Sejarah Pemilihan dan Status Quo Umno
A Kadir Jasin
SEDIKIT mengenai sejarah. Kali terakhir Presiden Umno dicabar dalam pemilihan parti adalah pada tahun1987. Tengku Razaleigh Hamzah mencabar Dr Mahathir Mohamad. Tengku Razaleigh kalah. Umno berpecah.
Kali terakhir Timbalan Presiden Umno dicabar pada tahun 2008 apabila Muhyiddin Mohd Yassin dicabar oleh Muhamad Muhd Taib. Muhyiddin menang.
Pertandingan sensasi Timbalan Presiden berlaku pada tahun 1993 apabila Anwar Ibrahim mencabar Abdul Ghafar Baba. Setelah Anwar mendapat pencalonan yang banyak, Abdul Ghafar menarik diri daripada bertanding. Anwar menang tanpa bertanding. Sebulan kemudian Abdul Ghafar meletakkan jawatanTimbalan Perdana Menteri dan Anwar menggantikan beliau.
Abdul Ghafar sendiri menjatuhkan Musa Hitam daripada Timbalan Presiden dalam pertandingan tahun 1987.
Sejak tahun 1987, jawatan Presiden tidak ditandingi lagi. Apabila Dr Mahathir bersara pada bulan Oktober 2003 dan digantikan oleh Abdullah Ahmad Badawi beliau juga mengambil alih sebagai Presiden Umno.
Apabila Abdullah dipaksa meletakkan jawatan pada bulan April 2009, Mohd Najib Abdul Razak menggantikan beliau. Untuk pemilihan 2008-2011 (yang diadakan pada 2009), Mohd Najib menang tanpa bertanding.
Dalam konteks itu, Muhyiddin Mohd Yassin adalah pemimpin tertinggi Umno masa ini yang mendapat mandat daripada ahli. Beliau menang pertandingan tahun 2008-2011.
Selain Dr Mahathir, hanya Tunku Abdul Rahman Putra dan Hussein Onn pernah dicabar sebagai Presiden. Tunku dicabar oleh Haji Ahmad Fuad Hassan, seorang ulama dan Pengerusi Badan Agama Umno, pada pemilihan tahun 1951.
Ahmad Fuad adalah sahabat akrab Onn Jaafar. Beliau keluar Umno, mengasaskan PAS dan menjadi Yang DiPertuanya yang pertama pada tahun 1951. Pada tahun 1953 beliau keluar PAS setelah cadangannya menggabungkan PAS dengan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pimpinan Onn gagal. Beliau kemudian menyertai IMP dan selepas itu Parti Negara yang menggantikan IMP.
Hussein menghadapi cabaran kamikaze oleh Haji Sulaiman Palestin dalam pemilihan 1978. Beliau menang dengan mudah dengan memperoleh 898 undi berbanding Sulaiman sebanyak 250.
Kita lihat bagaimana, sejak pemilihan 1987, Umno begitu takut mempertandingkan jawatan Presiden dan sejak itu. Jawatan Perdana Menteri seolah-olah penentu kepada jawatan Presiden Umno.
Serentak itu juga, garis pemisahan antara Umno dan kerajaan menjadi semakin kabur. Maka tidak hairanlah apabila kerajaan tidak popular Umno turut tidak popular sebab orang ramai keliru antara Umno dan kerajaan, kerajaan dan Umno.
Pemilihan agung tidak lagi instrumental dalam menentukan siapa menjadi Presiden dan nasib Presiden sebagai Perdana Menteri.
Nasib Presiden Umno sebagai Perdana Menteri Malaysia ditentukan oleh pendapat umum dan oleh kebangkitan ahli seperti yang berlaku ke atas Abdullah pada tahun 2009. Hal yang sama akan menentukan kekal atau tidak Mohd Najib sebagai Perdana Menteri.
Naib Presiden Tumpuan 2013
MEMANDANGKAN jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, aksi pemilihan pucuk pimpinan Umno kali ini tertumpu kepada tiga jawatan Naib Presiden.
Penyandang - Ahmad Zahid Hamidi (berusia 60 tahun), Hishammuddin Hussein (52) dan Shafie Apdal (55) - ditentang oleh Mohd Ali Rustam (64), Mohamed Isa Abdul Samad (63) dan Mukhriz Mahathir (48 tahun).
Dalam pertandingan jawatan nombor tiga ini, apa sahaja boleh berlaku. Daripada tiga penyandang, Ahmad Zahid nampak kukuh, tetapi Hishammuddin dan Shafie boleh dicabar.
Kalau pemilih tahu dan masih ingat, Mohd Ali dan Isa pernah didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin dalam pemilihan parti sebelum ini.
Dalam pemilihan 2008, Mohd Ali cuba mempertahankan jawatan Naib Presiden yang dimenanginya pada tahun 2004, tetapi dihalang setelah Lembaga Disiplin mendapati beliau melanggar peraturan pemilihan berkaitan tuduhan politik wang.
Mohd Isa memenangi kerusi Naib Presiden dalam pemilihan 2004 dengan undi terbanyak tetapi dibatalkan setelah Lembaga Disiplin mendapati beliau terbabit dengan politik wang dan digantung keahlian selama tiga tahun hingga 2008.
Satu-satunya muka baru dan termuda dalam barisan calon Naib Presiden adalah Mukhriz. Selain usia, kelebihan Mukhriz adalah beliau berjaya memimpin Umno merampas balik Kedah daripada PAS dalam Pilihan Raya Umum 5 Mei lalu.
Namun pengaruh Mohd Ali and Mohd Isa tidak boleh dipandang remeh. Kedua mereka mempunyai sokongan akar umbi yang kuat dan pemilihan kali ini, dengan bilangan pemilih kira-kira 150,000 orang, unsur akar umbi adalah kuat.
Khairy Mempunyai Jalan Mudah
KETUA Pemuda, Khairi Jamaluddin, dicabar oleh empat orang iaitu Ketua Pemuda Umno Cawangan Bukit Setiawangsa, Irwan Ambak, Ketua Cawangan Umno Bendang Baru, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, Penolong Setiausaha Pemuda Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail, dan bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Merbok, Abdul Karim Ali.
Walaupun beliau dibebani oleh tuduhan menjadi sebahagian daripada Budak Tingkat Empat era Abdullah, beliau berjaya mengalahkan Dr Khir Toyo dan Mukhriz dalam pemilihan 2008.
Beliau baru berusia 37 tahun dan telah menjadi menteri penuh. Apa pun persepsi umum terhadapnya, prestasi beliau sebagai Ketua Pemuda, pemimpin generasi pasca-DEB dan pemikir semasa adalah memberangsangkan.
Pencabar beliau, termasuk Akhramsyah, adalah pemimpin akar umbi. Tiga persoalan timbul.
Pertama, apakah kepemimpinan Pemuda yang ada sekarang sepakat bahawa Khairy adalah ketua yang baik justeru itu tidak perlu diubah?
Kedua, adakah penyertaan ramai pemimpin akar umbi dalam percubaan merebut jawatan Ketua Pemuda mencerminkan kebangkitan generasi muda Umno?
Ketiga, adakah Khairy tidak popular dengan kepemimpinan ajar umbi?
Apa pun, kecenderungan dan keberanian mereka menawarkan diri adalah dialu-alukan.
Ketua Wanita Penuh Kontroversi
SHAHRIZAT Abdul Jalil (60 tahun) menghadapi cabaran yang tidak diduga daripada bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Muadzam Shah, Pahang. Turut mengemukakan pencalonan adalah Raihan Sulaiman, anak Allahyarham Sulaiman Pelestin.
Dengan beberapa kontroversi di sekelilingnya, kedudukan Shahrizat boleh disifatkan sebagai “goyah” tetapi masih sukar dijatuhkan.
Beliau seorang yang diplomatik dan pandai mengambil hati. Hati terakhir yang dipikatnya ialah hati Perdana Menteri yang baru saja melantiknya sebagai Penasihat Hal Ehwal Wanita bertaraf menteri, walaupun Mohd Najib sudah ada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (Rohani Abdul Karim).
Jawatan Ketua Puteri yang ditandingi oleh Ahli Parlimen muda Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin, dan Ketua Puteri Umno Petaling Jaya Selatan, Jamilah Hanim Othman, berupa persaingan sama rata.
Dengan bilangan calon yang mendaftar sebanyak 261 orang bagi jawatan Majlis Tertinggi dan tiga sayap parti, pemilihan kali ini menjanjikan persaingan yang hebat dan terbuka.
Ia boleh menjadi permulaan kepada berakhirnya politik wang atau memburukkannya lagi gejala itu. Tugas Lembaga Disiplin menjadi bertambah berat. Kewibawaan pemilihan bergantung kepadanya.
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment