Macam-macam cerita pasal Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan DUN Selangor (Selcat) yang bukan sahaja dikritik pegawai penjawat awam tetapi Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali.
Ada pihak melihatnya sebagai percikan api dalam pakatan pembangkang di Selangor kerana tindakan Pesuruhjaya PAS negeri itu dihentam bertubi-tubi rakan pakatan terutama pemimpin DAP.
Lebih menarik, bila beberapa pemimpin PAS turut mengecam Dr Hasan yang sebelum ini menyuarakan bantahan terhadap cara Selcat menyoal siasat pegawai-pegawai Daerah di Selangor berhubung perbelanjaan peruntukan wakil rakyat oleh pemimpin Barisan Nasional sebelum pilihanraya umum Mac tahun lalu.
Kaedah soal siasat yang menampakkan seolah-olah pegawai Daerah bodoh, tidak tahu peraturan kewangan dan sebagainya cukup memanaskan hati penjawat awam itu namun hanya pegawai Daerah Klang, Bakhtiar Hussin yang ‘meletup’.
Rupa-rupanya Dr Hasan juga tidak senang hati kaedah Selcat menyoal siasat yang dalam fikirannnya jika berterusan boleh menyebabkan kepercayaan penjawat awam terhadap kerajaan campuran di Selangor lebur.
Teguran Hasan, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor itu supaya Selcat mengkaji kaedah lebih sesuai menyebabkan ada pemimpin PAS yang selama ini dilihat memang tidak sebulu dengan beliau turut mengecam Adun Gombak Setia itu.
Antaranya Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad serta Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Zulkifli Ahmad.
Nama-nama ini juga sebelum ini dikaitkan dengan kumpulan Erdogan, yang pro Anwar Ibrahim malah ketika pemilihan pimpinan dalam Muktamar PAS awal tahun ini, pertembungan kumpulan ini dengan kumpulan ulama dalan parti itu tidak dapat diselindung.
Ada kalangan pemimpin PAS nampak macam Dr Hasan sudah jadi beban dalam pakatan pembangkang di Selangor ekoran beberapa isu mengaitkan beliau teutama isu penjualan arak di kawasan Melayu di Bandaraya Shah Alam.
Justru itu tidak hairan ada kalangan pemimpin parti itu mahu Dr Hasan dikenakan tindakan disiplin ekoran pandangannya dalam isu Selcat.
Namun, PAS pusat yang akan bermesyuarat Selasa ini tidak mungkin mengambil tindakan disiplin ke atas Dr. Hasan berhubung isu Selcat walaupun ada desakan pemimpin tertentu dalam parti itu.
Sebaliknya, pucuk kepimpinan parti itu hanya akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada beliau mengenai pendiriannya dalam itu itu.
Mengambilkira kenyataan itu yang dijelaskan Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa pada media hari Ahad, pasti puak-puak yang mahu melihat kejatuhan Dr Hasan di Selangor akan terus berputih mata.
Namun, Nasharuddin menolak andaian bahawa pihak yang mahu Dr Hasan dikenakan tindakan adalah usaha kumpulan tertentu mahu menjatuhkan beliau.
Sebaliknya, beliau menyifatkan perkara itu cuma perbezaan pandangan yang wujud di kalangan pemimpin negeri dan pusat.
"Saya tidak melihat kepada keperluan sampai ke peringkat itu kerana bagi saya Datuk Hasan memberikan pandangan beliau tentang perlunya prosedur Selcat diperbaiki.
"Bagi saya memberikan pandangan sebegitu tidaklah sampai perlu diambil tindakan disiplin.
"Penjelasan, ya... kami akan minta penjelasan (daripada Hasan) tentang apa sebenarnya perkara yang berlaku," katanya kepada media di Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di Bandar Bukit Mahkota, Nilai..
Lagipun katanya, dalam PAS usaha ke arah diambil tindakan disiplin perlu melalui beberapa proses.
Sehubungan itu, Nasharudin yang sudah memperoleh maklumat dan penjelasan daripada beberapa pihak termasuk Dr Hasan secara peribadi tidak nampak kenapa pemimpin utama PAS di Selangor itu perlu dihukum.
Beliau juga menolak cakap-cakap isu itu bakal menyaksikan PAS keluar pakatan rakyat di Selangor sebaliknya menegaaskan, parti itu tetap berpegang teguh kepada keputusan muktamar PAS di Ipoh dan di Shah Alam bagi memperkukuhkan Pakatan.
Namun isu ini tidak akan berakhir sekelip mata kerana Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim akan mempengerusikan mesyuarat tiga penjuru bagi membincangkan isu berkenaan.
Ianya membabitkan Selcat yang telah ditubuhkan bersama oleh parti campuran pembangkang di Selangor, kerajaan negeri dan penjawat awam.
Isu Selcat ini juga bakal mengundang pertembungan berteruan Pengerusinya, Teng Cham Khim dengan Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang mahu Selcat mengambil tindakan terhadap Dr Hasan serta seorang lagi Exco dari PAS, Iskandar Abdul Samad yang turut mengkritik Selcat.
Bekas menteri besar itu mencabar Teng menggenakan tindakan sama terhadap Dr Hasan kerana Speakar itu sebelum ini menggantung kehadiran Dr Mohamad Khir serta empat lagi wakil rakyat BN daripada sidang DUN kerana dikatakan menghina Selcat.
Jika Teng gagal menyahut cabaran Dr Mohamad Khir, jelaslah beliau seorang yang ‘double standard’ dalam tugasnya sebagai Speaker.
Selcat dianggotai Haniza Mohd. Talha (PKR-Taman Medan), Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa), Shaari Sungib (PAS-Hulu Klang), Edward Lee Poh Lin (DAP-Bukit Gasing), Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) dan Ismail Sani (BN-Dusun Tua) selain Teng yang juga Speaker DUN Selangor.
Sulaiman dan Ismail, baru-baru ini membayangkan untuk menarik diri daripada menganggotai Selcat.
Perlu diketahui, Selcat ditubuhkan tanpa persetujuan Sultan Selangor selepas dicadangkan di DUN Selangor tetapi secara automatif sah selepas tempoh 30 hari walaupun tanpa perkenan Baginda.
source : agendadaily.com
No comments:
Post a Comment