PERGHH! Naib Presiden: Siapa di dalam air badan berpeluh!
Walaupun Tan Sri Isa Samad dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam sudah mengesahkan mereka mahu berentap, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dijangka kekal walaupun persaingan pasti sengit.
Ini kerana Isa dan Ali pernah bertanding merebut jawatan sama dan masing-masing masih berpengaruh.
Isa adalah Pengerusi Felda dan Ali walaupun tewas pada PRU lalu turut diberikan jawatan Pengerusi PUNB.
Ada meramalkan Zahid boleh menang selesa begitu juga dengan Shafie selepas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman membuat keputusan tidak turut mencabar jawatan Naib Presiden walaupun mendapat sokongan besar UMNO Sabah.
Hanya kedudukan Hishammuddin dikatakan tergugat dan ada cakap-cakap Isa dengan sokongan lebih 50 Bahagian UMNO di tanah rancangan Felda boleh membuka peluangnya mengisi salah satu kerusi Naib Presiden.
Lagipun bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu pernah menduduki kerusi Naib Presiden sebelum terpaksa melepaskannya kerana dikaitkan dengan pelanggaran disiplin ketika pemilihan.Bagaimanapun, semua cakap-cakap dan ramalan pihak tertentu berubah apabila Menteri Besar Kedah itu tiba-tiba mengumumkan hasrat mahu sama-sama bersaing berebut jawatan nombor tiga dalam hirarki parti UMNO itu.
Jika sebelum ini, ada yang meramalkan Zahid, Shafie, Hishammudin atau Isa berpeluang mengisi tiga tempat Naib Presiden tetapi dengan penyertaan anak mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu, aura pemilihan Naib Presiden terus berubah.
Sudah ada ramalan baharu mengatakan Zahid, Mukhriz dan Shafie boleh mengisi tiga tempat tersebut berdasarkan penilaian terhadap kemampuan masing-masing.
Zahid muktahir ini dilihat begitu menonjol selepas menerajui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan dilihat sebagai pemimpin yang tegas.
Mukhriz pula dilihat sebagai tokoh muda yang dianggap berjaya selepas menerajui BN Kedah merampas semula negeri Jelapang Padi itu daripada PAS.
Dengan sana sini pemimpin UMNO bercakap soal meremajakan parti dan mahu memberi peluang kepada golongan muda, Mukhriz dilihat sebagai pemimpin yang mempunyai ciri-ciri itu.
Jangan lupa, Mukhriz pernah melalui sukar dan perit dalam proses pemilihan jawatan dalam UMNO ketika bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO bersama-sama Khairy Jamaluddin dan Dr Mohamad Khir Toyo.
Secara tidak langsung, penyertaannya pada pemilihan parti yang lebih terbuka memberi banyak peluang kepadanya tambahan pula ada pihak menilai cabarannya kali ini adalah untuk selangkah ke depan berbanding Khairy yang mempertahankan kerusi Ketua Pemuda.
Tidak boleh dinafikan juga, pengaruh Dr Mahathir sedikit sebanyak akan membantu Mukhriz memperolehi undian baginya memenangi jawatan Naib Presiden.
Shafie pula lebih bernasib baik kerana beliau dilihat mewakili Melayu Sabah dan Sarawak.
Sebelum ini, peluang beliau dilihat sukar dengan ura-ura Musa diminta penyokong-penyokongnya bertanding jawatan berkenaan.
Cuma kini, apakah 25 Bahagian UMNO di Sabah boleh memberikan sokongan penuh kepada Shafie dan jika jadi kenyataan, peluang Shafie kekal Naib Presiden adalah cerah.
Sungguhpun begitu, Shafie yang menyedari kemungkinan berlaku sebaliknya, tidak dapat menyembunyikan kegusaran kemungkinan seorang daripada Naib Presiden akan kecundang.
Ketika bercakap kepada media selepas menyerahkan pencalonan, Shafie membayangkan kemungkinan tersebut.
Apapun itu hanya ramalan dan bukan ramalan menentukan siapa dipilih Naib Presiden sebaliknya seramai 146,500 perwakilan.
Ibarat kata Zahid. Perwakilan di peringkat akar umbi perlu menilai setiap calon secara bijak.
Katanya, keburukan setiap manusia memang ada tetapi tidak salah ditonjolkan kelebihan mereka.
“Saya percaya kepada ahli-ahli kita. Melalui pelbagai pilihan, kita dah matang...yang melakukan (perkara buruk) akan terima padah,”katanya.
Kesimpulannya, setiap calon adalah sahabat dalam UMNO dan patut bertanding dalam suasana kekeluargaan.
Namun, semua itu boleh menyebabkan enam calon yang berentap bagi jawatan Naib Presiden tidak senang duduk sehingga ke semua perwakilan menentukan siapa pemimpin masa depan mereka pada pemilihan serentak di Bahagian pada 19 Oktober nanti.
Sama ada Zahid, Hisham, Shafie, Isa, Mukhriz dan Ali – jika‘berperang’ sekalipun, biarlah ibarat ikan di laut, asam di darat...dalam periuk bertemu juga.
Sedarlah, walau perang macam mana pun, mereka tetap dalam ‘periuk’ UMNO.
Cuma sehingga menanti perang itu selesai, biasalah jika ada yang badannya berpeluh walaupun di dalam air.
Eloklah peringatan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak ada salah guna kuasa dan politik wang dalam pemilihan kerana itulah antara tujuan transformasi parti dengan memberi ruang lebih ramai ahli-ahli berhak menentukan pemilihan bagi Alif, Ba, Ta atau Agama, Bangsa dan Tanahair
source : agenda daily
No comments:
Post a Comment