NUFFNANG

Friday 6 September 2013

Setiausaha politik Kit Siang (graduan undang-undang UiTM?) diselar cadang tubuh UiTM bukan Melayu

Setiausaha politik Kit Siang diselar cadang tubuh UiTM bukan Melayu

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
SEPTEMBER 06, 2013
Cadangan mewujudkan institusi pendidikan untuk bukan Melayuala Universiti Teknologi Mara (UiTM) oleh Dyana Sofya Mohd Daud, setiausaha politik kepada Lim Kit Siang mendapat kritikan hebat daripada pelbagai pihak.
Melihat cadangan kritikal yang dikemukakan oleh graduan UiTM itu, Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar melabelkan Dyana sebagai Melayu yang tidak kenal sejarah dan menjadi mangsa diperalat DAP.
Beliau berkata, Dyana seharusnya memahami falsafah penubuhan UiTM yang diasaskan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) sambil menggesa gadis itu menelusuri sejarah penubuhan DAP yang diasaskan oleh PAP di Singapura.
“Dia harus faham asal-usul DAP. Tunku Abdul Rahman sendiri sanggup keluarkan Singapura dari Malaysia. Slogan ‘Malaysian Malaysia’ yang dilaungkan PAP jelas bertentangan dengan prinsip negara kita.
“Kenyataan sebegini berbentuk perkauman. Dia tidak faham sejarah, sebab itu tiada semangat patriotik. UiTM jelas dilindungi Perlembagaan dalam Perkara 153. Ini hak kita dan jangan pertikaikan,” katanya kepada The Malaysian Insider mengulas cadangan setiausaha politik Penasihat DAP itu.
Katanya, kaum Melayu banyak berkorban untuk kaum lain sebagai contoh kuota Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) turut diberikan kepada pelajar bukan Melayu.
Sementara itu, Ahlis Majlis Tertinggi Umno yang juga bekas timbalan menteri pengajian tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah turut senada dengan Noh sambil menjelaskan objektif penubuhan UiTM bagi membantu pelajar Bumiputera khususnya dari luar bandar.
Beliau berkata, keistimewaan UiTM tidak perlu dipertikaikan kerana masih ada 19 institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang terbuka kepada semua kaum dan tidak dihadkan kuota kemasukannya.
“Biarkan UiTM seperti sekarang. Universiti itu perlu terus memainkan peranannya bagi membantu anak bumiputera. Kita tidak lihat ada keperluan untuk membuka UiTM kepada kaum lain.
“Hujah sesetengah pihak yang mengatakan kemasukan sebilangan kecil pelajar bukan Bumiputera ke dalam UiTM dapat mempengaruhi kecemerlangan pelajar Melayu tidak disandarkan kepada bukti saintifik.
“Banyak institusi yang tertumpu kepada satu kaum sahaja namun boleh berjaya. Sebagai contoh, Kolej Melayu Kuala Kangsar dan Kolej Tunku Kursiah banyak menempa kejayaan meskipun didominasi pelajar Melayu,” katanya yang menyangkal dakwaan dangkal sesetengah pihak berhubung teori itu.
Beliau berkata, pihak yang mendakwa UiTM terdiri daripada pelbagai kampus cawangan perlu melihat isu itu secara rasional kerana kaum Melayu tidak pernah mempertikaikan parti bukan Melayu menubuhkan kolej atau universiti mereka sendiri.
Bekas Naib Canselor UiTM, Tan Sri Ibrahim Abu Shah pula dengan lantang membangkang cadangan yang dikemukakan Dyana sambil meminta pihak yang masih mempertikaikan isu tersebut melihatnya secara rasional.
Beliau berkata, pelajar Bumiputera masih menjadi kumpulan yang ketinggalan di belakang jika dibandingkan dengan pencapaian kaum lain.
Katanya, nisbah pelajar Melayu yang mengikuti bidang pengajian kritikal juga masih berada pada tahap rendah maka UiTM adalah institusi bagi mewujudkan keseimbangan tenaga pakar di Malaysia.
“Jika UiTM menerima kemasukan pelajar bukan Bumiputera, keadaan negara akan menjadi semakin meruncing kerana tiada lagi persefahaman yang akan terjalin antara kaum di Malaysia.
“Kaum lain juga ada institusi mereka sendiri maka tidak perlu diganggu UiTM. Justeru, saya melihat perkara berkenaan bukan satu keperluan dan saya minta bidang pendidikan, jangan dipolitikkan,” katanya.
Beliau mahu pihak yang masih mempersoalkan isu tersebut melihat kejayaan graduan UiTM yang berjaya menerajui syarikat swasta di Malaysia sambil menafikan istilah bodoh dan malas bukan ‘pakaian’ pelajar UiTM.
Sementara itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa) menyifatkan Dyana sebagai budak muda yang masih mentah.
Setiausaha Agungnya, Syed Hasan Syed Ali, berkata jika tanpa polisi UiTM yang mengangkat martabat orang Melayu, maka pastinya Dyana tidak akan bergraduasi di sana.
“Langkah mayat kami dulu. Falsafah pendidikan UiTM yang mengutamakan orang Melayu menjadikan dia berjaya hingga ke hari ini,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Gadis yang berasal dari Ipoh, Perak itu ialah graduan undang-undang UiTM dan kemasukannya ke dalam DAP diumumkan sendiri oleh Lim yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah dalam satu sidang media khas.
Dyana yang ditemui media pada Ahad lalu menggesa satu IPTA seperti UiTM diwujudkan untuk orang bukan Melayu.
Beliau kesal melihat sebahagian rakan bukan Melayunya dinafikan peluang melanjutkan pelajaran ke IPTA.
Katanya, sudah sampai masa, sistem pendidikan Malaysia bergerak melangkaui garis perkauman dan dipacu berasaskan keperluan.

kzso - kenapa cepat melatah? orang cina samada dari mca, dap, pakatan, ppp dan tidak berparti dah lama ada 'UiTM' sendiri.. tar college dan universiti tunku abdul rahman tu bukan 'UiTM' bagi orang cina ker? 

No comments: