NUFFNANG

Thursday 16 January 2014

Zaid Kritik Anwar Gagal Selesaikan Isu Serbuan JAIS Terhadap PBM

Zaid Kritik Anwar Gagal Selesaikan Isu Serbuan JAIS Terhadap PBM

AIDCNews – 15/01/14 – Datuk Zaid Ibrahim mengkritik kelemahan kepimpinan Ketua Pembangkang, Datuk SeriAnwar Ibrahim yang disifatkannya telah gagal menyelesaikan isu serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap Persatuan Bible Malaysia (PBM) dengan merampas 300 Bible berbahasa Melayu dan Iban baru-baru ini.
Zaid dalam artikel terbaru di lamannya, zaid.my semalam turut memuji dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) DAP – Yeo Bee Yin (Damansara) dan Lau Weng San (Kampung Tunku) kerana berani mencadangkan pemansuhan ke atas Enakmen 1988 yang menyekat bukan Islam dari menggunakan 35 perkataan Arab dalam amalan beragama mereka termasuk Allah, Injil dan Insya’Allah.
“Selain daripada kedua-dua ADUN muda itu, tidak ada orang lain yang mempunyai menunjukkan keberanian sama ada di Selangor dan seluruh negara ini dalam menyelesaikan isu itu.
“Saya kecewa dengan Anwar, sekali lagi beliau gagal menunjukkan kepimpinannya apabila ia amat diperlukan,”katanya.
Bekas calon Timbalan Presiden PKR dan Presiden KITA itu juga turut mencadangkan agar Pakatan Rakyat (PR) bermesyuarat segera untuk menyelesaikan isu tersebut.
Menurutnya, PR akan menjadi bertambah kuat jika berjaya mencapai keputusan yang berbeza dengan UMNO.
“Inilah masanya PR menunjukkan keazaman dan keyakinan mereka dengan mengemukakan cara menyelesaikan isu Allah dengan lebih praktikal. Sudah sampai masanya mereka menunjukkan sesuatu keputusan yang berbeza daripada UMNO.”
Zaid turut mencadangkan PR mengetengahkan bekas Mufti Perlis Dr Asri Zainal Abidin yang mempunyai pandangan hampir selari dengan pembangkang berhubung isu kalimah Allah.
“Sesiapa yang membaca tulisan-tulisan Dr Asri dan penulis lain yang progresif akan menyedari bahawa ajaran Islam adalah lebih luas dan lebih mendalam maksudnya daripada yang disaji oleh kumpulan jabatan agama UMNO.
“Kecuali jika PAS dan Anwar tidak bersedia untuk mendaki gunung iman dan membentangkan Islam yang asli kepada umat Islam di negara ini, maka kita tidak mempunyai harapan untuk demokrasi dan kedaulatan undang-undang di negara ini,” katanya lagi.
Pada Oktober tahun lepas, Zaid mengkritik Anwar kerana tidak berani mempratikkan agenda Demokrasi & Islam bawaannya di Malaysia sebaliknya hanya berani beretorik dalam ceramah-ceramahnya di luar negara.
Dalam tajuk, “Anwar on democracy and Islam,” Zaid berkata agenda demokrasi bukan sahaja untuk pilihan raya, tetapi ia juga tentang kebebasan peribadi, pengiktirafan hak asasi manusia dan melindungi hak-hak minoriti.
Menurut Zaid, isu-isu yang perlu diperjuangkan Anwar dalam agenda Demokrasi & Islam adalah kalimah Allah, hak berjudi untuk umat Islam, seni badan manusia (lucah) dan sebagainya.
“Apabila berlaku percanggahan antara fatwa dengan prinsip-prinsip dan amalan demokrasi. Apa yang Anwar akan kata untuk mempertahankan hak asasi manusia jika ulama Islam mengatakan Islam lebih utama ?
“Dia (Anwar) mungkin akan bersetuju dengan mereka (ulama).
“Apa yang telah Anwar perkatakan mengenai pelanggaran berterusan terhadap kebebasan peribadi kita? Tiada apa-apa.
“Dia tidak menjadi demokrat dalam erti kata sebenarnya,” katanya.

source : aidc

No comments: