NUFFNANG

Wednesday, 26 August 2009

Teori Teoh takut untuk balik rumah

Teori Teoh takut untuk balik rumah

Oleh Norhashimah Mohd Radzali
norhashimah@bharian.com.my


SHAH ALAM: Peguam pemerhati Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Koroner di sini semalam, pihaknya akan mengemukakan beberapa dokumen bagi membuktikan teori Teoh Beng Hock berada dalam keadaan takut untuk berdepan dengan realiti, sebelum kematiannya.

Datuk Abdul Razak Musa berkata, teori itu kemungkinan yang menyebabkan Teoh tidak mahu balik walaupun sudah dibenarkan pulang selepas percakapannya selesai dirakam pada jam 3.45 pagi, 16 Julai lalu.

Abdul Razak berkata, dokumen yang akan dikemukakan dapat menunjukkan keadaan minda Teoh ketika itu, yang menjadi punca dan membawa kepada kematiannya.

"Dalam kes ini, kami mengemukakan teori yang disokong oleh dokumen rasmi dan bukannya seperti teori lain yang hanya berlandaskan surat layang. Jadi kami berharap permohonan ini tidak diketepikan.

"Dari situ kita akan tahu apa peranan si mati (Teoh) dan penjelasannya terhadap tuntutan mereka (Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah) yang dikatakan sebagai tuntutan palsu," katanya.

Abdul Razak berkata, dokumen yang akan dikemukakan itu, rakaman percakapan dirakam daripada Teoh oleh pegawai perakam, Mohd Nadzri Ibrahim dan empat sebut harga syarikat Bumiputera kontraktor Kelas F yang dicetak daripada komputer riba Teoh.

Beliau seterusnya memohon mahkamah menerima rakaman percakapan Teoh sebagai bahan bukti mengikut Seksyen 54 Akta SPRM dan Seksyen 32 Kanun Acara Jenayah, yang membenarkan keterangan individu yang sudah meninggal dunia dikemukakan di mahkamah, serta empat dokumen sebut harga.

Abdul Razak turut mencadangkan siasatan lanjutan dibuat Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Ahmad Nazri Zainal terhadap semua dokumen terbabit berikutan timbulnya isu itu dalam siasatan polis pada prosiding inkues.

Peguam pemerhati keluarga Teoh, Gobind Singh Deo membantah permohonan itu dengan alasan ia prejudis, tidak adil dan tidak masuk akal kerana tidak menggambarkan keadaan minda mangsa.

Peguam, Malik Imtiaz Sarwar, yang mewakili Kerajaan Selangor, menyokong bantahan dibuat Gobind dan turut mempersoalkan sama ada rakaman percakapan itu sememangnya milik Teoh dan ditandatangani olehnya.

Koroner Azmil Muntapha Abas kemudian membenarkan permohonan Abdul Razak supaya siasatan dilakukan terhadap empat dokumen terbabit dan rakaman percakapan Teoh.

Azmil juga memutuskan empat dokumen sebut harga itu akan dikemukakan sebagai bahan bukti apabila pegawai SPRM yang mencetak dokumen itu memberikan keterangannya kelak, manakala rakaman percakapan Teoh akan dikemukakan menerusi pegawai yang merakamkan percakapannya.

sumber - berita harian

No comments: