NUFFNANG

Monday 26 January 2015

[BIAR BETOL!?] ... Shahidan Tawar Diri Jadi Pendamai

[BIAR BETOL!?] ... Shahidan Tawar Diri Jadi Pendamai


A Kadir Jasin


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, (Datuk Seri) Shahidan Kassim, menawarkan diri menjadi pendamai “ketegangan politik dalaman antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan (Datuk Seri) Mohd Najib Abdul Razak”, kata media atas talian.

Kalau laporan itu tepat, saya mengalu-alukan “keperwiraan” dan “kesopanan” Shahidan. Tidak ramai anggota kabinet Mohd Najib yang berani berjumpa Dr Mahathir kerana takut dituduh bersekongkol menjatuhkan bos mereka atau cukup berakhlak untuk menghormati orang tua.

Tetapi sebelum Shahidan mengenakan pakaian perisai Don Quixote, izinkan saya mengingatkan kawan saya itu agar tidak tersalah menyerang kincir angin (wind mill) kerana menyangka ianya gergasi ganas.

Gambar hiasan: "Lebai" Shahidan dengan Dr Mahathir
Mula-mula sekali, elok difahami sama ada berlaku “ketegangan politik dalaman” antara Dr Mahathir dan Mohd Najib.

Saya rasa tidak.

Yang Dr Mahathir bangkitkan adalah isu pentadbiran dan pengurusan ekonomi negara. Buat permulaan, beliau bukan mencabar Mohd Najib sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri, tetapi sekadar memberi tunjuk ajar dan kemudiannya mengkritik apabila Mohd Najib seolah-olah memekakkan telinga, membutakan mata dan membisukan mulut.

Langkah terakhir beliau adalah menarik balik sokongan terhadap Mohd Najib. Lagipun, Dr Mahathir tidak ada apa-apa jawatan dalam Umno untuk mencabar kedudukan Mohd Najib.

Seyogia diingatkan yang sebenarnya membelasah, mempertikai dan mengecil-ngecilkan teguran Dr Mahathir serta Tun Daim Zainuddin adalah orang suruhan Mohd Najib yang termasuk media arus perdana milik Umno.

Jadi apa yang hendak didamaikan oleh Shahidan? Yang buat hal dan perlu didamaikan jiwanya adalah Mohd Najib dan budak-budak suruhannya yang bersekongkol dengan pembangkang bagi membelasah Dr Mahathir, Daim serta pihak-pihak lain yang tidak bersetuju atau menegur mereka.

Kalau Shahidan berani dan berpengaruh, mereka inilah yang perlu beliau jinakkan supaya tidak menjadi batu api yang membakar perhubungan  Mohd Najib dengan pelindung-pelindung politik beliau seperti Dr Mahathir dan Daim.


Minta Khairy Jinakkan Hantu Raya

Begitu juga halnya dengan Ketua Pemuda Umno merangkap Menteri Belia, Khairy Jamaluddin. Kalau beliau mahu “perang saraf” antara kumpulan Mohd Najib Razak dan Dr Mahathir dihentikan segera “kerana ia hanya akan melemahkan Umno”, beliau juga perlu menjinakkan hantu raya yang kini menggila menyerang pengkritik Mohd Najib di kalangan ahli dan penyokong Umno.

Khairi Perlu Jinakkan Hantu Raya Umno
Shahidan boleh berjumpa dengan Dr Mahathir dan saya tahu beliau kerap juga berjumpa Daim. Saya juga akui yang beliau adalah antara menteri yang tidak kecut perut dengar nama Mohd Najib dan kerap berjumpa pengkritik bosnya.

Tetapi adakah mampu beliau meyakinkan Dr Mahathir dan Daim bahawa segala-galanya dalam keadaan “A-okay” mengenai isu-isu seperti 1MDB, kewangan negara dan rundingan perjanjian perkongsian trans-Pasifik (TPPA) dengan Amerika?

Dr Mahathir dan Daim menegur dan mengkritik Mohd Najib bukan kerana mereka benci kepada beliau jauh sekali mengidamkan kedudukan beliau sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri.

Teguran dan kritikan mereka bertujuan memperkukuhkan Umno dan kerajaan agar tidak kalah dalam pilihan raya umum akan datang.

Namun saya mengalu-alukan cadangan pertemuan antara Shahidan dengan Dr Mahathir kerana siapakah Shahidan kalau bukan kerana dididik dan diberi peluang oleh Dr Mahathir?

Eloklah Shahidan menunjukkan teladan yang baik sambil membuktikan iaitu masih ada pemimpin Umno yang hormat orang tua dan mengenang budi.

Wallauakhlam.

No comments: