NUFFNANG

Thursday, 16 January 2014

Pergolakan Dalaman PKR Sudah Bermula, Faekah Gelar Azmin ‘Hero Ala Badut’

Pergolakan Dalaman PKR Sudah Bermula, Faekah Gelar Azmin ‘Hero Ala Badut’

AIDCNews – 16/1/14 – Menjelang pemilihan PKR yang dijangka akan diadakan pada Mei ini, pergolakan dalamanparti itu bermula di sebalik isu penamatan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Penamatan kontrak Azmin itu didakwa dilakukan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang disebut-sebut mewakili proksi kem presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Namun, Abdul Khalid dilaporkan Antarapos semalam menafikan beliau menamatkan kontrak Azmin, sebaliknya beliau menuduh ia dilakukan oleh Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Othman Omar.
Menurutnya, Azmin tidak disukai oleh pihak PKNS dan kes itu dibawa ke mesyuarat exco kerajaan negeri yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS.
“Bukan itu…keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Exco, Exco bukanlah satu parti, Exco adalah satu perkara yang dilihat oleh parti tetapi sebab untuk menggugurkan Azmin telah dibuat oleh Pengurus Besar PKNS.
“Ianya bukan keputusan parti tetapi keputusan Pengurus Besar PKNS, Exco tidak membuat keputusan itu,” katanya.
Antarapos turut melaporkan kenyataan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu Azmin dikekalkan di PKNS.
Anwar berkata jika penjelasan Abdul Khalid Ibrahim digunapakai, maka Azmin digugurkan oleh PKNS yang tidak mempunyai kuasa sedemikian.
Surat ditulis, kemudian MB kata dia tidak arah (untuk Azmin digugurkan). Dari segi prosedur Pengurus Besar PKNS tiada kuasa melainkan kerajaan negeri mengadakan mesyuarat (membuat keputusan),” katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR.
Anwar berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Khalid mengenai isu itu namun menegaskan Azmin harus dikekalkan sebagai ahli lembaga pengarah PKNS.
“Saya telah melihat keputusan telah dibuat..nasihat saya kedudukan Azmin kekal kerana proses (pengguguran) tidak dipatuhi,” kata beliau.
Hari ini, Antarapos melaporkan penafian PKNS bahawa pihaknya yang memecat Azmin sebagaimana yang dituduh Abdul Khalid.
Setiausaha Kerja PKNS, Norita Mohd Sidek berkata, kuasa lantikan ahli perbadanan itu terletak pada Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) yang diketuai oleh Abdul Khalid sendiri.
PKNS telah memaklumkan kepada Mohamed Azmin mengenai penamatan jawatannya melalui sepucuk surat bertarikh 8 Januari 2014.
“Tempoh jawatan beliau ditamatkan selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MKKN) Selangor pada 13 November 2013 dan disahkan oleh MKKN pada 4 Disember 2013.
“PKNS juga ingin memaklumkan bahawa kuasa melantik Ahli Perbadanan adalah ditangan MMKN dan bukan di tangan Pengurus Besar selaras dengan klausa 4(1) enakmen penubuhan PKNS,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menambahkan pegolakan dalaman itu, Antarapos turut melaporkan perang twitter di antara Azmin dengan Faekah Husin, Setiausaha Politik Abdul Khalid.
Faekah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (MBI) menyindir Azmin sebagai mudah melatah seperti ‘hero ala badut’ rakyat apabila membantah kenaikkan gaji hampir 400 peratus untuk pemimpin dan ADUN Selangor namun tidak dapat menerima penggugurannya daripada PKNS.
Tak sampai hati naik gaji, sedang rakyat dihimpit. Bangun hero persis badut. Lucut Pengarah? Melompat, hiruk pikuk. Tersalah salak pula!”, kata Faekah menerusi twitternya.
Pengarah Strateji PKR Rafizi Ramli menasihati Faekah untuk berhenti menyebarkan mesej-mesej sedemikian.
“Sudah-sudahlah Faekah. Twit macam ini persis racun,” kata beliau menerusi Twitternya.
Akhir tahun lalu, The News Straits Times yang memetik sumber Bernama melaporkan perwakilan PKR mengusulkan Anwar supaya menjadi Presiden PKR.
Usul itu disuarakan oleh Amirudin Shari, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Caves.
Amiruddin, Setiausaha PKR Selangor yang juga merupakan ‘orang’ Azmin berkata samapi masanya Anwar mengambil tanggungjawab memegang jawatan yang digazet dalam pelembagaan parti.
“Ini adalah masa yang terbaik untuk Anwar untuk mengambil alih dan membawa parti itu sebagai tokoh utama,” katanya.
Azmin berkata Anwar kini telah bebas daripada halangan undang-undang dan boleh aktif dalam politik dengan memegang tanggungjawab tersebut.
“Ini adalah sentimen para perwakilan yang menghadiri kongres hari ini,” katanya kepada pemberita.
Blog pro PKR, atsixty-zakriali yang memetik sumber The malaysian Insider membahaskan kedudukan Anwar dalam PKR.
“Jika jawatan Ketua Umum diperlembagakan dalam parti, PKR akan berhadapan dengan RoS yang ‘kejam’ dengan parti komponen Pakatan Rakyat (PR),” kata seorang pemimpin PKR kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur merujuk kepada Pendaftar Pertubuhan.
“Ini akan memaksa Anwar untuk mengambil alih jawatan Presiden PKR daripada isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,” katanya.
Peranan Anwar menjadi topik perdebatan di antara dua kumpulan dalam PKR, dengan ramai berkata beliau perlu membuat keputusan untuk mengelakkan pertembungan lebih besar dalam parti itu.
Sumber itu memberitahu, satu kumpulan mahu Anwar terus kekal sebagai Ketua Umum dan jawatan itu dijadikan sebagai jawatan rasmi dalam pindaan perlembagaan kali ini.
Ini akan menyebabkan Dr Wan Azizah terus kekal sebagai presiden.
Sementara kumpulan kedua mahu Anwar menjadi presiden parti itu dan Dr Wan Azizah direhatkan selepas sekian lama memegang pucuk pimpinan sejak Ketua Pembangkang itu dipenjarakan pada 1998.
Bagaimanapun, sesetengah pemimpin parti percaya, mengambil alih jawatan presiden PKR akan menimbulkan kerumitan kepada Anwar dalam struktur kepimpinan PR.
“Sesetengah pihak percaya, kedudukannya akan tergugat sebaik sahaja mengambil alih jawatan presiden kerana pada ketika ini, kedudukannya di atas semua pihak. Jika beliau menjadi presiden PKR, kedudukan Anwar akan menjadi sama taraf dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng,” kata sumber itu lagi.
Sementara kumpulan kedua percaya Anwar sebagai presiden PKR tidak akan menimbulkan masalah kerana PAS dan DAP sudah menerima Anwar sebagai calon Perdana Menteri jika PR berjaya menawan Putrajaya.
Seorang wakil rakyat PKR memberitahu, kebanyakan ahli parti mahu melihat Anwar menjadi presiden supaya parti itu lebih mantap dan kukuh kerana jawatan Ketua Umum tidak jelas dan terikut-ikut dengan struktur parti politik di Indonesia.
“Jawatan Ketua Umum dulu diwujudkan kerana selepas dibebaskan daripada penjara, Anwar mempunyai halangan undang-undang daripada memegang jawatan politik, kini halangan sudah tiada.
“Jadi tiada sebab lagi untuk Anwar tidak memimpin PKR sekarang,” kata wakil rakyat PKR itu dan menambah Dr Wan Azizah pernah memberikan laluan kepada Anwar untuk bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 2008.
Kolumnis The Malaysian Insider, Timmy Say berkata isu perebutan jawatan Presiden PKR antara Dr Wan Azizah dan Azmin sedang hangat diperkatakan.
“Minggu lalu, Utusan Malaysia memulakan laporan mengenai Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang didakwanya berhajat untuk bertanding untuk kerusi presiden yang disandang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, isteri kepada bos sebenar PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Mengikut perlembagaan PKR, Wan Azizah tidak mungkin lagi menjadi presiden kerana mencapai tempoh maksima, 3 penggal berturut-turut menyandang jawatan itu.
“Ini disusuli dengan satu artikel di Malaysiakini yang ditulis Terence Netto yang seolah-olah berkata Azmin akan bertanding presiden walaupun tanpa Utusan memainkan isu tersebut,”ulasnya.
Dakwanya lagi, percaturan untuk pemilihan PKR sudah bermula sejak 5 Mei yang lalu, ketika Pakatan Rakyat gagal ke Putrajaya.
“Karenah Azmin yang mengambil pendirian bertentangan dengan parti dalam mengadakan Himpunan Blackout 505 dan kemudian mempersoalkan pemilihan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor dan juga pelantikan Setiausaha Agong PKR, Saifuddin Nasution ke pejabat Menteri Besar Selangor sudah memperlihatkan niatnya untuk menerajui PKR.
“Azmin yang tidak kelihatan bayangnya di Himpunan Blackout 505 pertama yang diadakan 8 Mei di Stadium Kelana Jaya menulis di Twitter menegur partinya untuk bermuhasabah atas kelemahan sendiri dan menerima keputusan PRU13.
“Kemudian di satu sidang akhbar pada 11 Mei, Azmin juga menempelak parti sendiri mengamalkan nepotisme, satu dakwaan yang semua mengetahui ditujukan siapa.
“Keluarga siapa lagi dalam parti yang memegang Ketua Umum, Presiden dan juga jawatan Naib Presiden? Tiada hadiah bagi mereka yang dapat menekanya dengan tepat.
“Dalam pelantikan Khalid untuk penggal kedua sebagai MB, Azmin mempersoalkan tindakan Wan Azizah yang menyetujui pelantikan Khalid tanpa berbincang dengan PKR Selangor, di mana Azmin juga pengerusinya,” dakwanya lagi.
source : aidc

No comments: