NUFFNANG

Saturday, 29 August 2009

NEWS: Beng Hock baring di sofa, minta minum dua kali

NEWS: Beng Hock baring di sofa, minta minum dua kali

SHAH ALAM 28 Ogos - Teoh Beng Hock dilihat berbaring di atas sofa di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor dan meminta air minuman sebanyak dua kali, selepas rakaman percakapannya selesai diambil pada 16 Julai lalu.

Rakaman percakapan Beng Hock yang diambil bagi membantu siasatan berhubung tuntutan ketuanya, Ean Yong Hian Wah, memakan masa selama dua jam mulai pukul 10.40 malam, 15 Julai dan berakhir pada pukul 12.40 pagi, keesokkan harinya.

Keterangan itu yang dikemukakan oleh Penolong Penguasa SPRM, Mohd. Ashraf Mohd. Yunus di Mahkamah Koroner di sini hari ini secara tidak langsung menyokong keterangan pegawai penyiasat, Mohd. Anuar Ismail, 32, sebelum ini.

Ketika disoal peguam Tan Hock Chuan yang mewakili kerajaan Malaysia, Mohd. Ashraf berkata, beliau diarahkan oleh pegawai kanan SPRM, Hairul Ilham Hamzah untuk menemubual Beng Hock di bilik mesyuarat SPRM di tingkat 14, bangunan Plaza Masalam.

Menurutnya, walaupun beberapa soalan tidak dapat dijawab oleh Beng Hock, namun pada dasarnya mendiang memberikan kerjasama ketika proses semakan dokumen dijalankan.

Sejurus rakaman percakapan selesai, ujar saksi inkues ke-19 itu, beliau ternampak Beng Hock berbaring di atas sofa berhadapan dengan bilik pegawai SPRM, Nadzri Ibrahim kira-kira pukul 4.45 pagi.

''Mendiang ketika itu cuma berbaring tetapi tidak tidur. Saya tidak bercakap dengannya namun ketika membuka pintu bilik, mungkin mendiang nampak saya lalu meminta air,'' kata Mohd. Ashraf.

Sejurus mengambil segelas air untuk diberikan kepada Beng Hock, ujar saksi, beliau meninggalkan pejabat dan pulang ke rumah pada pukul 5.06 pagi, 16 Julai lalu.

Katanya, ketika itu Beng Hock sedang duduk di sofa.

Menurut Mohd. Ashraf, kali pertama Beng Hock meminta minuman adalah antara pukul 10.40 malam, 15 Julai dan 12.40 tengah malam, 16 Julai lalu.

Menjawap soalan peguam Gobind Singh Deo sebagai peguam pemerhati mewakili keluarga Beng Hock, Mohd. Ashraf berkata, beliau tidak menggunakan teknik soal siasat yang menekan Beng Hock dalam usaha mendapatkan jawapan.

Ini kerana, kata saksi berkenaan, beliau hanya menyemak dokumen dan tidak perlu menggunakan kekerasan.

Malahan, menurut Mohd. Ashraf, beliau tidak pernah didedahkan dengan teknik soal siasat dengan cara memberi tekanan atau menindas saksi.

Jawapan itu menyebabkan Mohd. Ashraf ditempelak terutamanya apabila mengatakan tidak pernah mendengar soal siasat yang dijalankan dengan cara tersebut.

Namun begitu, Mohd. Ashraf menjelaskan, beliau tidak menyoal siasat Beng Hock dan tidak mengajukan sebarang soalan kepada mendiang kerana beliau bertindak sebagai pembantu sahaja dalam soal siasat berkenaan.

Sebaliknya saksi berkata, soalan-soalan hanya dikemukakan oleh Penolong Penguasa Arman Alies yang merupakan pegawai yang lebih kanan berbanding dirinya.

Sementara rakaman percakapan dibuat oleh Penolong Penguasa Kanan, Mohd. Nadzri Ibrahim.

Dalam pada itu, ujar Mohd. Ashraf, semakannya terhadap dokumen tuntutan dan empat sebut harga yang dijumpai dalam unit pemprosesan pusat (CPU) menunjukkan ia ditandatangani oleh Hian Wah.

Menurutnya, Hian Wah yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan menandatangani dokumen tersebut setelah diminta untuk disahkan oleh mendiang.

No comments: