NUFFNANG

Wednesday 8 January 2014

Zulkifli Noordin selar MKPN gopoh buat keputusan kritik rampasan Bible

Zulkifli Noordin selar MKPN gopoh buat keputusan kritik rampasan Bible

KUALA LUMPUR 7 Jan. - Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) disifatkan sebagai terlalu gopoh dan tergesa-gesa dalam membuat keputusan apabila mengkritik tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas Bible versi bahasa Melayu dalam serbuan di Selangor pada minggu lalu.

Bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin berkata, ini kerana tindakan yang diambil oleh JAIS itu sama seperti agensi penguatkuasaan lain seperti polis, kastam dan lain-lain yang bertujuan mencegah dan mengekang perlakuan jenayah.

Tambah beliau, penguatkuasaan itu diambil kerana penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam adalah satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 9 Enakmen Pengawalan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988.

"Namanya pun agensi penguatkuasaan, maka memang wajar tindakan yang diambil oleh JAIS.

"Oleh itu tidak timbul soal JAIS perlu berunding atau berbincang dengan mana-mana perlakuan jenayah. Adakah kita mahu pihak polis berbincang dahulu dengan penjenayah sebelum mengambil tindakan mencegah perlakuan jenayah?," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan MKPN yang mengkritik tindakan JAIS merampas 351 naskhah Bible versi bahasa Melayu dalam satu serbuan di premis Persatuan Bible Malaysia (PBM) di Petaling Jaya pada Khamis lalu.

Dalam masa yang sama, beliau turut mempertikaikan 10 cadangan MKPN bagi memastikan isu berhubung perpaduan dan agama terutama berkaitan kontroversi serbuan dan rampasan Bible itu diselesaikan secara baik adalah tidak tepat kerana hanya menyentuh tentang kemasukan dan pengimportan Bible versi bahasa Melayu yang tiada kaitan dengan penggunaan kalimah Allah.

Zulkifli turut mendesak MKPN supaya bertindak dengan lebih rasional, matang dan mematuhi peruntukan hak asasi semua pihak berkepentingan.

"Saya kesal MKPN membuat keputusan tanpa mendengar pandangan atau input daripada pihak JAIS atau lain-lain stake-holder. Hak membela diri tidak diberikan kepada JAIS. 

Bagaimana MKPN boleh bertindak mengatasi hak asasi JAIS untuk membela diri?," katanya.

Tambah beliau, jika perkara itu tidak ditangani, dikhuatiri akan timbul persepsi MKPN sekadar dipenuhi golongan liberal yang menjadi jurucakap kepada kumpulan tertentu.

Sementara itu, Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali berkata, MKPN juga gagal bertindak atas prinsip kebijaksanaan, keadilan dan berhemah tinggi.

Menurutnya, kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan MKPN terhadap JAIS jelas membayangkan badan itu tidak dapat menghayati hakikat bahawa mereka perlu menunjukkan sifat matang, adil dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

"Saya kesal dengan tindakan MKPN kerana seperti diketahui umum, penubuhan mereka adalah bagi mencari penyelesaian terhadap masalah-masalah yang berkaitan dengan perpaduan antara kaum di negara ini," katanya.

"MKPN sepatutnya meneliti fakta yang digariskan di samping mendapatkan penjelasan mereka yang faham peruntukan undang-undang yang berkait langsung dengan tindakan yang dilakukan oleh JAIS," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Politik/20140108/po_02/Zulkifli-Noordin-selar-MKPN-gopoh-buat-keputusan-kritik-rampasan-Bible#ixzz2pkZZPiH3
© Utusan Melayu (M) Bhd 


source : utusan

No comments: