NUFFNANG

Monday, 17 August 2009

Tun Dr Mahathir : Ada Yang Tidak Sedar Jadi Pengkhianat

Tun Dr Mahathir : Ada Yang Tidak Sedar Jadi Pengkhianat

Today at 10:50

"Apabila ditanya pengalaman Tun Dr Mahathir berkenaan perbezaan perasaan cintakan negara jika dibandingkan dengan zaman dahulu dan sekarang, Tun secara spontan menyatakan perasaan itu sudah semakin merosot dan semakin berkurangan. Apabila sudah merdeka dan sudah dapat semua, mereka bebas bercakap. Rakyat tidak lagi menghargai apa yang diperolehi daripada negara sendiri. Kita hanya nampak keburukan negara dan jarang nampak kebaikan walaupun kita kena akur keburukan itu memang ada namun kita perlu menimbang antara dua perkara itu.

Bagi Tun Dr Mahathir, apabila perasaan cintakan negara itu telah hilang maka mungkin timbul perasaan untuk mengkhianati negara sama ada dalam keadaan sedar atau tidak. Mereka juga tidak nampak kenapa perlu terhutang budi kepada negara. Mereka cuma berfikir tentang diri mereka sahaja.

Kerajaan telah melaksanakan dasar DEB selama 20 tahun iaitu daripada 1970-1990. Dalam tempoh itu negara telah melahirkan ramai bijak pandai Melayu yang berjaya dalam pelbagai bidang dan dalam masa yang sama telah meningkatkan bilangan kelas menengah Melayu. Walaupun tidak semua, tetapi sebahagian daripada mereka ini telah hilang semangat Melayunya. Bagi Tun Dr Mahathir, mereka ini beranggapan apa yang mereka dapat itu memang hak dia, jadi perlu apa mereka berterima kasih.

Mereka beranggapan pihak kerajaan yang bertanggung jawab terhadap apa yang mereka perlukan. Jika mereka hendak belajar maka kerajaan yang perlu sediakan. Jika tidak ada duit maka perlu diberikan. Tun Dr Mahathir sendiri pernah mendengar seorang pemimpin berkata memang patut kerajaan bagi duit sebab itu duit rakyat. Mereka rakyat dan memang ada hak terhadap duit itu. Menurut Tun, apabila mereka menunjukkan sikap sedemikian mereka tidak menunjukkan sikap mengenang budi dan kenapa perlu mereka membalas budi.

Bagi memperbetulkan pemikiran mereka yang tidak berterima kasih ini, Tun Dr Mahathir mencadangkan agar menarik balik segala yang mereka nikmati ini. Umpamanya jika mereka bekerja dengan kerajaan kita tarik balik kerana mereka ini tidak layak. Kita adakan meritrokrasi dan kita pilih yang layak dan mereka mungkin tidak layak. Selama ini kerajaan memberi peluang yang lebih kepada orang Melayu misalnya bukan kerana meritrokrasi tetapi atas dasar DEB dan juga hak-hak istimewa orang Melayu.

Dalam situasi sekarang, orang sudah berani menggugat institusi raja, perlembagaan dan hak orang Melayu. Maka orang Melayu perlu bersatu. Dalam hal ini, Tun Dr Mahathir menyatakan orang Melayu melihat kerajaan masih lagi kurang kebolehan untuk menyatukan semula orang Melayu. Sebab itu di mana-mana sekarang ini NGO-NGO Melayu tumbuh bagai cendawan. Tun sendiri banyak menerima jemputan untuk memberi ucapan dalam majlis-majlis NGO Melayu ini.

Menurut Tun, di mana-mana beliau pergi, orang Melayu bukan sahaja kurang senang dengan tuntutan kaum-kaum lain yang melampau tetapi juga tidak puas hati dengan cara kerajaan melayan tuntutan-tuntutan itu. Pemimpin-pemimpin kerajaan harus lebih tegas, bukannya meminta maaf yang melambangkan kelemahan kerajaan sendiri.

Sempena sambutan kemerdekaan kali ke 52, Tun merasakan konsep BN itu masih relevan berdasarkan pengalaman mentadbir negara selama 52 tahun dengan jayanya. Perkara yang baik jangan dibuangkan kerana yang hendak diganti itu belum pasti baik buruknya. Pemimpin-pemimpin kerajaan yang ada harus cekap dan faham mengurus sistem sedia ada supaya lebih cekap dan diterima rakyat semula.

Tulisan ini adalah berdasarkan wawancara yang berlangsung di pejabat Tun di tingkat 86 di Menara Berkembar Petronas, oleh Wartawan Mingguan Malaysia ZIN MAHMUD, AZMAN ANUAR, HAFIZAHRIL HAMID dan jurugambar RAHMAN SALLEH.

Amir Hamzah
Batu Pahat

www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

**Penulis adalah merupakan kolumnis tetap di dalam portal www.kelabchedet.com

No comments: