NUFFNANG

Saturday, 22 August 2009

Khairy Jamaluddin tanya tiga (3) soalan untuk pakatan pembangkang

Tiga soalan untuk pakatan pembangkang — Khairy Jamaluddin

OGOS 21 — Strategi pakatan pembangkang dalam menjalani kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Permatang Pasir menampakkan satu pendekatan baru yang intisarinya hampir seratus peratus berkisar pengaiban calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman. Terbaru, Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Haji Hassan, mendakwa Rohaizat mempunyai isteri kedua di Pahang dalam usaha mempersoal lagi keperibadian calon BN.

Dakwaan ini sudahpun disangkal oleh saudara Rohaizat sendiri. Tetapi yang peliknya, kalau benar pun saudara Rohaizat mempunyai isteri kedua, mengapa pula PAS mahu membongkarkannya seolah-olah ini suatu perbuatan yang keji di mata PAS? Sejak bila pula PAS menjadi anti-poligami? Saya syorkan Nasrudin berhenti sahaja politik murahan serangan peribadi yang cuba mengaibkan orang lain; akhirnya beliau hanya memperbodohkan diri sendiri.

Memang diakui, selama ini pihak pembangkang tidak pernah segan silu cuba menyerang peribadi calon dari BN dalam mana-mana pilihan raya pun. Namun, kali ini strategi hina ini digunapakai sehinggakan segala persoalan sebenar yang memberi impak kepada rakyat dan pengundi Permatang Pasir ini langsung tidak diendahkan.

Di sini, saya ingin membawa tiga isu besar berkait dengan PRK DUN Permatang Pasir. Pertama sekali, isu pengundi hantu di pilihanraya kecil ini sudahpun diketengahkan oleh Pergerakan Pemuda Umno. Kami mengesyaki bahawa ada usaha besar-besaran dari pihak PAS untuk memindahkan para pengundi mereka yang dari kawasan-kawasan DAP yang berhampiran ke kawasan PAS (Permatang Pasir).

Ini kerana PAS sedar bahawa undi Melayu berpecah dua, maka untuk menjamin kemenangan mereka terpaksa bermain kotor supaya lebih ramai pengundi “setinggan” mereka ini dipindah ke kawasan-kawasan majoriti Melayu.

Tidak seperti dakwaan-dakwaan pihak lawan, Pemuda Umno tidak menabur fitnah semata-mata – kami sudah pun menyerahkan bukti fenomena ini. Kelmarin Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang saudara Norman Zahalan membuat laporan rasmi kepada SPR berserta bukti pengundi hantu atau “setinggan” di mana Pemuda UMNO mendapati bahawa terdapat pengundi-pengundi yang didaftarkan di rumah tertentu yang tidak dikenali pun oleh tuan rumah.

Adakah PAS begitu takut berlawan dengan Umno di gelanggang yang rata sehingga perlu menipu untuk menang? Jika tidak, saya menggesa pihak PAS memberi penjelasan mengenai isu ini kerana Pemuda Umno sudah pun memberi contoh nyata hal pengundi hantu dari PAS.

Kedua, PAS dan DAP masing-masing tidak lagi dapat menjawab persoalan saya mengapa PAS tidak mendapat kerusi Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang meskipun Kerajaan Negeri ini dilabel sebagai “Kerajaan Pakatan Rakyat”?

YAB Ketua Menteri Lim Guan Eng seperti biasa mengelak dari isu sebenar dan tidak mampu memberi apa-apa jaminan bahawa Tuan Haji Salleh Man akan dilantik selaku wakil PAS dalam Exco Kerajaan Negeri sekiranya menang pada PRK ini.

Usahlah YB “Jeff” Ooi dan konco-konconya dalam DAP mengaburi mata rakyat; tak jemu-jemu mengungkit isu saya selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia tidak dilantik sebagai Menteri sebagai alasan untuk PAS tidak diwakili dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Kanak-kanak di bangku sekolah pun boleh membezakan antara seorang individu seperti saya ini, dan sebuah parti besar seperti PAS yang diketepikan dan diaibkan oleh DAP yang berperanan seakan buli dalam Pakatan Rakyat.

Ketiga, sudahlah calon PAS di DUN Permatang Pasir ini tidak diberi penghargaan sewajarnya oleh DAP, rakyat Permatang Pasir ini pun seolah-olah tidak diendahkan. Dalam kempen PRK ini, saya tidak langsung mendengar sebarang rancangan atau pelan pembangunanbuat rakyat sekiranya calon PAS menang menjadi wakil rakyat.

Apapun kelemahan dan kecacatan kempen pilihan raya BN, sekurang-kurangnya kami menerangkan kepada rakyat intipati perjuangan kami untuk mereka sekiranya menang. YAB Timbalan Perdana Menteri sendiri sudah menjanjikan status anak emas kepada kawasan Permatang Pasir ini jika BN menang, dengan pembangunan infrastruktur, peluang pekerjaan mahupun kemudahan awam yang sememangnya diketagihi kawasan Permatang Pasir.

Apa tidaknya, kalau wakil parti PAS tidak duduk dalam Kerajaan Negeri, mana mungkin DAP mengambil berat kawasan PAS ini. Barangkali dengan kesedaran bahawa beliau tidak mungkin dapat kerusi Exco jika menang, Tuan Haji Salleh Man pun tidak berani menjanjikan apa-apa pembaharuan positif buat penduduk Permatang Pasir — oleh sebab inilah tiada satu pun perancangan pembangunan pro-rakyat yang dihebahkan kepada pengundi. Sebaliknya, PAS lebih suka menyerang keperibadian calon BN kerana ketandusan modal politik yang sebenar.

Tiga persoalan pokok ini telah saya tujukan kepada Pakatan Pembangkang sewaktu ceramah saya semalam di Jalan Kubang Semang, Permatang Pasir. Saya menanti sebarang jawapan dan respon dari pihak pembangkang. — rembau.net

*Khairy Jamaluddin adalah Ketua Pemuda Umno

No comments: