjajah. Apabila Jepun keluar, semangat yang diajar oleh Jepun bahawa kuasa Barat boleh dikalahkan telah membuat mereka mahu merdeka, dan memerintah negara sendiri, kembali semula,” katanya.

Orang Melayu ‘bos’

Bercerita mengenai kedudukan orang Melayu pada zaman kemerdekaan, Sanusi berkata pada awalnya golongan Melayu dianggap ‘bos’ (tuan) dan British hadir di Tanah Melayu sebagai penasihat.

“Orang Melayu adalah ‘bos’ dan orang putih datang ke Tanah Melayu sebagai penasihat. Bahkan masyarakat India dan Cina juga mengaku bahawa golongan Melayu adalah ‘bos’ di negara ini. Itu sebab, banyak tokong yang saya tahu ada sebagai 'Atok' di Pulau Pinang dan Langkawi, bernama Melayu seperti Datuk atau 'atok' Mawar Musa di kaki pokok besar di tepi laut dalam kawasan Rasa Sayang Hotel di Pulau Pinang dan Datuk atau 'Atok' Berahim di Langkawi,” katanya.

Pada peringkat awal, masyarakat Cina yang berhijrah ke negara ini kebanyakannya berfahaman Confucius dan mempercayai kepada konsep penjelmaan semula dan seterusnya mempercayai orang Melayu, sebagai tuan kerana di kehidupan lampau mereka adalah orang yang baik. Sedangkan pendatang yang susah dan ada yang berniaga candu dan berjudi tentulah bersebabkan mereka adalah penjelmaan dari dato' nenek yang banyak melakukan sesuatu yang tidak baik sehingga keturunannya menjalankan hukuman sehingga terpaksa menjadi pendatang ke Negara lain. Adanya 'Atok' yang bernama seperti nama nabi-nabi di merata semenanjung menjadi tanda pengiktirafan bahawa Melayu adalah bos sebagai hasil re-incarnation keturunan yang baik-baik. Sekarang ini, bila Melayu gagal dalam bidang ekonomi jangan pula kita menyalahkan nenek moyang kita.

“Semuanya ada sejarah, misalnya, nama Jalan Maarof di Bangsar, antara Masjid Saidina Abu Bakar dan Bangsar Shopping Center, diambil sempena nama seorang anak Melayu yang hebat dalam bidang ekonomi. Beliau dikatakan mengutarakan idea mewujudkan bank Melayu tetapi malangnya belum tercapai impiannya, mayatnya dijumpai di Tasik Perdana,” katanya. Jam tangan Rolex yang mahal dipakai di tangannya dan wang di dalam sakunya tidak diambil oleh pembunuh. Berertilah pembunuh itu tidak bertujuan untuk mencuri jam, wang atau sebarang barang mahal yang ada padanya sebaliknya ingin membunuh ideanya untuk mewujudkan Bank Melayu. Pada waktu itu yang ada hanya bank penjajah dan sebuah bank OCBC milik taukeh-taukeh China.

Sanusi berkata, ketika bertugas sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Kemerdekaan pada 1982, beliau telah membawa sekumpulan pejuang-pejuang kemerdekaan, yang terdiri dari mereka yang pernah berarak menentang rancangan penubuhan Malayan Union oleh British. Golongan warga emas ini dilayan sebagai tetamu istimewa Negara sepanjang berada di Kuala Lumpur sebelum menyertai perarakan pada 31 Ogos pada tahun itu .

“Golongan muda yang antaranya terdiri daripada doktor dan jurutera kelihatan terkejut apabila datuk mereka dilayan dengan begitu istimewa. Apabila datuk mereka bercerita apa yang berlaku ketika berjuang untuk menentang Malayan Union yang akan menghalang cita-cita untuk mencapai kemerdekaan barulah mereka sedar bahawa kemungkinan apa yang kerajaan bangunkan sehingga sekarang adalah hasil daripada pergolakan yang dilalui oleh pejuang-pejuang untuk mencapai kemerdekaan,” katanya.

Ekonomi, katanya adalah senjata paling berpengaruh dalam menentukan hala tuju sesebuah negara.

“Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj pernah menyebut orang Melayu tidak perlu sibuk berniaga dan kita hanya perintah saja. Biar orang Cina berniaga. Kalau mahu duit untuk parti minta daripada orang Cina. Memang cantik aturan ketika itu, saling melengkapi. Bagaimanapun, masa berlalu, tanpa ekonomi tiada kuasa politik. Kuasa politik orang Melayu tidak bersifat sebenar. Jika ikut logik, orang yang tiada kuasa ekomoni tiada kuasa politik. Itulah apa yang dikatakan oleh seorang pemikir besar Yunani bernama Aristotle. Lama kelamaan, orang Melayu menceburi bidang perniagaan. Dengan ini, persaingan pun wujud antara kaum dan bangsa,” katanya.

Budaya, adab satukan rakyat

Dalam usaha menyatukan rakyat negara ini, katanya, budaya dan adab turut memainkan peranan penting dan bukan hanya bahasa. Misalnya, katanya, jika lima orang berada dalam satu bilik dan berkomunikasi dalam lima bahasa yang masing-masing tidak faham tentunya tidak menimbulkan masalah kerana mereka tidak faham satu sama lain dan oleh itu tidak dapat mengatakan sesuatu yang boleh menyinggung perasaan.

“Kemampuan bercakap dalam satu bahasa adalah mustahak untuk komunikasi tetapi tidak mencukupi oleh mewujudkan perhubungan baik antara berbilang kaum. Yang menyatukan adalah budaya dan adab. Masalah timbul apabila kita tidak mengenal budaya dan adab sendiri. Bangsa Cina misalnya, mempunyai pelbagai dialek tetapi tulisan mereka tetap sama. Begitu juga agama, silapnya apabila kita kadang kala terlalu bergantung kepada amalan budaya yang bertentangan dengan Islam,” katanya.

Bercerita mengenai pendekatan terhadap orang muda, Sanusi berkata golongan ini perlu diperjelaskan mengenai sejarah negara yang berlandaskan fakta. “Apabila bercakap dengan mereka, kita perlu bersedia dengan fakta dan statistik barulah mereka dapat menerima apa yang kita cakapkan,” katanya.

No comments: