NUFFNANG

Wednesday 22 January 2014

Khalid ‘Kambinghitamkan’ 2 Pegawai Kanan PKNS – Abdullah Sani

Khalid ‘Kambinghitamkan’ 2 Pegawai Kanan PKNS – Abdullah Sani

AIDCNews – 21/01/14 – Kerajaan Negeri Selangor telah mengkambinghitamkan dua pegawai kanan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk menutup kebenaran berhubung kemelut pengguguran Timbalan Presiden PKR Azmin Ali daripada lembaga pengarah badan itu, kata pimpinan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Timbalan Presidennya, Abdullah Sani dilaporkan Antarapos berkata arahan untuk memindahkan Pengurus Besar PKNS, Datuk Othman Omar dan Setiausaha Kerjanya Norita Mohd Sidek ke Ibu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) adalah suatu penganiayaan.
Semalam, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan tindakan itu selepas Othman dan Norita mengeluarkan kenyataan menafikan tuduhan beliau bahawa PKNS adalah pihak yang menggugurkan Azmin, bukannya Exco Kerajaan Negeri.
Khalid telah berjanji untuk memberi ruang kepada kedua-dua mereka untuk memberikan penjelasan terhadap penafian itu namun mesyuarat berkenaan dibatalkan semalam dan dua pegawai itu dipindahkan tempat kerja tanpa notis.
Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat dari PKR menjanjikan pembelaan untuk Norita terhadap sikap “berdendam” Khalid.
Beliau berkata walaupun Khalid mengumumkan Othman dan Norita akan disiasat oleh pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di bawah peraturan tetap kakitangan awam, namun surat tuduhan terhadap mereka belum dikeluarkan.
Dia punya surat pertuduhan akan diberikan esok (hari ini), jadi membuktikan bahawa pentadbiran Khalid Ibrahim ini telah mencampuradukkan sistem prosedur yang sepatutnya berlaku.
“Apabila bertindak sedemikian, ia mencerminkan sikap dia (Menteri Besar) yang berdendam atau pun mencerminkan bahawa dia berada dalam suasana yang cukup mendesak sehinggakan dia terpaksa mengkambingkan hitam seseorang,” katanya.
Abdullah menyifatkan perpindahan mengejut Norita ke SUK bertujuan menutup segala kebenaran berkenaan kemelut itu.
Beliau meminta Norita dikembalikan semula ke PKNS seperti biasa sehingga kesnya di bawa ke Jawatankuasa Disiplin yang ditetapkan.
“Kalau dia (Norita) melakukan kesilapan dia perlu pergi kepada jawatankuasa disiplin terlebih dahulu, dia sepatutnya pergi kepada siasatan dalaman dan dia tidak boleh terus dijatuhkan hukum. Ini tidak adil dari segi etika kerja.
“Jadi dia (Norita) tidak boleh diperlakukan sebegitu dan tindakan untuk mengarahkan beliau dipindahkan ke SUK adalah tidak betul,” katanya.
Abdullah menegaskan sebagai Timbalan Presiden MTUC, beliau akan tampil bagi mempertahankan hak kedua-dua pegawai itu yang didakwanya tidak bersalah.
“Isu (meletakkan kesalahan kepada Norita) ini tidak boleh dikompromikan. Saya akan membela mereka yang di jadikan kambing hitam..dalam isu ini saya akan ke depan dan tidak akan berkompromi,” kata Abdullah,
Abdullah berkata Norita turut mempunyai hak untuk membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi untuk mencabar pertuduhan Khalid itu.
“Norita ada hak untuk membawa kes ini ke mahkamah tinggi tetapi saya kira perkara ini perlu diperbetulkan dulu oleh kerajaan negeri. Ia tidak boleh diambil remeh. Manusia tidak boleh dikambing hitamkan kerana manusia ini ada maruah.
“Norita tidak melakukan kesalahan, dia cuma perbetulkan keadaan dan jangan kita terdesak sehinggakan kita hendak menghukum orang lain, ini tidak ada keadilan,” tambah beliau.
Azmin digugurkan daripada lembaga pengarah PKNS menerusi sepucuk surat daripada badan itu awal bulan ini.
Tindakan itu mencetuskan bantahan pemimpin dan akar umbi parti di peringkat nasional dan Selangor kerana tidak dirujuk kepada pimpinan PKR terlebih dahulu sebagaimana di tetapkan dalam perlembagaan parti.
Khalid mendakwa keputusan pengguguran itu dibuat oleh Pengurus Besar PKNS tanpa merujuk kepada Exco kerajaan negeri.
Bagaimanapun Othman menafikan beliau bertindak bersendirian. Dalam kenyataan media, Norita menjelaskan bahawa surat pengguguran dihantar kepada Azmin berasaskan keputusan EXCO kerajaan negeri pada 13 November yang kemudian diperakui pada 4 Disember.
Kenyataan PKNS itu juga menyebut bahawa badan itu tidak ada hak menguggurkan Azmin kerana kuasa itu terletak ditangan EXCO.
Susulan kenyataan itu, Khalid semalam mengumumkan kedua-dua pegawai kanan PKNS itu dipindahkan tempat kerja dan akan disiasat.
“Pertukaran itu sebenarnya tidak adil kerana dia (Norita) hanya menjalankan tugas dan dia hanya menurut apa minit mesyuarat maklumkan,” kata Abdullah.
“Jadi untuk dia diarahkan ke SUK semula ini saya kira ini pemindahan yang tidak adil dan tidak munasabah bagi Norita. Menteri Besar sepatutnya menghormati undang-undang,” kata Abdullah.
Antarapos turut melaporkan Khalid turut mengheret Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Transparency International Malaysia (TI-M) untuk menyiasat Othman dan Norita. 

http://www.youtube.com/watch?v=Jtz_m6GbUSs
“Kes pengurus besar (Othman Omar) ini melibatkan isu integriti bermakna ada surat-surat yang di tulis (oleh Othman) dipertikaikan daripada tanggungjawab beliau dan juga dikatakan beliau tidak menerima arahan daripada kerajaan negeri.
“Saya meminta Setiausaha Kerajaan Negeri untuk memanggil pihak TI-M…. dengan SPRM untuk meneliti dokumen-dokumen yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri dan dokumen yang dikeluarkan oleh Pengurus Besar dan Setiausaha Kerja PKNS,” kata Khalid yang ditemui selepas mengadakan lawatan di salah sebuah kilang di Meru hari ini.
Khalid juga berkata dokumen-dokumen berkaitan kemelut yang melibatkan EXCO kerajaan negeri akan disebarkan kepada media massa petang ini atau esok.
Beliau sekali lagi menegaskan bahawa sebarang surat pengguguran ahli lembaga pengarah hanya boleh ditanda tangani oleh beliau atau pun setiausaha kerajaan negeri.
“Yang berhak pecat adalah menteri besar, jadi kalau exco dah bersetuju. Surat pelantikan dan surat meminta peletakan jawatan mesti ditandatangani oleh Menteri Besar,” kata Khalid.
Beliau berkata Othman dan Norita digantung sementara daripada jawatan masing-masing sehingga siasatan diselesaikan.

source : aidc

No comments: