KALAU ada rumah sendiri, mengapa nak tidur di rumah kerajaan? Kalau ada jam tangan CASIO yang berfungsi dengan baik, apakah perlu membeli jam tangan ROLEX walaupun diberi diskaun?

Kalau ada tiket tambang murah mengapa pilih penerbangan yang lebih baik walaupun ianya adalah satu ‘entitlement’ atau peruntukan untuk jawatannya?

Kalau ada kereta Camry yang masih baru, mengapa perlu tukar ke Benz?

Bagi seorang pemimpin yang selalu menggambarkan diri sendiri sebagai seorang yang sederhana, persoalan-persoalan di atas selalu dijadikan keutamaan dalam tindak-tanduknya.

Lebih-lebih lagi kalau pemimpin ini selalu menjadi juara menyerang pihak lawan yang memilih kemewahan untuk keuntungan politik sekian lama.

Tindak-tanduk dan kata-katanya telah membentuk persepsi rakyat bahawa sekiranya ditawarkan Benz dalam harga murah sekalimana pun kerana rakyat merasakan pemimpin ini sepatutnya bersifat marhaen, dan sederhana, tidak seperti lawan mereka.

Apabila rakyat melihat pemimpin yang pada mereka sepatutnya bersifat sederhana ini memilih Benz, yang jauh lebih mewah daripada Camry yang berumur dua bulan, hati mereka dihentak seperti kaca cermin kereta terkena batu.

Hentakan itu bukan sahaja menyebabkan cermin kereta tersebut cacat kerana berlubang malah hanya menanti masa di mana ia merebak dan meretakkan seluruh cermin kereta sehingga hancur.

Inilah yang terjadi pada Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng dalam isu pembelian Benz.

Jawapan-jawapan daripada kerajaan negeri mengenai betapa berbaloinya Benz yang dibeli untuk kegunaan Guan Eng sebagai KM tidak berguna, kerana Benz dilihat sebagai satu kemewahan berbanding Camry.

Bagi rakyat, mereka merasakan Guan Eng adalah seorang pemimpin yang sepatutnya berkata:

“Memang ada peruntukan untuk saya menggunakan Benz sebagai KM, tapi saya menolaknya kerana ia tidak perlu kerana Camry masih baru. Duit yang ada lebih elok saya gunakan untuk manfaat rakyat.”

Itulah Guan Eng yang rakyat kenali, dan bukannya Guan Eng yang mempertahankan tindakannya membeli Benz.

Bagi penyokong Guan Eng yang menjawab serangan dalam bentuk – “Guan Eng selayaknya boleh menggunakan Benz kerana kecemerlangannya mentadbir Pulau Pinang” – diharap berfikir semula.

Pertama, berjuang dalam politik ini bukan untuk ganjaran seperti menaiki Benz. Ganjaran yang ada hanyalah kepercayaan rakyat untuk memberikan undi majoriti untuk mentadbir semula 5 tahun akan datang.

Sekiranya alasan layak diguna pakai, apakah Najib tidak layak menaiki jet peribadi kerana berjaya mengekalkan kecemerlangan BN mempertahankan Putrajaya buat kali ke 13?

Mengapa harus Najib menggunakan penerbangan MAS walaupun penerbangan kelas pertama mahupun bisnes kerana sebagai Perdana Menteri beliau layak mendapat penerbangan yang lebih mewah?

Namun, nasi telah menjadi bubur.

Rakyat memilih Pakatan Rakyat kerana beranggapan ia adalah berlainan dengan BN, terutamanya dari segi menolak kemewahan. Namun, kini ia makin dilihat tiada kelainan.

Ingatlah, tindak-tanduk pemimpin mesti serasi dengan persepsi yang dibinanya pada minda rakyat.

Kesilapan Guan Eng kali ini agak parah; sebab tindakannya tidak selari dengan persepsi sederhana yang dibinanya sendiri sejak pra-2008.

Ia hampir sama dengan tindakan Najib yang tidak selari dengan kata-kata ‘wasatiyyah’nya tatkala rakyat mempunyai persepsi yang mendalam pada keborosannya yang begitu menjelek mata.

Cermin kereta PR kini sudah berlubang. Jika tidak berhati-hati, lubang itu akan meretakkan seluruh cermin kereta.

Namun, kalau PR terus meniru tindakan serong daripada BN, mungkin PR juga turut akan percaya, berlubanglah cermin kereta sekalimanapun, cermin tetap tidak akan retak (BN menang dah 13 kali).

Namun, PR kena sedar di sebalik ketidak-retakan cermin kereta BN, berapa bilion duit rakyat yang tertampal di belakangnya untuk menahan lubang-lubang itu daripada retak?

Apakah itupun turut ingin ditiru PR?

source : SH